Showing posts with label Cerita Pendek. Show all posts
Showing posts with label Cerita Pendek. Show all posts

Monday, May 18, 2009

Cerita Pendek Untuk Kawan..


Gadis manis itu tersipu malu. Kedua-dua kepala lututnya yang menjenguk keluar dari jubah mandi putih tiga kali saiz tubuhnya ditemukan rapat bagai menyorokkan sesuatu. Jurusolek separuh lelaki separuh pondan pula tak henti-henti memberus wajah manis itu bagai mengapur kasut.

Elegan, sungguh elegan..

"We're ready for you Miss Ju." Seorang lelaki lain yang berwajah kacak bernafsu songsang memberi kode. Bagai berkomunikasi dengan kod rahsia gadis membalas dengan gerak tubuh rutin. Senyum, angguk, pandang jurusolek, jurusolek pandang balik, dua-dua senyum dan dua-dua angguk. Angguk hanya sekali seperti orang akad nikah.

Si gadis yang entah Julia entah Jumayah itu berdiri manakala si jurusolek tambah bergegas memberus-berus wajahnya. Entah kerana malu atau mungkin kerana sejuk jubah mandi putih bersaiz besar ditarik rapat ke tubuh.

Sementara itu seorang lelaki awal 20-an yang berambut syampu berdiri tidak jauh dari situ. Jika si gadis gementar si lelaki lebih dahsyat lagi gemuruhnya. Itu kali pertama, dan jika gagal, kali terakhir dia berpeluang melakukan apa yang dia lakukan.

Si gadis yang entah Junaidah entah Zulaikha itu berdiri di tengah-tengah set, dengan dikelilingi lampu yang dari jauh kelihatan seperti payung khemah. Latar belakangnya pula lukisan awan-gemawan menakala lantainya pula basah bergenangkan air.

Si lelaki menarik nafas mengumpul keyakinan. Tangannya menggenggam erat kamera Canon EOS5D Mark II, lengkap dengan lensa dan flashnya. Si gadis pula menggigit bibir tanda mengumpul kesediaan. Sabar menunggu kode.

"Ok, kita boleh mulakan sekarang."

Jubah putih pun melorot dan bergumpal di lantai

p/s: gambar Fairuz tiada kena mengena dengan cerita..

Wednesday, April 22, 2009

PBSM Berpuaka..


Akhirnya!

Bagai ingin menjerit gembira dan berlari mengelilingi perkarangan Puncak Perdana, bala bernama Persatuan Bulan Sabit Merah ini sudah berakhir. Lima semester sumpahannya mengekori dan merasuk kehidupan mahasiswa aku.

Ia mengganggu tidur, merenjat pemanduan, mengsirna fokus, menggagap karaoke dan banyak lagi bahana yang dimunculkan, secara langsung atau tidak.

Akhirnya!

Sesudah tamat ujian bertulis aku sudah boleh dianggap merdeka dan segala jin dan hantu yang mengiringi subjek ini bolehlah aku persilakan berambus keluar dari hidup aku.

Bagai serba teruja ingin sahaja aku terbang terus pulang ke rumah jika tidak hanya kerana kereta aku kehabisan minyak di tengah jalan dan perlu diisi.

Akhirnya!

Beberapa hari kemudian baju seragam lengan panjang berwarna putih bercorak bulan merah itu aku gumpalkan di tangan dan sepantas jeritan frasa 'Aku Hensem!' ia disumbat ke dalam beg plastik putih yang selalu didapati di kedai kasut.

Seperti badi PBSM aku, baju ini juga akan aku pastikan pergi buat selamanya.

Akhirnya!

Dengan pemetik api di tangan aku perhatikan sesadis mungkin bagaimana plastik putih dan isi di dalamnya aku nyalakan dan perlahan-lahan ia terbakar. Burn baby, burn!

Plastik dan baju putih berlubang di belakang itu pula tidak segan-segan kemudiannya bereaksi dengan haba menghasilkan remah-remah hitam berunsurkan karbon yang dipanggil abu. Aku tersenyum puas.

Akhirnya!

Tiba-tiba telefon berbunyi. Aku angkat dan kata hello? Sapa ni?

Suara: Kau tak pergi ujian praktikal ke? Stat lagi 5 minit! 40 markah tau! Kalau tak amik nanti fail. Kena pakai pakaian lengkap, kalau tak, tak boleh ambik. Cepat la datang!

Talian yang dimatikan menandakan tamatnya talian hayat aku. Kerentungan baju di atas tanah kupandang penuh dendam. PBSM berpuaka!

P/S: Ini sebenarnya sebuah cerita pendek. Hahaha.

Monday, February 09, 2009

Aku Saksi Serakah Yahudi (Cerita Tak Berapa Pendek)


Boom!!

Abu Hisyam terperanjat seketika. Ditolehkan kepalanya ke arah bunyi letupan dari arah timur itu. Jarak antara dia dan letupan itu agak jauh namun desing dan bingitnya cukup memeranjatkan sesiapa sahaja. Dari bekas ledakan itu asap naik bak cendawan. Hitam pekat dan di dalam cendawan itu pula seolah-olah nyawa mangsa-mangsanya turut dibawa naik menuju langit.

Seketika kemudian dilihatnya manusia mula berlari. Ada yang berlari keluar dari kepul-kepul asap dengan wajah hitam berjelaga. Ada yang berlari-lari pula ke arah kepul-kepul itu, sama ada untuk menghulurkan bantuan atau sekadar untuk bertanyakan, jika yang keluar itu tahu tentang nasib mereka yang takkan keluar-keluar lagi. Ada yang cuba berlari dengan darah membasahi muka dan tubuh, namun tumbang selepas beberapa langkah.

Setelah asap pekat mula mereda, baru Abu Hisyam sedar asap itu tidak naik begitu sahaja. Sebuah bangunan, entah sekolah entah hospital, pernah berdiri di situ beberapa detik tadi. Dentum kuat tadi telah meratakannya, dan kini tak siapa pun akan mengingati bangunan apa yang kini sudah tiada itu. Semua yang mengingatinya telah terkubur sekali di dalamnya.

Bunyi dentum dan hiruk-pikuk manusia tiba-tiba berganti bunyi bingit. Dari arah yang sama, dengan tiba-tiba, dari celah-celah bangunan atau selayaknya hanya puntung bangunan, debu-debu mula berterbangan. Bunyi bingit makin kuat dan tiba-tiba sebuah helikopter tempur muncul dan mula meninggi dari jangkauan. Setelah dipastikan pucuk-pucuk bangunan dilepasi, helikopter itu pun bergerak perlahan meninggalkan tempat kejadian, bergerak ke arah selatan dan semakin menjauh.

"Yahudi laknat!" Getus Abu Hisyam di dalam hati. Senapang yang tersangkut merentasi dadanya tiba-tiba dipegang erat. Cuma jarak helikopter yang sudah terlalu menjauh menghalang niatnya. Jika tidak, pasti dia pun akan turut sama tumbang seperti bangunan entah sekolah entah hospital itu tadi, dek kerana gagal mengawal emosi dan mengukur keupayaan diri.

Dari arah selatan, bunyi siren mula turut serta, bercampur gaul dengan bunyi hiruk-pikuk orang ramai itu. Dan hiruk-pikuk manusia itu pula bagaikan ensemble yang pelbagai nadanya. Ada nada tangis sedih, nada pekikan marah, nada lolongan kesakitan, nada rayuan meminta bantuan. Di telinga Abu Hisyam semuanya bercampur jadi satu. Memualkan, meloyakan, memeningkan. Sayangnya Abu Hisyam terusan tercegat di situ. Langkahnya bagai mati.

Cukup 10 minit terpacak dia kembali terdengar bunyi dari langit. Kali ini jauh berdesing bagai ada jentera di atas langit sana. Abu Hisyam mendongak hampir-hampir bertentang mata dengan matahari. Dikerinyitkan matanya dan diteduhkan dengan sebelah tangan. Anak matanya mencari-cari dari mana bunyi itu datang dan apa gerangankah ia.

Sah! Sebuah jet pejuang yang Abu Hisyam sendiri tidak tahu dari jenis apa bagai pari-pari yang terbang tinggi bermain-main di celah gemawan. Tak lain tak bukan pari-pari maut zionis terkutuk!

Manusia-manusia dari hiruk-pikuk sana mula sedar akan bala baru ini. Ada yang sudah goyah tekadnya langsung melarikan diri. Yang belum sedar akan bahaya yang mengintip masih sibuk menyelamatkan sesiapa yang mereka mampu, mengais-ngais tanah mencari mangsa tertimbus; bagai ayam mengais cacing, lupa helang mengintai di udara. Ada pula golongan yang lain, yang cuba-cuba memberikan amaran kepada yang lainnya, dengan reaksi yang menghasilkan dua golongan awal tadi.

Bunyi tembakan dan takbir laungan perjuangan serentak keluar dari celah-celah bangunan. Bagai menyalak bukit tembakan-tembakan mereka itu dihala ke langit sana. Mana tahu untung rezeki jatuh juga satu dua jet pejuang musuh.

Abu Hisyam terus terpaku. Matanya bagaimanapun bagai jongkang-jongket naik turun antara langit dan bumi. Di bawah dia cuba mencari dari mana pejuang-pejuang itu bersembunyi. Di atas dia cuba melihat-melihat jika tembakan tadi mendatangkan hasil. Dalam hatinya dua doa dipanjatkan serentak. Pertamanya agar tembakan-tembakan itu mengenai sasarannya. Yang kedua jika tidak berjaya pun sekurang-kurangnya jet-jet itu tidak mengebom sasaran di darat. Atau lebih tepat lagi tidak mensasarkan dirinya.

Voom!!

Bunyi bingit jet-jet pejuang bagai melintasi kepalanya. Jet-jet milik umat rasul-rasul terdahulu itu hanya melalui kawasan itu, sebelum tiba-tiba kelihatan sudah jauh meninggalkan Abu Hisyam di daratan. Sekali lagi suara siren ambulans dan hiruk-pikuk manusia jelas di telinganya, bagai bunyi bising sekeliling yang baru disedari selepas selesai bermain permainan Java dalam telefon bimbit.

"Abu Hisyam! Gantikan aku sekejap!" Tiba-tiba rakannya yang berpangkat lebih tinggi bersuara. Abu Hisyam segera berdiri tegak dan tabik hormat. Selepas rakannya beredar dia segera masuk ke dalam pondok itu. Dengan menyeka peluh di wajah dia duduk di atas kerusi dan menghidupkan televisyen kecil di atas meja. Seperti biasa, berita ditayangkan dari stesen berbahasa Arab.

"Serangan terbaru Israel di timur Barat Gaza ke atas sebuah hospial lima belas minit yang lepas membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, manakala berpuluh yang lain masih hilang. Kebanyakan mangsa adalah orang awam yang terdiri dari kanak-kanak dan wanita. Jurucakap Israel menafikan bahawa mereka mensasarkan orang awam, sebaliknya menyalahkan pergerakan Hamas yang menggunakan bangunan awam sebagai tempat persembunyian."


Abu Hisyam mendengus marah. Kakinya diangkat ke atas meja dan sebatang rokok dinyalakan. Seperti jutaan umat Islam dan orang Arab Mesir lain, dia juga benci akan kekejaman Israel. Dan seperti jutaan rakyat Mesir dan berbilion muslim lain di dunia ini, dia juga tidak berbuat apa-apa selain membenci.

FIN

Monday, December 01, 2008

Cinta Ini Biarkan Ia Pergi (cerita pendek kelapan..)


Kalau cinta takkan pernah bermakna.
Maka hidup hanya mimpi tak ke mana..

Radhi merenung ke penjuru taman itu. Insan yang dinantinya tetap belum kunjung tiba. Jam tangan diliriknya. Masa relatif sudah pun pukul 6 petang. 

"Sudah lewat sejam." Bisik Radhi perlahan. Renungannya makin jauh melela.

"Kita pulang sahajalah ya, Di." Murni tiba-tiba bersuara. Radhi fana sebentar dari angan dan sedarnya. Gadis awal 20-an itu tetap setia menanti jawapannya.

"Kejap lagi ya." Radhi menenangkan gadis itu. 

Sahabat baiknya itu hanya mengangguk dan kembali meminggir, membiarkan Radhi kembali dengan penantiannya. Radhi bergerak perlahan ke penjuru taman. Pohon yang menjadi tempat pertemuan dijanjikan terlihat begitu sepi dan sunyi. Radhi merenung pokok itu dari akar hinggalah pucuknya yang menjulang tinggi ke udara.

"Dah lama tunggu Di?" Sapa satu suara. Suara yang telah lama ditunggu-tunggu.

Di hadapan Radhi tercegat Siti Bainun. Wajah Radhi berubah ceria. Seperti kanak-kanak menonton Wonder Pets.

"Tak, baru je," Radhi cuba menghilangkan resah di hati. "Kenapa lambat?" Soal Radhi tanpa sedar paradoks soalannya. Atau oksimoron, atau ironi, dia sendiri tidak tahu.

"Tolong mak kejap tadi." Siti Bainun menghampiri Radhi. "Di.."

"Ya, Siti?"

"Mak ayah saya tak izinkan saya .."

"Dengan saya?" Wajah Radhi berubah sedikit.

"Mm." Wajah Siti Bainun pula berubah sugul.

"Mereka dah jodohkan awak dengan orang lain?" Radhi mula gopoh menyoal.

"Bukan begitu Di."

"Oh, saya tahu. Sebab saya tak bekerja, tak berpendidikan, takde harta, takde kedudukan, kan?"

Siti Bainun diam sebentar. Bak kata iklan, diam tanda setuju, senyum tanda suka.

"Saya faham Siti. Dalam cinta, rupa dan harta tetap juga dipandang orang."

"Janganlah macam tu Di. Kita masih boleh berkawan."

"Dan biarkan awak jadi milik orang lain?"

Siti Bainun diam dalam gelisah. Radhi melontar batu-batu kecil di hadapannya, bagai anak kecil yang protes.

"Saya pun belum sedia Di." kata Siti setelah agak lama berdiam.

"Cinta mana pernah ada persediaan. Bukan lampu boleh dibuka dan ditutup."

"Tapi Di.."

"Bainun!!" Suara keras seorang wanita mengejutkan mereka berdua. Siti Bainun berubah wajah ketakutan sebelum menoleh. Radhi bingkas bangun bersedia menghadapi kemungkinan.

"Ya mak!" Jawab Siti Bainun dengan getar suara seiras kambing mengembek.

"Balik mandi! Dah senja dah ni!!" Jerkah wanita itu lagi.

"Baik mak!" Siti Bainun menjawab dan bingkas meninggalkan Radhi. Setapak dua melangkah dia menoleh ke arah Radhi. "Di, tak tengok Shin Chan ke? Dah nak mula ni. Nanti terlepas!"

"Tapi tentang kita?"

"Nantilah Di, kita kan belum sekolah lagi!"

Bagai tersedar dari angannya Radhi bingkas meninggalkan Siti Bainun yang melambai-lambai. Bibiknya Murni dipanggil dan berdua-dua, mereka berjalan meninggalkan taman permainan itu. Mentari senja pun mula melabuhkan tirainya.

* * *

Diilham dari: lagu Taman Astakona (Slash) dan kisah cinta terlarang antara adik aku @pis dan rakan setusyen beliau. Kedua-duanya 6 tahun.

Saturday, November 15, 2008

Dialog Dari Pasar Malam (Cerita pendek..)


"Dah lama berniaga?"

"Baru tiga bulan."

"Banyak ke untungnya?"

"Bolehlah encik, cari makan."

"Takpelah, belajar sikit-sikit."

"Mm."

Kereta berhenti dan keluarlah dua manusia dari kenderaan berwarna putih itu. Dengan langkah perlahan-lahan kedua-duanya memasuki bangunan satu tingkat bercat merah jambu. Sederet pasu bunga menghiasi pintu masuk.

"Nak cerita dari mula? Atau nak saya tanya baru jawab?"

"Kalau dari mula tu, dari sekolah ke dari lahir?"

"Dari mula awak kerja."

"Ikut kawan. Kerja kilang dulu, pastu lepas tiga bulan berhenti."

"Panjangkan la lagi ceritanya. Nak rokok?"

"Saya tak merokok. Tak nak."

"Bagus, bagus. Biar saya je yang isap. Sambung sambung."

"Kawan saya tu Johari. Kenal?"

"Mm, dia dah pernah datang sini dua tiga kali."

"Dia tu penipu rupanya."

"Sabit la. tengok rupa pun dah tau."

"Dia ajak saya masuk skim ni, skim cepat kaya internet. Pastu rugi. Elok-elok duit saya banyak, jadi berhutang pulak."

"Berapa banyak habis?"

"RM10 ribu jugaklah."

"Eish, banyak tu." Geleng kepala. Ketuk rokok.

"Tu la pasal. Johari tu pulak lesap."

"Eh, ada je!"

"Mana?" Muka terkejut campur marah.

"Kat penjara. Curi motor."

"Dah agak dah." Reda dan sandar semula.

"Banyak ke hutang dengan orang?"

"Dalam RM5 ribu. Tu yang stat meniaga tu."

"Oh. Tengok laris je tadi."

"Mm, macam tu la berniaga pasar malam. Ada orang ada la bisnes. Kadang-kadang hujan takde la orang."

"Jual cd ngan dvd filem je ke?"

"Ha'ah."

"Lain-lain takde? Untuk orang tua-tua ke?"

"Hahaha!" Dua-dua ketawa sumbang. Puntung rokok dimatikan.

"Tak berani la. Kena tangkap susah. Jual filem aje la."

"Tu la. Susah jugak kalau camtu."

"Takpelah. Dah nasib."

"Mm, awak pergilah telefon sesapa dulu. Tidur sini malam ni, esok lusa balikla."

"Okay, terima kasih."

"Korporal! Bawak dia pergi telefon kejap, pastu letakkan dalam lokap!"

Suara dari luar,"Baik inspektor!"

* * *
 
p/s: cerita hanya rekaan semata-mata..

Thursday, October 30, 2008

Demi Adi (Satu lagi cerita kontot)


"Abang! Abang!" Seorang kanak-kanak seumur 9 tahun tercungap-cungap berlari ke arahku.

Aku yang sedang enak mengulum biji rambutan hampir tergolek dari pangkin. Terkejut.

"Adi bang! Adi!" Suara budak itu. Kamarul namanya.

Biji rambutan kuludah ke tepi. Wajahku berubah kaget.

"Kenapa dengan Adi?!" Aku bingkas bangun dan menyarung selipar yang tergeletak di bawah pangkin.

Kamarul menarik tanganku. Aku turut.

"Adi lemas bang! Kat tali air nun!" Tunjuk ke kanan.

Wajahku berubah menjadi hangat. Telinga bertukar panas. Darah naik ke muka, sentap ke kepala.

"Ya Allah, selamatkanlah adikku Adi!" Hati pasrah memanjatkan doa. Kakiku pula bagai pelari seratus meter laju berlari. Kamarul aku tinggalkan ke belakang. Tak guna menunggu anak kecil itu. Biar aku yang selamatkan Adi.

"Beritahu orang kampung lain!" Sebelum terlupa aku pekik kuat ke arah Kamarul. Dia menghilang dari pandangan. Larian pecut aku teruskan.

* * *

Adi anak bongsu. Aku anak sulung. Selepas aku dan sebelum Adi ada lagi seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Along, Adi nak keluar main dengan kawan-kawan!"

"Gi le, maleh aku nak jaga kau kat rumah ni ha!"

Ayat terakhir aku pada Adi. Serta-merta rasa segunung sesal bagai menghempap diriku. Tiba-tiba aku marah pada diri sendiri kerana biarkan Adi keluar. Rasa marah kerana cuti sekolah sebabkan budak-budak selalu bermain benda-benda yang merbahaya. Marah pada mak ayah yang percaya sangat pada aku untuk menjaga Adi. Semuanya salah!

Adi sesuai dengan fitrahnya sebagai budak-budak memang suka keluar bermain.

Aku sesuai dengan fitrahku sebagai remaja memang malas memikul tanggungjawab.

Cuti sekolah sesuai dengan fitrahnya sebagai masa rehat memang masa budak-budak bermain.

Mak ayah sesuai dengan fitrah mereka sebagai ibu bapa memang perlu keluar bekerja.

* * *

Tali air sudah nampak di mata. Aku terus lari pecut. Jarak tali air dari pangkin rumah lebih kurang 300 meter. Dalam masa 25 saat aku sudah memecahkan rekod dunia larian 300 meter. Cuma tidak ada acara lari pecut 300 meter dalam dunia ini.

Aku terus terjun dalam air. Kawan-kawan Adi hanya melihat dari tepi. Yang paling kecil Buyung umurnya 5 tahun. Yang paling tua Fahmi 11 tahun. Aku tak cam yang lain. Tak sempat. Yang sempat aku ingat adalah seorang dua budak-budak yang menunjuk ke dalam tali air, menjerit-jerit perkataan 'lemas', 'Adi' dan 'tolong'.

Dari muka ke dasar aku menyelam. Aku mesti cari Adi. Aku tak dapat bayangkan hancurnya hati mak kalau Adi mati lemas.

Kali pertama aku menyelam aku tak jumpa apa-apa. Air gelap dan pekat. Hujan semalam mengeruhkan lagi air di tali air yang lebih kurang 7 kaki dalamnya. Hatiku menyumpah-nyumpah kenaifan kanak-kanak kecil mandi di tali air yang sedalam ini.

Kali kedua aku tarik nafas dulu dalam-dalam sebelum menyelam. Mata aku beliakkan besar-besar meskipun air keruh membuatkan jarak penglihatan menjadi sifar. Kakiku mula kejang.

Kali ketiga aku hanya tawakkal meraba dengan tangan. Adi mesti aku keluarkan meskipun dia hanya tinggal jasad. Aku nekad meraba macam orang gila dalam bas. Bezanya kalau atas bas aku akan mati dipukul.

Tubuh seseorang tergapai oleh tangan kiriku. Aku raba-raba lagi sehingga ketemu tangannya. Sah ini Adi! Aku tarik sekuat tenaga berperang dengan selut yang memerangkap kaki Adi. Aku yakin jika aku adalah ibu atau kakak pada Adi pun aku akan guna seluruh tenaga juga. Bezanya mungkin aku akan gagal.

Adi mula lolos dari perangkap selut dasar tali air. Aku tarik Adi hingga ke permukaan. Orang kampung yang sudah tiba rata-ratanya hanya merenung air dari pinggiran. Menenung tuan puteri agaknya.

"Tu budaknya!" Jerit seorang dari mereka. Adi dinaikkan. Aku terkial-kial naik sama. Adi dimasukkan dalam ambulans yang sedia menunggu. Cepat pula mereka sampai. Aku naik sekali menumpang ke hospital.

* * *

Di hospital mak dan ayah terpa Adi. Aku hanya terkocoh-kocoh mengikut dari belakang. Selain berdoa agar Adi sembuh aku juga berharap mak dan ayah tak salahkan aku. Baju dan seluar basah tambah mendinginkan apabila terasa penghawa dingin hospital. Kecut segala benda.

Adi disorong ke dalam bilik kecemasan. Mak meraung macam Adi dah tak ada. Ayah bersungguh-sungguh menenangkan mak.

"Anak kita bang," mak tersedu-sedan menangis. Aku tak sanggup tengok dan takut dipersalahkan jadi punca Adi lemas. Aku duduk agak jauh dari mak dan ayah. Nak dekat takut kena marah, nak lari aku bimbangkan Adi. Beberapa pesakit hospital hanya tenung aku. Mungkin sebab aku kacak dan mungkin sebab aku basah. Aku tertunduk-tunduk gementar. Terketar-ketar kesejukan.

Lepas 15 minit doktor keluar. Ayah yang terlebih dahulu menerpanya. Ayah mengangguk-angguk dengar kata doktor. Mak masih menangis.

Seorang polis pula menghampiri ayah. Mungkin ambil keterangan dari ayah. Ayah ikut encik polis menghilang dari sebalik pintu. Adi pula disorong keluar dengan katil dari bilik kecemasan dengan tiub bersilang ke seluruh anggota badan. Mak terpa dan iringi Adi. Aku ikut cepat-cepat hendak melihat Adi.

Syukurlah, Adi dah sedar. Dia senyum memandangku tetapi masih terlalu lemah untuk berkata-kata. Aku bersyukur ke hadrat ilahi dengan sesyukur-syukurnya.

Adi dimasukkan pula ke dalam unit rawatan rapi. Aku dan mak tak boleh masuk. Sedang kami terintai-intaikan Adi dari kaca tingkap bilik ICU itu ayah datang.

"Dah jumpa dah." Kata ayah. Mak menangis kembali. Kali ini lebih sedih dari tadi. Ayah peluk bahu mak dan iringi mak pergi dari situ. Aku yang kehairanan menurut sahaja.

*` * *

Setelah turun lif tiga tingkat ke bawah, mak dan ayah diiringi seorang pegawai hospital masuk ke sebuah bilik. Mungkin untuk buat urusan insurans agaknya.

Yang peliknya bilik ini penuh dengan pintu besi. Ada dua katil dengan satu kosong dan satu lagi ada jasad yang terbujur kaku.

Mak rebah. Ayah yang tabah pun terhinggut-hinggut menangis. Aku hampiri mereka. Tahulah aku kini,rupanya jenazah aku yang terbaring di atas katil itu . Tak mengapalah mak, ayah. Semuanya demi Adi.

p/s: inspirasi: filem sepi, the others, siapa di dalam aku di luar!! dan lan-lain tq..

Monday, October 27, 2008

Hujan Menggila Di Hentian Bas SS5 (Cerita Pendek)


Hujan renyai-renyai. Sesudah mengelak beberapa lopak yang memercik dilanggar kereta, berteduh juga aku akhirnya di bawah hentian bas ini. Hentian separuh roboh separuh rebeh ini sunyi dan sepi, sesepi fitrah alam yang sudahpun mencecah jam 10 malam waktu setempat.

Selepas mengibaskan kebasahan dari pakaian dan beg galas yang aku bawa, aku duduk melepas lelah sambil meninjau bas yang seterusnya. Bas terakhir. Bas nombor 66A.

Tiba-tiba hujan jadi menggila. Mahu atau tidak tempiasnya menerjah juga ke tubuh aku. Sekali lagi beg galas dijadikan payung ganti menahan tubuh kerdil dari dijirus langit hitam pekat. Dingin malam turut menjadi raksasa halimunan yang menggigit tubuh dengan sejuknya hingga ke tulang sumsum.

Dari kepekatan alam tiba-tiba timbul sesusuk tubuh manusia menghampiri hentian bas yang terpencil ini dari jauh. Aku amati tenang. Seorang gadis awal 20-an kelihatan berlari-lari mengulangi perbuatan aku seawal tadi, cuma dengan tempo lebih siaga dan terdesak. Dia agak kaget melihat aku yang duduk di situ, mungkin segan, mungkin takut. Aku angguk ramah sebelum terhampa dengan si gadis yang pantas mengabaikan sapaan aku. Mungkin sombong, mungkin bimbang.

Dari jadual bas yang kuhafal dalam kepala, bas seterusnya hanya akan tiba lima belas minit lagi. Jika selama itu juga hujan terus menembak kami, aku yakin frasa 'tangkap basah' akan menjadi lebih tepat; itupun jika ada penguatkuasa jabatan agama memandai-mandai menjalankan operasi ke seluruh hentian bas serata negeri.

Seperti skrip drama, hujan reda kembali setelah si gadis betul-betul basah. Blaus yang dipakainya cuba menyerlahkan sesuatu, tetapi sebagai lelaki budiman adalah lebih mulia untuk aku tidak melihat. Maka aku tidak melihat. Lagipun terlalu mudah kekantulan jika aku melihat. Maka aku tidak melihat.

Suratkhabar di dalam beg aku keluarkan. Bukan surat khabar hari ini atau semalam. Sebaliknya suratkhabar seminggu lepas. Tidaklah jelas sangat huruf-hurufnya di dalam gelap malam sebegini tetapi dari hanya berdiam diri merenung si gadis lebih baik aku berbuat sesuatu. Samada pura-pura atau tidak.

Beberapa halaman hadapan yang memuatkan berita politik dan kepartian aku langkau untuk terus membaca berita dalam negeri.
Berita bunuh, rogol, buang bayi dan lain-lain marba kejinya manusia kubaca dan teliti satu-satu, bersuluhkan lampu jalan yang menerangi jalan, bukannya hentian bas. Semuanya pura-pura.

"Hello, abang?" Terdengar suara si gadis. Sekilas aku pandang ke arahnya. Rupanya dia sedang berbual di dalam telefon. Aku yang nyaris teruja dengan bibit perkenalan kembali membaca akhbar. Dalam hati menyumpah akibat malu terpedaya dengan kata mesra semurah 'abang'. Perkataan magis yang sering menjerat hati nurani lelaki.

Ayat-ayat seterusnya yang kutangkap tidak jelas, tetapi nada pathosnya lebih menjurus kepada pertelingkahan antara sepasang kekasih. 'Awak pentingkan diri', 'Minta tolong pun tak boleh', 'Tak kesian kat ling', 'Sibuk sangat dengan kerja' dan ayat-ayat merajuk lain terdengar di telinga. Rumusannya adalah si 'abang' tidak dapat datang mengambil kekasihnya di sini kerana sibuk dengan kerja. Pukul 10.07 malam. Ditambah pula dengan ayat pertengkaran seperti 'sudahlah!' dan 'go to hell!' turut menyebabkan aku yang pura-pura membaca akhbar (dalam gelap) terus membaca lagi.

"Dik, sabar, duduk dulu. Janganlah marah-marah macam ni." Nasihat aku. Si gadis yang sudah menamatkan panggilan sedang bersms pula tanpa menjawab. Kalau dia menjawab maknanya dia ada telepati sebab aku hanya menasihat dalam hati.

Aku terus membaca. Mataku menangkap berita rogol dan bunuh yang separuh terang dan separuh gelap dalam akhbar itu.

'Culik, Rogol dan Bunuh Di Hentian Bas'. Tulis berita itu. Entah sebab apa aku tertarik membaca berita seminggu sudah itu. Lampu telefon bimbit aku jadikan panduan.

'Petaling Jaya-20 Oktober. Mayat seorang eksekutif muda, Tia Azini, 23 tahun, yang dilaporkan hilang ketika sedang menunggu bas ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam semak tidak jauh dari hentian bas tempat dia dilaporkan hilang. Polis mempercayai mangsa telah dipengsankan dan kemudiannya dibawa ke semak tersebut sebelum dirogol dan dibunuh. Menurut teman lelakinya, dia diminta oleh mangsa untuk mengambilnya di hentian bas tersebut kerana mangsa terlepas bas terakhir pada pukul 10.30 malam, namun apabila tiba sejam kemudian, dia tidak menemui mangsa di hentian bas SS5, Kelana Jaya seperti yang dijanjikan. Panggilan telefon juga tidak berjawab. Selepas membuat laporan polis, polis melakukan operasi mencari di sekitar kawasan tersebut dan menemui mayat Tia dalam keadaan separuh berpakaian. Polis kini giat memburu suspek, seorang lelaki disyaki warga tempatan berusia pertengahan 20-an. Mereka yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian 03-78787878.'

Gambar Tia jelas terpampang di akhbar. Aku teliti wajahnya dan dalam hati sayu mengenangkan gadis secantik itu bagai disumpah dengan nasib sebegitu malang. Wajah lakaran photofit suspek turut disediakan. Iras-iras muka aku pun ada, aku ketawa kecil dalam hati.

SS5 Kelana Jaya? Tak syak lagi, inilah hentiannya. Semak tempat gadis itu dibunuh pun masih boleh dilihat dari sini, meskipun kawasannya jauh lebih gelap, kelam dan menyeramkan. Ma

Nanti dulu. Serasa aku pernah kulihat gadis di dalam akhbar itu tadi. Seperti baru sahaja aku jumpa, tapi di mana ya?

Mataku menangkap gadis yang sedang bersms di hadapanku. Ku rujuk silang dengan gambar di dalam akhbar. Matanya sama tajam, bibirnya sama juih Angelina Jolie, malah gaya rambutnya pun seiras ikalnya panjang ke bahu. Ini bukan seiras, ini betul-betul serupa!

Aku telan air liur. Wajahku mula berpeluh dingin. Bulu roma di leher pun sudah meremang. Aku pandang sekeliling, hanya aku dan perempuan itu sahaja yang ada di hentian bas tersebut.

Aku telan air liur lagi. Surat khabar aku lipat dan masuk ke dalam beg. Aku mesti pantas bertindak sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Sebelum bas 66A sampai, sebelum teman lelaki gadis ini datang, sebelum polis meronda, aku mesti puaskan nafsu aku.

Aku keluarkan klorofom dan dekati perempuan itu perlahan-lahan.

~Fin~

Friday, October 17, 2008

Pandi Kau Direject Milah Tak Boleh Blah (cite pendek)

Pandi merengus. Manusia-manusia durjana yang mengurungnya menoleh sebentar ke arahnya. Kemudian mereka acuh tak acuh kembali dengan dunia masing-masing.

"Wei, kenapa kamu kurung aku?"

Lokman yang dikenalinya menoleh sebentar.

"Sabar ye Di. Kejap lagi makanan kau sampai."

"Aku bukan nak makan! Aku nak bebas! Nak jenguk tempat tinggal aku!" Jawab Pandi keras.

Lokman buat bodoh. Rokok Surya kembali ke bibirnya. Asap beracun disembur sebelum hilang disapu angin.

"Lokman, dia panggil kau tu!" Kawan-kawan Lokman mengusik dan kemudian terkekeh-kekeh ketawa.

Pandi cuba meronta. Temali yang melilitnya benar-benar membakar kulit. Melepuh dan menyeksakan. Nyamuk yang menggigit pedih cuba dihalaunya, tetapi apalah dayanya dalam kurungan ini.

Tidak sepedih hatinya. Hati yang dikhianati. Sudahlah cintanya pada Milah tidak berbalas. Dia diikat dan dikurung. Dimalukan bagai insan tak beribu tidak berayah. Memang pun.

Arwah ibunya dulu pernah berpesan. Orang-orang kampung akan melayannya seperti mana mereka melayan keluarganya. Entah kerana dosa apa, fitnah dasyhat yang bagaimana, bapanya dulu turut dikurung sebelum dibunuh kejam. Bukan oleh orang lain, orang-orang kampung ini juga.

Ibunya menyusul tak lama kemudian. Sudahlah hukumannya tidak berbela, matinya juga tidak berkubur. Hingga ke hari ini dia tidak tahu mana kubur ayah ibunya.

Milah atau Bahar yang hasut orang kampung? Hati kecilnya tertanya.

Masih jelas di ingatannya, gadis itu mula dikenalinya ketika dia mula belajar mencari rezeki. Apalah yang ada padanya, tidak seperti Bahar yang dikenali jaguh kampung. Atau Deraman yang sering menjadi rebutan. Ke hulu ke hilir dia dijemput datang. Ke mana dia pergi, kaum wanita melonjak gembira. Anak isteri sudah bersusun pun tetap digilai ramai. Tidak sepertinya, sudahlah hidup bergelandangan, kadang-kadang dituduh gila atau membawa penyakit berjangkit. Kalau terserempak budak-budak balik mengaji, ada juga yang nakal mencemuhnya dengan pelbagai nama. Bodoh macam lembu kata mereka.

Yang paling mengecewakannya, Milah menolak cintanya bulat-bulat. Bahar yang terlebih dahulu berjaya memenangi cintanya telah menghambatnya keliling kampung, lantas dibelasah dan dimalukan. Kawan-kawan Bahar hanya mentertawakannya, malah Milah pun hanya tersenyum sinis. Menghina. Cukup hina!

Lokman kawannya ini pun turut mengkhianatinya. Dahulu Lokman selalu membelanjanya makan. Mungkin tanda kasihan atau mungkin juga tanda simpati. Kini Lokman agaknya turut dihasut kata-kata orang kampung. Akibatnya dia kini dikurung dan diikat macam binatang.

"Lokman, lepaskanlah aku!" Pinta Pandi apabila Lokman ditinggalkan seorang oleh rakan-rakannya. Kata-kata rayuan mula berubah menjadi kasar dan keras, sebelum menjadi lembut semula bila dia kehabisan tenaga.

Lokman memandangnya. Kemudian dia toleh kiri dan kanan sebelum maju setapak ke arah Pandi.

"Di," Lokman panggil. Pandi berjalan lambat-lambat. Dia sendiri tidak tahu sama ada Lokman boleh dipercayai atau tidak. Cuma sewaktu orang kampung mengikatnya dahulu, Lokman tidak terlibat. Mungkin Lokman sebenarnya terpaksa menurut kata orang-orang yang lebih berkuasa?

Lokman menepuk-nepuk bahunya dan menghulurkan makanan. Pandi sudah kelaparan. Dia tidak mampu menolak dan menjamah rakus. Macam haiwan. Lokman senyum dan terus menepuk-nepuk bahunya. Pandi cuba senyum tetapi seumur hidupnya yang penuh duka ini, tak pernah dia senyum walaupun sekali. Hanya air mata yang biasa menggenangi matanya.

Baru selesai dia menghabiskan makanannya, orang-orang kampung mula menjelma. Mula-mula seorang dua, kemudian bertambah menjadi ramai. Ada yang bawa anak isteri. Ada ibu yang siap menggendong bayi. Ada kanak-kanak berkonvoi naik basikal. Pandi kaget, mula berundur ke belakang mencari tempat bersembunyi, sebelum tali menghalang pergerakannya. Dia tahu nasibnya akan jadi lebih buruk selepas ini.

"Bunuh dia! Potong leher dia!" Seorang budak nakal bersuara. Tok ketua yang sudah ke hadapan kerut dahi suruh dia diam. Budak itu tersipu-sipu malu ditegur. Seorang makcik mungkin ibunya menyambung marah. Beberapa penduduk kampung ketawa. Macam pergi pesta.

Baru sahaja Pandi mula bersangka baik pada Tok Ketua, orang tua itu mengarahkan agar dia diseret keluar. Pandi cuba meronta tetapi apalah tenaganya berbanding dengan penduduk kampung. Dia merayu-rayu meminta simpati tetapi siapa yang sudi menghulurkannya? Adakah benda percuma dalam dunia ini?

Setelah bertempur tenaga Pandi berjaya dibaringkan. Dia menutup mata tidak sanggup melihat hukuman yang bakal dihadapinya. Dia pasrah.

Orang kampung mula bertakbir. Besi dingin mula mampir ke urat tengkoknya. Beberapa minit kemudian Pandi tidak bernyawa lagi. Selepas tubuhnya kaku dagingnya mula dilapah, dibungkus dan diagih-agihkan kepada fakir miskin. Seperti ayah dan ibunya, Pandi juga menjadi korban Hari Raya AidilAdha.

Saturday, October 11, 2008

Siapa Di Dalam, Aku Di Luar!!! (sa-buah cherita pendek)


Pak Leh menelan air liur. Bulan mengambang di atas kepala di dongaknya sekali lagi. Dari celah gemawan cahaya redupnya mencukupi sebagai lampu alam, menerangi malam yang tentu tanpanya akan menjadi gelap-gelita. Tersentuh hatinya sebentar betapa indahnya hidup manusia di atas muka bumi ini.

Namun perasaan takzim yang sebentar menjengah itu hilang semula apabila rumah kayu usang itu jatuh semula pada pandangan matanya. Rumah yang hanya layak didiami puaka itu agak gelap dari luar, namun cahaya malap dari dalam tembus juga menjenguk dari sela-sela dinding kayu.

Pak Leh kenal Mat Taha yang duduk di rumah itu. Sungguhpun mereka tidaklah rapat sangat, apatah lagi Mat Taha dan rumah buruknya ini terpencil dan terperosok di ceruk kampung, sekurang-kurangnya pernah juga mereka bertegur sapa. Akhir sekali ketika Mat Taha datang ke kenduri di rumahnya beberapa hari lepas.

Cuma setahunya Mat Taha selalunya tiada di rumah, biasanya ke pekan atau kampung-kampung sebelah mencari pekerjaan. Hidupnya seorang diri dan sebatang kara, terutamanya selepas arwah bapanya meninggal dua bulan lepas. Arwah Tok Man bomoh hebat, kata orang kampung. Banyak juga yang dibelanya. Sekali-sekala mengikut gossip setempat nampak juga lembaga seakan-akan Tok Man membetulkan tiang rumah waktu senja. Kata oranglah.

Pak Leh telan air liur sekali lagi. Perutnya yang memulas-mulas memaksanya membuat keputusan drastik. Dia boleh meninja di tepi jalan bagai manusia gelandangan, atau lebih manusiawinya menumpang jamban di belakang rumah Mat Taha. Cuma, jika rumah Mat Taha layak diduduki puaka, maka jambannya pula layak diduduki ifrit. Dilema itulah yang bermain di fikirannya. Serasanya kurang sopan memanggil Mat Taha semata-mata untuk meminta kebenaran berjamban. Namun lebih kurang sopan lagi jika dia mencuri-curi mencebuk tanpa lafaz halal bi halal dari tuan rumah.

Pak Leh pandang keliling. Rumah terdekat pun hampir 300 meter jauhnya dari rumah itu. Pak Leh tak rela najisnya menaburi persisiran jalan semata-mata kerana dia takut memberi salam. Perlahan-lahan dia merapati rumah itu melalui denai kecil yang lebih rimbun ditutupi dedaun pokok. Cahaya bulan yang tembus digunakan sebaik mungkin agar dia tidak tersadung, atau lebih buruk lagi, terjerumus ke dalam lopak.

Pak Lah merapati dinding bahagian sisi rumah Mat Taha. Cahaya lampu dari dalam rumah terlalu malap untuk dijadikan panduan. Malah mungkin juga cahaya itu hanyalah cahaya bulan yang terbias semula ke arahnya. Lama Pak Leh berperang dengan perasaannya sama ada untuk memberi salam atau tidak.

Dimajukan lagi langkahnya menuju ke belakang rumah. Biasanya di kampung-kampung pintu dapur lebih mesra tetamu berbanding pintu hadapan. Dimajukan lagi jalannya ke belakang, tetapi masih berhati-hati melangkah agar tidak mengejutkan sesiapa.

Pintu dapur rumah Mat Taha masih lagi terlindung dari pandangannya. Akan tetapi terdengar jelas di telinga Pak Leh bunyi pintu terbuka. Baru hendak dipandangnya ke arah itu, tertangkap di mata Pak Leh sekilas kelibat lembaga keluar dari pintu dapur dan menghilang ke sebalik rimbun di belakang rumah. Dalam terkejutnya Pak Leh dengan situasi tersebut, dia masih pantas berfikir dan segera menurut jejak lembaga tadi.

Langkah pantasnya terhenti apabila dia sampai ke jamban di belakang rumah Mat Taha. Dilihatnya cahaya lilin yang malap menyala dari dalam jamban tersebut. Berkerut dari Pak Leh menimbang-nimbang. Mungkin lembaga tadi sebenarnya Mat Taha yang turut ingin membuang air? Atau makhluk lain yang sengaja ingin menduga keberaniannya? Akhirnya setelah berfikir seketika, perut Pak Leh yang bingkas membuat keputusan.

"Taha, ini aku, Saleh. Kalau kau kat dalam tu cepat la sikit, aku sakit perut dah tak tahan ni!"

Senyap. Pak Leh telan air liur.

"Taha, kau ke kat dalam tu! Betul, ni aku Saleh. Jangan takutkan aku Taha. Aku nak tumpang jamban kau je! Cepat sikit!"

Senyap juga. Pak Leh mula geram.

"Yalah, Taha! Aku pergi tempat lain je! Jamban buruk pun nak berkira ke!" Pak Leh terus berlalu marah-marah sambil memegang perutnya.

Di dalam jamban, Mat Taha sudah menggigil-gigil ketakutan dan berpeluh dingin. Mana tidak, kali terakhir mereka bertemu adalah pada kenduri tahlil arwah Pak Leh yang dihadirinya tiga hari lepas.
____________________________________________________________________

Inspirasi: M. Night Shyamalan

Wednesday, May 28, 2008

Jenuh Tak Bersisip Angan... (Cerita Pendek)


Sekali lagi gadis itu pandang tepat ke arah ku. Wajahnya macam terseyum-senyum, jadi aku pun senyumlah balik. Cantik memang cantik. Tidaklah secantik Jessica Biel tetapi bibirnya iras-iras Angelina Jolie. Matanya pun tajam seperti memprovokasi aku.

Aku pandang keliling. Tidak ada sesiapa pun di lorong aku ini, jadi memang sah dia senyum pada aku. Dari celah-celah buku yang tersusun di rak ini, mungkinkah dia ingat aku ini orang lain? Aku tarik nafas dan telan air liur. Buku yang berceranggah di atas rak yang searas dengan kepala aku kurapatkan dan tolak biar santak ke tepi. Nah, sekarang dia boleh tengok muka aku betul-betul, baru aku tak malu nanti.

Ha, tengok tu. Dia pandang aku lagi. Dan sekali lagi dia senyum. Aku pun senyumlah balik sekali lagi. Sesaat sahaja senyuman dan pandangannya jatuh menimpa aku, tetapi rasa umpama bertahun bahagia bercinta.

Tiba-tiba aku tersedar. Aku menyorok sedikit dari pandangannya. Apakah senyumannya hanya senyuman sinis menghina kejanggalan diri? Dengan kadar segera aku membuat semakan pantas. Rambut? Kemas macam Jay Chou. Gigi? Putih bersinar bak gigi negro. Bulu hidung? Terpotong rapi tak kelihatan dari pandangan. Pakaian? Baju dan seluar masih melekat di badan, tak telanjang berinspirasikan filem Bring It On.

Zip? Degupan jantung terhenti sekejap. Perlahan-perlahan aku tunduk dan selak baju dengan tempo adagio. Terkangkang dan terpompa sedikit bagi mudah melihat. Adik aku nyenyak tidur dalam sangkarnya, jauh dari pandangan sesiapa. Mungkin juga akan bangun kalau si gadis terus-terusan senyum mesra.

Aku kembali zahir pada pandangan. Mata pura-pura mencari buku, tetapi dapat tertangkap seleret pandangan yang si gadis lemparkan. Babak-babak iklan Sunsilk menjelma di ingatan. Apakah ini Cinta Perpustakaan?

"T.. T.. Theory of Mechanics. Ha, ini dia!" suaraku perlahan antara dengar atau tidak. Ketemu dengan buku yang menghambat tujuan asal datang ke perpustakaan ini. Aku ambil dan selak-selak, memeriksa tajuk, nama penulis dan penerbit. Syabas, ini bukunya.

Serentak kegembiraan berlangsung, mata kembali mencari si gadis. Eh, mana dia? Meliar sebentar aku mencari mana si cantik yang baru tadi bertentang mata. Apakah sudah pulang?

"Abang.." Suara manis molek memanggil dari belakang. Jantung tiba-tiba enggan berfungsi. Dengan penuh saspen aku menoleh. Kelihatan si bidadari sudah menjelma di hadapan muka. Wajahnya jauh lebih cantik pada jarak satu meter berbanding 5 meter. Pasti dalam jarak satu inci wajahnya kan mengaramkan hati.

"Hai, nama saya.." aku ingin memperkenalkan diri.

"Mintak lalu sikit, nak ambik buku.." si cantik pantas mencelah dan segera satu buku berkulit jingga berpindah tempat dari rak ke tangannya.

Si rupawan senyum lalu menoleh, dan kemudian pantas berlalu. Meninggalkan aku dengan niat terjun bangunan atau berhenti belajar dan masuk askar.

Dengar kata orang, inilah sebabnya aku berhenti UTP dan masuk UiTM.

**********************************************************************************

Diinspirasi oleh: Iklan Levi's dalam majalah dan iklan Sunsilk

Saturday, May 24, 2008

Mega Mendung Di Angkasa... (Cerita pendek)

Timah bagai kaku tak bergerak. Nafasnya termengah-mengah, tetapi dikawalnya sehabis baik agar tak kedengaran bunyinya. Dengan takut-takut matanya meleret ke kiri dan ke kanan. Perlahan-lahan disinsingnya kain kurung sekolah yang dipakai, dan diangkat kaki kanannya sesenyap yang boleh. Kaki kanan itu kemudian diletak penuh hati-hati selangkah di hadapan, agar hanya dia yang menangkap bunyinya.

"Kau tengok belakang semak tu Ro!" Timah tersentak. Peluh entah dingin entah tidak turun tiba-tiba. Hatinya berbelah-bahagi sama ada mahu lari selaju mungkin atau terus membatu menyembunyikan diri. Dia tahu sedikit sahaja kesilapan yang dilakukannya, baik sengaja atau tidak, akan mengundang bahana. Timah mungkin baru darjah tiga. Tapi dia pun tahu takut juga.

"Budak tu tak ada kat sini Meng!" Timah telan air liur. Masih bimbang leganya hanya sementara. Matanya sahaja yang lebih laju dari degup jantungnya sekarang. Yang lain-lain kaku. Beku.

Pohon kelapa sawit yang disandarinya menimbulkan bekas di belakang baju sekolah yang dipakai. Namun Timah tidak peduli itu. Kasutnya pun sudah merah berdebukan tanah. Itu pun kurang penting. Di hadapannya sekarang hal hidup dan mati!

Dalam hatinya tiba-tiba timbul sesal engkar pesan ibunya tadi. Sejurus sebelum dia keluar ke sekolah ibunya berpesan,

"Mah, lepas habis sekolah terus balik rumah tau!" Waktu itu selepas disogok dua ringgit, Timah terus angguk-angguk macam anak solehah yang taat.

Namun sekarang dia di sini. Di belakang sebatang pokok sawit. Sedang menyorok menyelamatkan diri.

Tiba-tiba fikirannya terbayang nasib tragis gadis yang sebaya dengannya. Ada didengar orang tuanya bercakap selalu. cikgu di sekolah pun ada ingatkan. Yang dijumpai betul-betul kaku tak bernyawa. Di dalam beg, di tepi jalan, dalam ladang kelapa sawit. Ada yang seumur dengannya, ada yang belum sempat bersekolah pun lagi. Ada juga yang sudah dewasa, tetapi perempuan dalam umur mana pun tetap selalu akan jadi mangsa.

Setiap hari Timah berdoa agar mereka yang ditimpa nasib sedemikian ditempatkan Allah Taala di dalam syurga-Nya, dan binatang yang terlibat pula dihukum di dunia dan diazab di akhirat. Lagipun itu yang disuruh ustazahnya dalam kelas agama. Dia aminkan sahaja.

Dia ikut sahaja, budak-budak macam dia mana tahu apa-apa. Suruh main dia main, suruh pergi kedai dia pergi kedai. Yang dia tahu nak seronok. Seronok jalan-jalan, seronok makan gula-gula, seronok bermain. Dihalang dilarang marahlah dia. Masam muka, cebik bibir. Mana Timah tahu itu semua untuk keselamatan? Keselamatan tu apa?

"Ha, ini pun dia!" Satu jerkah keras menempelaknya. Dan Timah yang entah kerana terkejut entah kerana takut terus pengsan. Gelap.

*****************************************************************************

"Tu la degil lagi! Emak dah cakap lepas sekolah terus balik kan? Kenapa keluar main sorok-sorok? Ni tak pasal-pasal baju kotor, seluar kotor! Kalau kena patuk ular tadi macam mana?" Apa yang ibunya bebelkan selepas itu tidak lagi didengarnya. Sebaik sahaja sedar Timah peluk ibunya erat-erat. Sekurang-kurangnya dia masih selamat. Lagipun dia hanya main sorok-sorok.

Tammat