Wednesday, May 28, 2008

Jenuh Tak Bersisip Angan... (Cerita Pendek)


Sekali lagi gadis itu pandang tepat ke arah ku. Wajahnya macam terseyum-senyum, jadi aku pun senyumlah balik. Cantik memang cantik. Tidaklah secantik Jessica Biel tetapi bibirnya iras-iras Angelina Jolie. Matanya pun tajam seperti memprovokasi aku.

Aku pandang keliling. Tidak ada sesiapa pun di lorong aku ini, jadi memang sah dia senyum pada aku. Dari celah-celah buku yang tersusun di rak ini, mungkinkah dia ingat aku ini orang lain? Aku tarik nafas dan telan air liur. Buku yang berceranggah di atas rak yang searas dengan kepala aku kurapatkan dan tolak biar santak ke tepi. Nah, sekarang dia boleh tengok muka aku betul-betul, baru aku tak malu nanti.

Ha, tengok tu. Dia pandang aku lagi. Dan sekali lagi dia senyum. Aku pun senyumlah balik sekali lagi. Sesaat sahaja senyuman dan pandangannya jatuh menimpa aku, tetapi rasa umpama bertahun bahagia bercinta.

Tiba-tiba aku tersedar. Aku menyorok sedikit dari pandangannya. Apakah senyumannya hanya senyuman sinis menghina kejanggalan diri? Dengan kadar segera aku membuat semakan pantas. Rambut? Kemas macam Jay Chou. Gigi? Putih bersinar bak gigi negro. Bulu hidung? Terpotong rapi tak kelihatan dari pandangan. Pakaian? Baju dan seluar masih melekat di badan, tak telanjang berinspirasikan filem Bring It On.

Zip? Degupan jantung terhenti sekejap. Perlahan-perlahan aku tunduk dan selak baju dengan tempo adagio. Terkangkang dan terpompa sedikit bagi mudah melihat. Adik aku nyenyak tidur dalam sangkarnya, jauh dari pandangan sesiapa. Mungkin juga akan bangun kalau si gadis terus-terusan senyum mesra.

Aku kembali zahir pada pandangan. Mata pura-pura mencari buku, tetapi dapat tertangkap seleret pandangan yang si gadis lemparkan. Babak-babak iklan Sunsilk menjelma di ingatan. Apakah ini Cinta Perpustakaan?

"T.. T.. Theory of Mechanics. Ha, ini dia!" suaraku perlahan antara dengar atau tidak. Ketemu dengan buku yang menghambat tujuan asal datang ke perpustakaan ini. Aku ambil dan selak-selak, memeriksa tajuk, nama penulis dan penerbit. Syabas, ini bukunya.

Serentak kegembiraan berlangsung, mata kembali mencari si gadis. Eh, mana dia? Meliar sebentar aku mencari mana si cantik yang baru tadi bertentang mata. Apakah sudah pulang?

"Abang.." Suara manis molek memanggil dari belakang. Jantung tiba-tiba enggan berfungsi. Dengan penuh saspen aku menoleh. Kelihatan si bidadari sudah menjelma di hadapan muka. Wajahnya jauh lebih cantik pada jarak satu meter berbanding 5 meter. Pasti dalam jarak satu inci wajahnya kan mengaramkan hati.

"Hai, nama saya.." aku ingin memperkenalkan diri.

"Mintak lalu sikit, nak ambik buku.." si cantik pantas mencelah dan segera satu buku berkulit jingga berpindah tempat dari rak ke tangannya.

Si rupawan senyum lalu menoleh, dan kemudian pantas berlalu. Meninggalkan aku dengan niat terjun bangunan atau berhenti belajar dan masuk askar.

Dengar kata orang, inilah sebabnya aku berhenti UTP dan masuk UiTM.

**********************************************************************************

Diinspirasi oleh: Iklan Levi's dalam majalah dan iklan Sunsilk

Aku penuntut, bukan sasterawan!



Assalamualaikum..

Kalau zaman sekolah adalah zaman yang indah, maka alam universiti tentu sekali alam yang mendewasakan.

Belajar untuk menjadi jurutera, Universiti Teknologi Petronas adalah haluan yang dipilih (oleh mak ayah aku) untuk aku tuju meneruskan perjuangan hidup.

Di sana aku belajar dan diajar bahawa sekolah hanyalah sekentut rasa sukarnya alam universiti. Dan universiti pula hanyalah sekentut rasa alam kehidupan.

Namun yang paling nyata aku adalah seorang gamer yang serius. Worm 2, Diablo, Diablo II, Diablo II: Lord of Destruction, TCM, Fifa Manager 2006 ke bawah, Championship Manager 4 atau 5, FIFA 2001-2006, Warcraft III: Reign of Chaos, Warcraft III: Frozen Throne, Dota, Sims I, Sims 2 dan add-onnnya, Hitman : Codename 47, Hitman 2: Silent Assassin, Railroad Tycoon 3, Zoo Tycoon 1 & 2, Thief: Deadly Shadows, Grand Theft Auto III, Grand Theft Auto: Vice City, GTA San Andreas, Need For Speed: Underground, Ganguro Deluxe, 7 Sins, Star Wars: Knight of the Old Republic 2 The Sith Lords.

Fuhh.. banyak gila dan banyak lagi. Mana tak fail.

Malas la nak cerita zaman UTP nih. Sedih.. Tapi sekurang-kurangnya dapat kereta sebijik dan cik Wani masih setia tunggu aku..

Saturday, May 24, 2008

Mega Mendung Di Angkasa... (Cerita pendek)

Timah bagai kaku tak bergerak. Nafasnya termengah-mengah, tetapi dikawalnya sehabis baik agar tak kedengaran bunyinya. Dengan takut-takut matanya meleret ke kiri dan ke kanan. Perlahan-lahan disinsingnya kain kurung sekolah yang dipakai, dan diangkat kaki kanannya sesenyap yang boleh. Kaki kanan itu kemudian diletak penuh hati-hati selangkah di hadapan, agar hanya dia yang menangkap bunyinya.

"Kau tengok belakang semak tu Ro!" Timah tersentak. Peluh entah dingin entah tidak turun tiba-tiba. Hatinya berbelah-bahagi sama ada mahu lari selaju mungkin atau terus membatu menyembunyikan diri. Dia tahu sedikit sahaja kesilapan yang dilakukannya, baik sengaja atau tidak, akan mengundang bahana. Timah mungkin baru darjah tiga. Tapi dia pun tahu takut juga.

"Budak tu tak ada kat sini Meng!" Timah telan air liur. Masih bimbang leganya hanya sementara. Matanya sahaja yang lebih laju dari degup jantungnya sekarang. Yang lain-lain kaku. Beku.

Pohon kelapa sawit yang disandarinya menimbulkan bekas di belakang baju sekolah yang dipakai. Namun Timah tidak peduli itu. Kasutnya pun sudah merah berdebukan tanah. Itu pun kurang penting. Di hadapannya sekarang hal hidup dan mati!

Dalam hatinya tiba-tiba timbul sesal engkar pesan ibunya tadi. Sejurus sebelum dia keluar ke sekolah ibunya berpesan,

"Mah, lepas habis sekolah terus balik rumah tau!" Waktu itu selepas disogok dua ringgit, Timah terus angguk-angguk macam anak solehah yang taat.

Namun sekarang dia di sini. Di belakang sebatang pokok sawit. Sedang menyorok menyelamatkan diri.

Tiba-tiba fikirannya terbayang nasib tragis gadis yang sebaya dengannya. Ada didengar orang tuanya bercakap selalu. cikgu di sekolah pun ada ingatkan. Yang dijumpai betul-betul kaku tak bernyawa. Di dalam beg, di tepi jalan, dalam ladang kelapa sawit. Ada yang seumur dengannya, ada yang belum sempat bersekolah pun lagi. Ada juga yang sudah dewasa, tetapi perempuan dalam umur mana pun tetap selalu akan jadi mangsa.

Setiap hari Timah berdoa agar mereka yang ditimpa nasib sedemikian ditempatkan Allah Taala di dalam syurga-Nya, dan binatang yang terlibat pula dihukum di dunia dan diazab di akhirat. Lagipun itu yang disuruh ustazahnya dalam kelas agama. Dia aminkan sahaja.

Dia ikut sahaja, budak-budak macam dia mana tahu apa-apa. Suruh main dia main, suruh pergi kedai dia pergi kedai. Yang dia tahu nak seronok. Seronok jalan-jalan, seronok makan gula-gula, seronok bermain. Dihalang dilarang marahlah dia. Masam muka, cebik bibir. Mana Timah tahu itu semua untuk keselamatan? Keselamatan tu apa?

"Ha, ini pun dia!" Satu jerkah keras menempelaknya. Dan Timah yang entah kerana terkejut entah kerana takut terus pengsan. Gelap.

*****************************************************************************

"Tu la degil lagi! Emak dah cakap lepas sekolah terus balik kan? Kenapa keluar main sorok-sorok? Ni tak pasal-pasal baju kotor, seluar kotor! Kalau kena patuk ular tadi macam mana?" Apa yang ibunya bebelkan selepas itu tidak lagi didengarnya. Sebaik sahaja sedar Timah peluk ibunya erat-erat. Sekurang-kurangnya dia masih selamat. Lagipun dia hanya main sorok-sorok.

Tammat

Friday, May 23, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Macgyver

Assalamualaikum..

Melainkan usia anda 20 tahun ke bawah, anda pasti pernah mendengar tentang kemasyukan siri televisyen ini, MacGyver (Disebut Mek Geber oleh rakyat Malaysia secara amnya). Ditayangkan di Malaysia pada akhir 80-an dan awal 90-an oleh stesen televisyen swasta tempatan TV3, (diulangtayang di TV2 sekarang), siri ini mengecapi populariti selain membentuk satu budaya pop (jangan dikelirukan dengan muzik pop) yang menular bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Watak utamanya, Angus MacGyver lakonan Richard Dean Anderson (gambar), sinonim dengan kreativiti, kebijaksanaan dan kecerdasan berfikir, selain keupayaan mengaplikasi barang seharian untuk menyelesaikan masalah. Beliau juga dikenali kerana lebih gemar menggunakan kepintaran dan akal dari menggunakan kekuatan dan senjata api, yang memang tidak digunakannya.

Siri ini yang berterusan sehingga 7 musim, menceritakan mengenai ejen rahsia Amerika Syarikat (dan kemudian Yayasan Phoenix), MacGyver yang ditugaskan menjalankan misi-misi rahsia di serata dunia. Kemahirannya menggunakan alatan seharian melibatkan perancangan dan kemahiran mendalam tentang ilmu sains, termasuk kimia dan fizik.

Beliau juga tidak sukakan keganasan, dan alatan atau perangkap yang diciptanya lebih bertujuan sebagai pertahanan diri. Selain itu, biasanya ia hanya memerangkap atau melemahkan pihak lawan, dan tidak mencederakan apatah lagi membunuh mereka. Antara 'tanda' MacGyver yang popular adalah mengaduh kesakitan dan menggoncangkan penumbuknya selepas menumbuk seseorang, berbeza dengan watak hero semasa (seperti dalam Terminator atau Die Hard) yang sarat dengan hormon testosteron selain bermuka ketat dan bertubuh mampat/padat/sendat. Mac juga mudah gayat dan... (retorik elipsis)

Antara 'teman baik' MacGyver adalah pisau lipat (dikenali di seluruh dunia dengan nama pisau MacGyver) dan pita pelekat, yang dibawanya sepanjang masa untuk kegunaan di waktu memerlukan. Dengan kedua-dua alatan ini, selain benda-benda yang ada di keliling Mac sewaktu kejadian, akan wujudlah solusi-solusi menarik untuk sajian penonton supaya terpukau mayapada merambat lagi keting kesayuan.

Musuh utama MacGyver tak lain tak bukan adalah Murdoc, musuh-susah-mati yang seringkali menggangu gugat urusan Mac. Si jahat ini pun ada gayanya juga, iaitu setiap kali berlawan dengan MacGyver, dia akan menemui ajalnya (jatuh gaung, terbakar dsbnya) tetapi entah macam mana hidup dan akan datang semula mencari Mac pada episod yang kemudian. Biasanya sebelum mati dia akan menjerit 'Macgyver!!!!' sebagai tanda tak puas hati.

Di Malaysia beberapa tahun lalu, siri ini pernah diharamkan kerana ada pemuda mana entah yang memandai-mandai meniru cerita ini, masuk dalam ruang tayar kapal terbang dan mati lemas. Siapa ada berita asalnya boleh beritahu aku.

Sekian..

Wednesday, May 21, 2008

Apa mungkin..


Assalamualaikum..

Aku tak boleh menulis begitu sahaja. Kena ada topik, lepas itu buat kajian, biasanya dalam internet. Kemudian baru aku boleh rancang apa yang mahu aku tulis. Menyokong/membangkang? Setuju atau tolak? Ketawa vs menangis? Yang pasti tak seperti kawan-kawan yang lain yang lebih berbakat aku tidak boleh terus menulis secara tiba-tiba. Kata orang putihnya "out of nothing" la. Aku yang berotak dan berpendidikan teknikal ni susah nak menulis secara spontan. Dengan kata lain otak belah kanan aka HOKA aku ni berkarat sikit.

Memang ada sajak/puisi/haiku yang aku tulis, tetapi biasanya setelah aku kaitkan dengan pengalaman di sekeliling aku. Contohnya ada kawan yang kecewa, rakan yang muntah loya, atau sewaktu aku benar-benar tensi. Ya, waktu tensi pulak biasanya otak kanan aku ligat balik. Waktu tenang dia lembab je. Tak ubah seperti secangkir angan-angan yang tertusuk sapaan tak berlagunya hanyir silam.

Aku mahu jadi penulis, tetapi susah la kalau cenggini. Takkan nak gelabakan sepanjang waktu baru terbit buah-buah akal yang menarik. Ada cadangan?

Monday, May 19, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Lizzie Borden

AMARAN: Imej berbaur keganasan, kepada sesiapa yang enggan melihat sila ke entri lain.

Legenda Lizzie Borden amat terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat. Dia dituduh membunuh ayah kandung dan ibu tirinya dengan mencantas kedua mereka menggunakan kapak. Namun, meskipun selepas didakwa dan dibicarakan dengan bukti yang agak mencukupi untuk mensabitkannya, dia telah dibebaskan. Bagaimanapun hingga kini nama Lizzie Borden tetap menghantui masyarakat di sana, dan dia dipercayai antara wanita pembunuh yang paling kejam pernah disaksikan dunia. Tidak hairanlah dia membujang ke akhir hayat, tetapi sebab yang pasti adalah kerana tiada jodoh. Sabar ye Echa, eh Lizzie.

Pada 4 Ogos 1892, iaitu pada tahun yang sama kelab bolasepak Liverpool FC ditubuhkan selepas bercerai talak tiga dengan Everton FC, berlakuya pembunuhan dahsyat di 92 Second Drive, Fall River, Massachusetts yang terletak di timur laut Amerika Syarikat.

Bapa Lizzie, Andrew Jackson Borden, dan ibu tirinya Abby Borden, telah ditemui mati dibunuh di dalam rumah mereka. Selain Lizzie, satu-satuya saksi yang ada di dalam rumah itu pada waktu tersebut adalah pembantu rumah, Bridget Sullivan. Pakcik Lizzie, John V. Morse, adik kepada isteri pertama Andrew Borden, sedang menginap di rumah tersebut pada waktu itu untuk lawatan, tetapi tiada di rumah semasa kejadian. Emma Borden, adik Lizzie, juga tiada di rumah.

Pada hari itu, Andrew Borden telah ke bandar untuk urusan harian di bank dan pejabat pos. Dia pulang semula ke rumahnya lebih kurang pada pukul 10.45. Selepas setengah jam kemudian, Lizzie Borden menemui mayatnya. Berdasarkan kepada keterangan si pembantu rumah, Bridget, dia sedang berehat-rehat di biliknya yang terletak di tingkat tiga rumah itu sejurus selepas pukul 11 pagi, apabila dia terdengar panggilan Lizzie, "Ada orang katok bapak aku! Ada orang katok bapak aku!". Mayat ayahnya ditemui tersandar di atas kerusi panjang di bilik menunggu yang terletak di tingkat bawah. Andrew Borden kelihatan separuh terbaring dengan mukanya menghadap sebelah kanan, dan kelihatan tenang seperti 'sedang tidur'.

Tenang? Mata kirinya terbelah dua selain tengkoraknya hancur memburaikan otak. Mujur gambarnya hanya hitam putih kalau tak sumpah tak pos kat sini.

Sewaktu Lizzie Borden ditenangkan oleh jiran tetangga dan doktor keluarga (zaman ini belum ada talian kecemasan 999 mahupun CSI), Sullivan telah menemui pula bangkai Puan Borden di tingkat atas, di dalam bilik tetamu. Kedua-dua pasangan Borden ini telah dibunuh dengan kapak.

Motif kejadian? Dikatakan Lizzie dan adiknya Emma tidaklah puas sangat tetapi lebih tidak berpuas hati apabila harta ayahnya dibahagi-bahagi kepada sanak-saudara tanpa memikirkan mereka. Rumah mereka pun dengar katanya akan diberi kepada saudara juga. Ye la, dah la andartu, kerja pulak takde, harta bagi kat orang luar, sapa tak marah. Tapi taklah sampai katuk ayah sendiri camtu. Derhaka, derhaka.


Malah diberitakan Lizzie pernah cuba membeli racun sianida tetapi tidak dijual kepadanya. Katanya nak digunakan mencuci kot kulit anjing laut. Betul tak tipu. Racun ini pernah digunakan oleh Adolf Hitler untuk membunuh diri, tetapi benar atau tidak siapa yang tahu?

Malah beberapa hari sebelum kejadian kedua-dua adik beradik itu bergaduh besar dengan orang tua mereka, dan Lizzie dan Emma masing-masing keluar membawa diri dari rumah itu. Namun Lizzie pulang lebih awal atas sebab-sebab "peribadi". Atas sebab-musabab yang mencurigakan ini, Lizzie ditahan dan dibicarakan atas dakwaan membunuh kedua orang tua kandung + tirinya.

Satu lagi teori yang pelik mengaitkan bahawa Lizzie adalah seorang lesbian, dan membunuh ibu bapanya kerana cinta terhalang. Macam pelik je.

Sewaktu dibicarakan, keterangan Lizzie bercanggah antara satu sama lain dan kelakuannya mencurigakan. Sewaktu siasatan polis, kapak yang dipercayai digunakan dalam kes itu telah ditemui di besmen rumah tersebut, namun pemegangnya sudah hilang, dipercayai disorokkan kerana mempunyai kesan darah. Beberapa hari selepas pembunuhan juga, Lizzie telah membakar sehelai pakaian miliknya atas dakwaan terkena cat basah yang terdapat di dinding.

Bagaimanapun, selepas sejam berbincang, pihak juri mendapati Lizzie tidak bersalah dan dia telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan. Senjata pembunuhan didakwa tidak ditemui, selain tiada bukti terdapat darah pada Lizzie sejurus selepas pembunuhan tersebut. Fakta bahawa dia cuba membeli racun juga tidak dihujahkan di dalam mahkamah.

Seperti kes Jack the Ripper di kota London, dan The Zodiac Killer pada tahun 60-an, kes ini masih belum selesai hingga ke hari ini. Banyak fakta, teori dan suspek baru yang dicadangkan, tetapi tentu sahaja itu semua tidak lagi berguna kerana mengenang laluan liku alam itu tak semudah menderunya suara bara yang mendesir di jalanan.

************************************************************************************

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_Borden

http://www.liverpoolfc.tv

http://en.wikipedia.org/wiki/Prussic_acid

Gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_Borden

Saturday, May 17, 2008

Have You Noticed?


Assalamualaikum..

I've spotted someone somewhere while I was prowling the net that since 2001 all EPL winners had their 'twin' counterpart in La Liga.



Look:

Year

EPL

La Liga

2001

Man Utd

Real Madrid

2002

Arsenal

Valencia

2003

Man Utd

Real Madrid

2004

Arsenal

Valencia

2005

Chelsea

Barcelona

2006

Chelsea

Barcelona

2007

Man Utd

Real Madrid

2008

Man Utd

Real Madrid

See? So, the conclusion is, Man Utd=Real Madrid, Arsenal=Valencia, Chelsea=Barcelona.

Liverpool = Atletico Madrid?

Kau Tak Kenal Aku!!!


"Jangan cakap macam kau kenal aku!!"


"Aku lain dengan orang lain!"


"Hanya ada satu aku! Aku unik!"

"Ha, ambik sebijik!"

Ini reaksi yang biasa kita dengar apabila kita cuba menyelami hati atau membaca perasaan terpendam seseorang.

Namun, percayalah, semua orang pun akan memberi reaksi serupa.

Kenapa? Manusia, sebagai makhluk yang ber'prinsip', ber'maruah' dan ber'harga diri' percaya bahawa super-ego (iman) mereka lebih mulia dan tinggi dari ID (nafsu) mereka, hasil pengawasan ego (akal). Maka di bawah minda separa sedar, sifat dalaman yang membuak-buak biasanya ditekan dan dipendam untuk menyatakan satu sisi, dan melenyapkan terus satu sisi yang lain pula. Rujuk nota Psikologi untuk kelangsungan.

(Nota pantas: ID = naluri dalaman/libido/nafsu yang hanya mahu makan, rehat, seks, puas, seronok dan lain-lain).

Dengan kata lain, mereka percaya yang sifat dalaman yang mereka miliki itu 'buruk, 'jelik' dan me'lemah'kan. Antaranya sifat dalaman seperti inginkan belaian dan kemanjaan, takut berseorangan, bimbang kehilangan, kejiwangan, mudah menangis dan juga mudah marah (baran) sering dianggap sebagai sifat buruk, maka ditekan dan dipendam agar tidak kelihatan. Malah ada juga keinginan-keinginan yang benar-benar pelik, seperti Oedipus Complex, Sexual Fetish dan lain-lain. (Lelaki pandai menyembunyikan sifat sebenar mereka, jadi jangan percayakan lelaki?)

Jadi apabila dipsikoanalisis dan didapati pula mereka mengandungi sifat-sifat tersebut, maka dengan mudahnya mereka ini melenting dan menghamburkan tiga baris pertama ayat-ayat di atas selain ayat-ayat lain. Langkah yang sudah dibaca ini digelar 'penafian' dan merupakan salah satu dari 'Defence Mechanism' atau 'Mekanisme Pertahanan' yang telah diteorikan oleh Freud, di mana manusia akan memilih untuk menyembunyikan kekabutan itu dengan menafikan langsung wujudnya tali kabut yang meminggir ketika awan tak lagi bercamar datangnya pelangi senja.


Percayalah, manusia yang seramai 8+ bilion di dunia (tidak mengira yang sudah meninggal) tentu sahaja berbeza-beza antara satu sama lain, tetapi mereka tetap sahaja mematuhi dan mengikut peraturan-peraturan tertentu yang telah digariskan baik secara sedar (conscious), separa sedar (subconscious) atau di luar kesedaran (unconscious). Oleh itu, biarpun mereka ini menafikan apa sebenarnya yang mereka rasa dan mahukan, sedikit sebanyak mata yang memerhati akan dapat menilai apa yang cuba dizahirkan oleh olah badan, gerak mata, stail percakapan dan penulisan, kelatahan (jika ada), fesyen rambut, pakaian, selain imej kendiri yang ditampakkan dalam pemilihan warna, hobi dan lain-lain.

Namun, manusia biasanya akan melawan satu aspirasi dengan cara meletak aspirasi yang jelas berbeza, contohnya diam bukan kerana malu tetapi memerhati, bising bukan kerana petah tetapi takut berseorangan, senyum bukan kerana suka tetapi mengubat kelukaan.

Kita boleh sahaja sentiasa menipu orang lain, tetapi mampukah kita menipu diri sendiri?

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Id,_ego,_and_super-ego
http://en.wikipedia.org/wiki/Sigmund_Freud
http://en.wikipedia.org/wiki/Unconscious_mind
http://en.wikipedia.org/wiki/Defense_mechanisms
http://en.wikipedia.org/wiki/Oedipus_complex

Gambar: http://en.wikipedia.org

Aku eksekutif jualan, bukan sasterawan!

Assalamualaikum..

SMTKL aka TIKL aku tinggalkan tak berapa jam selepas tamatnya kertas Pengajian Kejuruteraan Awam. Masih ingat aku sempat membeli sehelai baju-t dari rakan bernama Farid pada minit-minit terakhir sebelum aku angkat kaki. SPM 2000 bagi kami juga tamat pada hari kedua puasa, iaitu hanya sehari dua kesempatan bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh bersama. Sedar tak sedar ada di antara mereka yang pernah menjadi teman seperjuangan, rakan sebilik/sekelas dan sebagainya hanya kutemui 6-7 tahun kemudian. Ada juga yang tak pernah lagi berselisih malahan hubungi hingga ke hari ini. Besar kemungkinannya kerana aku 'melawan arus' dengan tidak memasuki UTM atau KUiTTHO (kini UTHM) seperti yang lain, sebaliknya membawa diri ke Tronoh, Perak, untuk melanjutkan pengajian di UTP.

Namun sebelum itu, sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Aku memandaikan diri mencari kerja selepas sambutan Aidilfitri dan bosan bercuti (dan menelefon sana sini selain bertemu semula dengan cik Wani). Kerja pertama yang kuperolehi pasca SPM adalah sebagai penjaga tempat letak kereta sementara di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Tahanlah dua hari.

Kemudian rakan lamaku di SMKJ iaitu Khairi (bukan menantu sesiapa) suatu hari mengajakku bekerja. Jawatan eksekutif jualan aka jurujual, sungguhpun tidak menggiurkan, menarik minatku untuk mencuba.

Syarikat yang dituju adalah NRG Ent, atau lebih kurang begitu, berpejabat di SS2, PJ. Bernaung di bawah Granton Sdn Bhd, syarikat yang pernah kecoh isu syarikat mengutip derma satu masa dahulu.

Temuduganya pula bukanlah untuk melihat kelayakan sangat, tetapi lebih berminat untuk melihat berapa cepat aku boleh mula bekerja, iaitu minggu seterusnya. Dan bermulalah rutin baru bagiku, keluar rumah seawal 7 pagi dan pulang selewat 11 malam, yang biasanya diakhiri dengan makan 5 keping roti canai di kedai mamak, 3 gelas teh tarik dan membeli CD cetak rompak.

(teh tarik satu!)

Kerjanya tiada basa-basi, hanya ambil kupon (syarikat membuat kupon untuk mempromosikan syarikat lain) dan pergi jual. Kupon yang aku jual pada waktu itu adalah kupon Pizza Domino, di bawah Haizal sebagai ketua kumpulan (bergerak dalam kumpulan berdua atau bertiga).

Sungguhpun hina bunyinya, tetapi sesuatu yang paling mengesankan dalam pekerjaan ini adalah pembinaan keyakinan diri. Manusia yang takkan terfikir untuk diajak berbual aku tegur dengan muka ramah, baik di kawasan perumahan, hentian LRT, kaki lima kedai, malahan perkarangan masjid dan pejabat. Aku belajar mengenal pahit dan susah mencari sesuap nasi dan betapa malu hanya penyebab utama manusia sukar maju.

Antara pengalaman sezaman, telefon bimbit sudah mula menjadi keperluan. Nokia 3210 mula jadi bualan, biarpun aku menggunakan Motorola lipat yang dah terlupa nombor sirinya. Malangnya telefon itu dicuri apabila rumahku dipecah masuk pada satu hari.

Sungguhpun aku tidaklah bagus sangat dalam jualan, tetapi aku belajar tentang cara jurujual bekerja, dan secara seriusnya memang jurujual yang bagus layak menjadi pemidato dan ahli politik. Mereka mahir mengenal manusia, membaca reaksi mereka, dan mendapatkan keyakinan orang asing yang pertama kali ditemui. Antara yang paling aku hormati adalah mereka akan beritahu sesuatu yang tidak sukai terus ke muka anda, perangai yang aku bawa hingga ke hari ini, meski tak disukai orang (aku selalu kena ban sebab tu).

Aku juga masih ingat waktu kami di'lantik' untuk menjual cermin mata 3D yang dikeluarkan atas nama TV3 dan MAKNA atau IJN (kalau tak silap, sila betulkan kalau ya). Ia menjadi isu hangat apabila didedahkan di media bahawa dari RM 10 yang dibayar penderma, hanya RM1 akan ke pertubuhan kebajikan itu, manakala RM1 untuk kami jurujual dan RM8 untuk pengilang, orang atasan dan orang lagi atasan. Entahlah, dalam dunia ni mana ada benda yang percuma.


Lagipun aku tak lama dalam kerja tersebut. Aku berhenti sebaik sahaja sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Namun apa yang kupelajari sepanjang menjadi jurujual bagai sesuatu yang mencukupi untuk dibawa seumur hidup. Dikejar anjing, dihalau orang, diperdayakan pembeli dan yang paling tak seronok, hujan.

Mahu jadi jurujual?

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru, Cikgu Wani..

Assalamualaikum..

Melaka, 16 Mei - Hari ini cik Wani, 25, seorang guru yang sedang menuntut di Maktab Perguruan Durian Daun di Melaka akan menyambut Hari Guru. Meskipun masih menuntut di maktab dan belum sepenuhnya diiktirafkan kelayakan beliau, beliau tetap merupakan guru yang telah banyak berjasa mendidik saya.

Sungguhpun didikannya bukan mengenai ejaan atau kira-kira, apatah lagi sukan dan biologi (...) , namun yang pasti tanpa beliau tentu banyak yang tidak saya ketahui tentang sejenis perasaan yang dipanggil orang CINTA.

Ya, perasaan yang buat kita seronok dan orang lain geli tengok inilah yang diajar beliau kepada saya sedari umur 13 tahun lagi. Dah 12 tahun kan, lama kan?


Selamat hari lahir untuk guru tercinta yang paling kucintai, cikgu Wani.

p/s: Bagi la aku jiwang kali ni je.. please..

Thursday, May 15, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Milo

(Milo Dinosaur kata orang Singapore)

Assalamualaikum..

Menghormatkan kehendak Muz, aku utuskan juga satu lagi entri dalam siri ini berkenaan minuman kegemaran beliau iaitu Milo.

Berbeza dengan pendapat umum, Milo sebenarnya bukanlah minuman coklat, sebaliknya minuman malt dan coklat yang digabungkan dengan bahan tenusu dan lain-lain, begitu juga jenama Ovaltine dan Vico.

Milo Ventimiglia mungkin lebih dikenali dengan nama Peter Petrelli dalam siri televisyen Heroes, dengan kemampuannya menyerap kuasa orang lain (yang peliknya tak boleh pulak nak serap idea A. Samad Said ke, lawak Harun Salim Bachik ke), tetapi minuman Milo dinamakan sempena hero kaum Yunani purba, Milo of Croton, iaitu seorang atlit yang memenangi sukan Olimpik purba 6 kali dalam acara gusti. Dengar kata gagah orangnya Milo Croton ini, sebagai persediaan untuk kejohanan Olimpik, dia menanggung seekor anak lembu di belakangnya. Setelah empat tahun kemudian apabila Olimpik tiba, lembu itu membesar di belakang tanggungannya, lalu disembelih, dipanggang dan dimakan oleh beliau di dalam stadium hendak menayangkan kemachoannya itu.



Milo dicipta bukan oleh Milo Ventimiglia apatah lagi diminum oleh beliau. Sebaliknya ia dicipta oleh seorang rakyat Australia bernama Thomas Mayne pada 1934, zaman atuk kita kecil-kecil dahulu, atau sebelum Jepun attack Malaya. Minuman ini mula dibawa ke Malaya secara terang-terangan pada 1950, dan mendapat sambutan hangat, meskipun diminum dengan ais.

Yang menariknya, rakyat Malaysia adalah peminum Milo nombor satu dunia, dengan 90% keluaran Milo dunia disapu bersih oleh rakyat negara ini, Malaysia Boleh! Milo juga diminum di kebanyakan negara asia tenggara, selain negara-negara lain di seluruh dunia, namun rupabentuk dan tekstur Milo berlainan mengikut negara (gambar bawah).

Milo yang biasa diminum di negara ini adalah milo 'o' panas, milo panas, milo ais, milo dinosaur (milo tuang kut nama Malaysia dia) dan Neslo, iaitu campuran Nescafe dan Milo.

Milo 'o' juga adalah minuman rasmi aku selepas aku berhenti minum susu pada umur 1 atau 2 tahun. Hanya pada tingkatan empat aku kembali minum susu selepas aku masuk asrama dan belajar nikmatnya minum teh tarik.

Percayalah, minum teh tarik lagi best..

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_%28drink%29
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_Ventimiglia
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_of_Croton

Gambar: http://en.wikipedia.org
http://images.search.yahoo.com/search/images

Wednesday, May 14, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Kopi

Assalamualaikum..

Memandangkan Jaja je yang selalu jenguk dan komen blogsite aku sekarang ni, maka aku berbesar hati buat satu entri tribute untuk beliau.. KOPI!

Nanti kalau site aku dah popular cam Muz punyer, tak dapat la post menda-menda camni dah.

Kopi merupakan minuman yang ditonggang secara meluas oleh penduduk di seluruh dunia. Berjuta-juta cawan kopi telah diminum oleh manusia setiap hari. (retorik perifrasis) Kopi juga boleh dianggap sebagai salah satu minuman utama dunia, meskipun rakyat Malaysia lebih menggemari teh tarik. (Gambar bukan mamak sebenar)

Kopi yang biasa diminum biasanya dari biji Coffea canephora (aka Coffea robusta) dan Coffea arabica. Jenis arabica adalah lebih lazat dan mengghairahkan kerana kurang kafein, tetapi pohonnya lebih mudah diserang penyakit selain mahal berapi. Kebanyakan kopi yang diminum kita di dalam dunia ini adalah dari spesis robusta, dan ianya lebih pahit, harap maklum.

Mengikut hikayatnya, orang-orang Afrika atau lebih spesifik lagi, orang Ethiopia (Habsyah) merupakan bangsa pertama yang meminum kopi ini. Namun orang-orang Islam yang terlebih dahulu memperkenalkan teknik memanggang biji kopi untuk dijadikan minuman, dan ia digunapakai sebagai tekik rasmi hingga ke hari ini.

Orang-orang Islam mula meminum kopi secara meluas, menggantikan khamar (arak) yang diharamkan. Malah mengikut cerita, kopi turut diisytiharkan haram pada sementara waktu kerana ia terlalu popular, namun ditarik semula kerana didapati tiada bahan-bahan haram di dalam kopi. Ironinya, masyarakat Kristian barat pada ketika itu turut cuba mengharamkan kopi kerana dianggap "minuman orang Islam", namun ditolak oleh Pope pada ketika itu, Pope Clement VIII.

Penyediaan dan teknik memanggang biji kopi akan menentukan jenis minuman yang akan diperolehi. Lebih lama dipanggang, lebih 'halus' rasa kopinya, namun kemungkinan hilang aromanya kerana dimusnahkan oleh pendedahan terlalu lama kepada haba.

Biji kopi kemudiannya dihancurkan dan dijerang, dan teknik yang berbeza-beza menghasilkan minuman yang berlainan. Antara jenis kopi yang terhasil adalah kopi biasa dan espresso. Kopi biasa boleh ditambah gula untuk dibuat kopi 'o' atau susu untuk kopi susu. Tambah ais jadi kopi ais dan tambah tongkat ali jadi Ali Cafe. Espresso pula boleh ditambah susu panas menjadi latte, coklat sebagai mocha (gambar) atau diubah mengikut selera peminum, iaitu anda!.

Minum teh tarik lagi best.

____________________________@@@___________________________________

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Coffe

Gambar: www.flickr.com

Tuesday, May 13, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Sicilian Defence

1. Aku bosan

2. Aku online

3. Aku baca wikipedia.

Kesimpulan: Aku tulis apa aku nak tulis.


Rajah 1: Sicilian Defence (1. e4 c5)

Sicilian Defense (1.e4 c5) adalah jawapan paling popular oleh pemain berperingkat master ke atas untuk 1. e4 dari putih. Ia dianggap "mempunyai semangat melawan, ia tak hanya menyamakan kedudukan tetapi memberi kelebihan" (GM Nunn). GM Evans pula mengatakan, "Ia gerakan hitam paling dinamik, jawapan bukan simetri kepada 1. e4, ia menghasilkan faktor-faktor psikologi dan tekanan sesuai dengan gaya permainan moden selain mewujudkan satu pertentangan sengit sebaik gerakan pertama."

Gerakan ini digunakan oleh ramai pemain-pemain terkemuka dan tersohor dalam sejarah catur, dimulakan sejak abad ke 16 lagi. Antara mereka yang diketahui menggunakan pembukaan ini adalah Capablanca, Tarrasch, Nimzowitsch, Najdorf dan ramai lagi. Namun yang menjadikan gerakan ini benar-benar popular tidak lain tidak bukan adalah juara dunia, Bobby Fischer dan Gary Kasparov. Mereka ini menjadikan Sicilian Defence sebagai tanda niaga masing-masing dan acapkali mencatatkan kejayaan cemerlang dengannya.

Jawapan terbaik putih adalah Open Sicilian (2.Nf3). Digunakan dalam 75% perlawanan, ia biasanya akan menuruti langkah ini:

2. ... d6 3.d4 cxd4 4.Nxd4 Nf6 5.Nc3

Gerakan hitam seterusnya melahirkan pelbagai variasi. Antaranya:

1. Variasi Najdorf

Jawapan paling popular dalam sistem ini. Hitam menjawab dengan 5. ... a6, dengan ... e5 dalam perancangan gerakan seterusnya untuk menguasai petak tengah. Ia juga menghalang syah oleh menteri putih dan gerakan kuda di petak b5.


2. Variasi Klasik

Kuda hitam dikeluarkan dan diletak di posisinya yang paling neutral. Namun putih sedia menjawab dengan 6. Bg5, yang dikenali sebagai Serangan Richter-Rauzer yang mengancam pertindihan bidak hitam jika 7. Bxf6 gxf6. Putih juga akan meneruskan dengan Qd2 dan O-O-O untuk kelebihan posisi.

3. Variasi Dragon

Hitam menjawab dengan fianchetto menteri pada serongan h8-a1. Ia bisa sahaja dijawab putih dengan Serangan Yugoslav (6.Be3 Bg7 7.f3 0-0 8.Qd2 Nc6) dengan permainan biasanya akan menjadi sengit dengan kastling dari arah berlawanan dan putih akan menyerang dari belah raja manakala dibalas hitam dari sebelah ratu.


Masih terdapat banyak lagi variasi kepada pembukaan Sicilian Defence ini. Namun yang pasti, pembukaan ini sentiasa sahaja membawa kepada pertarungan yang sengit, di mana banyak buah ditukarkan serta berlakunya perebutan petak-petak strategik dan utama.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Sicilian_defense dan http://www.chessgames.com

Monday, May 12, 2008

Aku teknokrat, bukan sasterawan!

Dari kiri ke kanan, belakang ke hadapan:

Ejaz, Faizal Johari, Safarudin, Qahhar, Ilmam, Yazid, Hanif, Al-Hafez, Iqbal, Ezrin, Phyd

Alien, Ardza, Zaid, Muhsin, Affa, Arif Kond, Fairus Syahrizan, Abdullah Sani, Farah Najihah

Fathiyah, Nastasa, Elina, Hui Chin, Azlin, Ainul, Liya, Dalila, Huda, Maizatul, Yen Hong

Shafarina, Hana, Juita, Bob Chawan, Cik Ruhaida, Puan Fauziah, Adib Omar, Echa, Intan, Apoy

p/s: untuk pembetulan, penambahan atau pembuangan mana-mana nama dan link di atas sila bagitau aku cepat-cepat sebelum malu jadi aku..


Tidak dinafikan sepanjang hidup aku ini, masa-masa di TIKL akan sentiasa menjadi kenangan yang paling manis. Sama ada kerana aku memang manis atau orang-orang di sekelilingnya yang manis; atau memang zaman itu sendiri penuh kemanisan; biarlah memori yang menyuguhkan malam berteman keringat menahan dinding sakitnya roboh kehilangan kendali satu pengertian terpancar.

Pun bagaimana walau, setiap sesuatu akan sentiasa sahaja menemui penghujungnya, kerana yang kekal abadi itu bukannya manusia apatah lagi kenang-kenangannya. Begitu juga dalam siri ini, biarlah entri ini entri penghabisan tentang zaman-zaman aku di TI. Zaman yang memulakan banyak benda, yang sampai sekarang belum nampak pangkal habisnya.

Selain berdrama, menulis, membaca, menonton dan mengarah, zaman ini juga aku gemar bermain mata dan kata-kata. Pada aku dunia ini sesuatu yang idealis, penuh anekdot, berdoktrinkan dogma yag bisa sahaja dipahat-pahat ke tetupai atap dan diukir-ukir ke birai-birai tetingkap. Dunia bagai terlalu mudah difalsafahkan, seolah-olah kata-kata itu sentiasa mampu menerbitkan warna-warna pelangi menjadikan siang lebih redup dan gemalai dan malam tak seseram gelap tak berpenghujung.

Sungguhpun aku bukan pemidato atau pembahas sekolah, apatah lagi penceramah agama atau pentarbiyah lajnah, tapi dunia ini padaku mudah dibelah-belahkan. Yang ini hitam, yang itu putih; ke kiri kotor, ke kanan bersih, di situ keruh, di sini jernih. sifat aku yang seperti matang itu memang ada kebaikan/pro/khasiatnya, tetapi pada masa yang sama aku menjerat diri ke perangkap kepintaran. Aku lantik diri sendiri menjadi hakim, menjadi juri, menjadi saksi dan menjadi warden penjara. Ironinya, yang terperangkap dalam dunia hitam putih itu aku sendiri, dan tanpa sedar dunia itu tetap sahaja hitam putih.

Sukar difahamkan? Penerangan mudahnya, aku melihat yang merokok itu jahat, yang bertudung itu baik, buka aurat berdosa, pergi masjid masuk syurga. Tak disedari sifat mudah mengadili orang ini sebenarnya antara saat paling naif, dan tentu saja paling jahil dalam hidup aku.

Namun sedikit demi sedikit, alam pemberontak mula tersemai dalam jiwa, antaranya bermula ketika pilihanraya 1999, di mana aku merasakan apa sahaja yang aku dengar dan tonton tak semestinya benar, dan boleh sahaja palsu. Aku mula pandai membangkang mana-mana arahan guru yang aku rasa beragenda dan kurang kena. Aku sudah mula biasa tidur di bilik sakit, bilik imam di surau, buat tekan tubi di hadapan kelas dan tentu sekali pandai mencarut (sewaktu tidak didengari sesiapa)

Masih diingat sewaktu seorang ustazah meminta kami MPP mengikuti satu perkhemahan membuang masa di Tasik Titiwangsa. Aku beria-ia mengangkat tangan membangkang dan menolak arahan langsung pihak atasan itu. Ugutan mudah dari ustazah itu (dan kawan-kawan seMPP yang sentiasa suka mengangguk) ialah tidak berkat ilmu jika derhaka pada guru. Aku bukan derhaka, aku cuma kurang setuju. Dan akhirnya aku pergi juga, walaupun dalam hati aku cacian yang bergema seperti lagu nasyid yang diulang-ulang.

Memang tepat, perkhemahan itu hanya perkhemahan biasa laras kerajaan dengan ceramah-ceramah bina diri pro dacing dengan stail beratur, makan dan tidur ala biro tata negara, lengkap dengan aktiviti kumpulan dan modul sejibik yang pernah dan telah aku lalui dalam puluhan perkhemahan lainnya. Pendek kata, jika ada RM10 yag aku keluarkan untuk perkhemahan itu, sampai ke akhirat pun aku tidak halalkan.

Entah apa sebabnya. Mungkin kerana sepanjang tingkatan lima aku tak bertemu langsung dengan cik Wani. Mungkin juga sindrom perasan kacak yang mengganggu fungsi serebelum dan serebrum menyilaukan tepian ritma ketika tersapu mimpi yang memercik hayunan maha lazat. Mungkin juga tumbuhnya ari-ari menandakan hari-hari mau dan jari-jari bau. Entahlah, entah.

Sampai ke hari ini pun, setelah dua universiti aku jejaki, dan tiga kursus aku ambil (dua darinya gagal), aku masih budak TI.

Sunday, May 11, 2008

Selamat Hari Ibu!

Biasanya,
Yang kubawa hanya kecewa dan air mata,

Selalunya,
Yang kukhabar cuma khayal tak berupa,

Seringkali,
Yang kukirim sekadar sukar dan sengsara,

Acap waktu,
Yang kuutus tak lain penambah beban dan derita.

Maaf mak. Jangan putus asa dengan along dulu.


Kepada ibu saya Puan Paridah Anun Bt. Tahir, Selamat Hari Ibu.

Saturday, May 10, 2008

Selamat Bercuti!

Assalamualaikum..

Kepada rakan-rakan seUiTM semua, selamat bercuti!!

Kepada yang sudah tamat pelajaran mereka, selamat bergraduasi dan menempuh alam baru..

Ingat serangkap pantun,

Dapat sentuh si ikan linang,
Takkan pulak kuku yang masem,
Tempat jatuh lagikan dikenang,
Inikan pulak aku yang hensem.

p/s: tibai je pantun tu.. janji sama bunyi.

Musim Kahwin Bermula..














Dengan cuti sekolah yang akan melanda tak berapa lama lagi, musim perkahwinan pun akan dimulakan dengan rancaknya di seluruh negara.

Akan lakulah perniagaan katering, sewa khemah, cetak kad jemputan, andam dan sewa baju, hias pelamin, sewa dulang dan tepak sirih, upah amik gambar dan video, dan yang kaya sikit akan mengayakan pula hotel-hotel dan syarikat pelancongan.

Aku? Mungkin bila dah habis belajar dan bayar hutang-piutang. Dan mungkin bila cik Wani dah keluarkan amaran atau kata dua.

Kepada yang akan mendirikan rumah tangga, selamat menempuh alam perkahwinan!

Friday, May 09, 2008

Kod Rahsia III (Tahap Puaka Gaban)


Soalan: Apa yang aku dapat buat benda ni?

Jawapan: wgtpt sky bth

Klu: Hafal sifir 3

Wednesday, May 07, 2008

Kod Rahsia II (Tahap Mudah)...

cari ayat tersembunyi:

sesuatu entah bila entah ngapa amat racau nanti yang aku amat kesali untuk tidak ingin pastinya ulah sendiri aku jadi apa


klu: aku hensem

Tuesday, May 06, 2008

Kod Rahsia...


sytb sbba ttss akab aaaa iuln haau tame pnhc lkod eiyk umas agua aaga npaa kutt

klu: punca kuasa x punca kuasa = luas

Monday, May 05, 2008

Apa yang saya pelajari semester ini?


BEL 250: Perkataan barua dan bongok boleh digunakan oleh sesiapa sahaja, termasuk lecturer tua yang dah nak mamp*s.

Seni Visual: Melukis muka sendiri adalah perkara kedua paling rumit di dunia selain cuba menyentuh hidung menggunakan siku.

Cinefoto: Hukum bagi model untuk memandang kamera sewaktu gambar diambil adalah HARAM.

Sejarah Seni Persembahan: Mozart dan Muzzamil adalah dua orang yang berbeza nama, minat dan stail rambut. Yang sama mungkin sideburn..

Konferensi: Muz dan Idora suka menonton bersama (pengulangan homoteleuton)..

Teori & Apresiasi Filem: Tengok filem senang.. tengok filem pastu tulis esei susah..

PBSM 2: Tak amik.. nama takde dalam validation.. kena amik lagi sem depan.

Ensemble III: Senang jadi lecturer. Kelas tak payah masuk, ujian suruh student tanda sendiri.

CTU: Kali pertama ada orang lagi pandai CTU dari aku (mama).

Gaya Bahasa: Menanda gaya bahasa boleh merosakkan tenggorokan otak. (retorik hiperbola)

Saturday, May 03, 2008

Utterance of Chaos..

I'm afraid of tomorrow..

I've had too many yesterdays..

Nights were beyond remembrance..

Nightmares and sweet dreams were mere frescoes..

And throughout the day it was pure chaos.


If next is the previous replay..

And what's coming is in cycles..

I'm tired of doing circles..

I'm not a hamster running on wheels.


Give me your hands..

Lead me out of these labyrinths..

Somebody..

Save me!

Thursday, May 01, 2008

Tag aku

TAG: Siapakah karakter Heroes kamu??

Sebab aku baru je layan Heroes dengan Shah@Datu secara marathon 2 musim sebentar tadi, aku mulakan tag ini.

Aku? Tentulah Hiro Nakamura pilihan aku, sebab dia besh..

Mangsa pilihan:

1. Ustazah Fairuzah

2. Shah aka Datu aka Class Rep

3. Echa ex-classmate TI

4. Idora the Explorer

5. Am yang terjerit-jerit di sana