Friday, May 23, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Macgyver

Assalamualaikum..

Melainkan usia anda 20 tahun ke bawah, anda pasti pernah mendengar tentang kemasyukan siri televisyen ini, MacGyver (Disebut Mek Geber oleh rakyat Malaysia secara amnya). Ditayangkan di Malaysia pada akhir 80-an dan awal 90-an oleh stesen televisyen swasta tempatan TV3, (diulangtayang di TV2 sekarang), siri ini mengecapi populariti selain membentuk satu budaya pop (jangan dikelirukan dengan muzik pop) yang menular bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Watak utamanya, Angus MacGyver lakonan Richard Dean Anderson (gambar), sinonim dengan kreativiti, kebijaksanaan dan kecerdasan berfikir, selain keupayaan mengaplikasi barang seharian untuk menyelesaikan masalah. Beliau juga dikenali kerana lebih gemar menggunakan kepintaran dan akal dari menggunakan kekuatan dan senjata api, yang memang tidak digunakannya.

Siri ini yang berterusan sehingga 7 musim, menceritakan mengenai ejen rahsia Amerika Syarikat (dan kemudian Yayasan Phoenix), MacGyver yang ditugaskan menjalankan misi-misi rahsia di serata dunia. Kemahirannya menggunakan alatan seharian melibatkan perancangan dan kemahiran mendalam tentang ilmu sains, termasuk kimia dan fizik.

Beliau juga tidak sukakan keganasan, dan alatan atau perangkap yang diciptanya lebih bertujuan sebagai pertahanan diri. Selain itu, biasanya ia hanya memerangkap atau melemahkan pihak lawan, dan tidak mencederakan apatah lagi membunuh mereka. Antara 'tanda' MacGyver yang popular adalah mengaduh kesakitan dan menggoncangkan penumbuknya selepas menumbuk seseorang, berbeza dengan watak hero semasa (seperti dalam Terminator atau Die Hard) yang sarat dengan hormon testosteron selain bermuka ketat dan bertubuh mampat/padat/sendat. Mac juga mudah gayat dan... (retorik elipsis)

Antara 'teman baik' MacGyver adalah pisau lipat (dikenali di seluruh dunia dengan nama pisau MacGyver) dan pita pelekat, yang dibawanya sepanjang masa untuk kegunaan di waktu memerlukan. Dengan kedua-dua alatan ini, selain benda-benda yang ada di keliling Mac sewaktu kejadian, akan wujudlah solusi-solusi menarik untuk sajian penonton supaya terpukau mayapada merambat lagi keting kesayuan.

Musuh utama MacGyver tak lain tak bukan adalah Murdoc, musuh-susah-mati yang seringkali menggangu gugat urusan Mac. Si jahat ini pun ada gayanya juga, iaitu setiap kali berlawan dengan MacGyver, dia akan menemui ajalnya (jatuh gaung, terbakar dsbnya) tetapi entah macam mana hidup dan akan datang semula mencari Mac pada episod yang kemudian. Biasanya sebelum mati dia akan menjerit 'Macgyver!!!!' sebagai tanda tak puas hati.

Di Malaysia beberapa tahun lalu, siri ini pernah diharamkan kerana ada pemuda mana entah yang memandai-mandai meniru cerita ini, masuk dalam ruang tayar kapal terbang dan mati lemas. Siapa ada berita asalnya boleh beritahu aku.

Sekian..

2 comments:

Unknown said...

aku dulu semasa kecik penah berangan2 menjadi macgyver.. abis barang2 kat umah aku upgread jd 'power'... hahahahaha...

Anonymous said...

azizulhafiz- ish ish sih melampau tu:)