Saturday, February 28, 2009

Sesudah Satu Purnama..

Assalamualaikum..

Hari ni genap sebulan meninggalkan Melaka..

Apa agaknya khabar pepohon rumbia di sana?

Sudah menguningkah sawah padinya?

Hujan masih belum mahu turun lagi?

Abang Rosmaini masih mahu jadi badang kampung?

Labu, Kumbang, Kuning dan Putih sudah makan?

Gigi Faizal dah tumbuh ke belum?

Siapa temankan Nek Minton semalam?

Radhiah dah lulus ujian memandu?

Siapa anak angkat baru Che Ah?

Pakcik Shawal sudah habis menebas lalang belakang rumah?

Fatin masih suka menyakat adik sepupu?

Peminat Mira janda aku tu dah kena buang sekolah ke belum?

Bila Fairuz ngan W** nak duduk sebelah2 dalam bas lagi?

p/s: Sapa ada gambar Fairuz main paintball tu bagi la kat aku..

Thursday, February 26, 2009

Manusia Punya Asa, Tuhan Punya Kuasa..

Assalamualaikum..

Dengar dulu..

Sebelum cik Wani terbang ke Sarawak, dia amanahkan (pinjamkan la kiranya) tiga buah buku pada aku. Dia buat aku jatuh cinta pada buku-bukunya.

Cik Wani khabarkan dia akan pulang bercuti ke semenanjung 13 hb hadapan. Tarikh itu sipi sikit ke hadapan dari tarikh lahir aku, dan sipi sikit ke belakang dari tarikh lahir dia.

Dia pesan pada aku mahu hadiah hari lahir yang istimewa, meski tak perlu mahal2.

Tak berapa hari selepas aku khatam baca novel Laskar Pelangi, aku ketahuan filemnya pun sudah diterbitkan. Pengarahnya Riri Riza.

Tak berapa minggu kemudian Muz beritahu aku Riri Riza akan datang ke Malaysia dan ada filem-filem dia yang akan ditayangkan. Acaranya di Finas pada 14 ,15 Mac.

Bagai dapat menghubungkan semuanya dalam kepala, aku rancang nak ajak cik Wani menonton Laskar Pelangi sebagai hadiah hari jadi beliau. Romantik tak? Ya, aku memang romantik.

Tiba-tiba malam semalam aku dapat tahu filem Laskar Pelangi tak termasuk dalam himpunan filem-filem yang akan ditayangkan tu. Kecewa sungguh.

Memandangkan cik Wani tak minat sangat Riri Riza (entah kenal ke tidak aku pun tak tau) maka aku hanya akan bawa dia nonton kalau filem tu ada sekali.

Doakanlah ya, filem tu ada ditunjuk sekali. Agar mimpi sambutan hari lahir romantis aku akan jadi kenyataan.

Tuesday, February 24, 2009

Dalam 4 Hari Dunia Berubah..

23 Feb - Bapak aku pencen!

22 Feb - Besday adik aku Aliah!

21 Feb - Besday adik aku Angah!

20 Feb - Besday nenek aku!

Friday, February 20, 2009

Imej Baru Fairuz..

Assalamualaikum..

Asyik cakap pasal Muz je, apa kata kita cakap pasal Fairuz plak..

Dia ada imej baru..

Tapi tetap takleh lepas Pak Baim..

Adakah potongan rambutnya berteraskan masalah disiplin semata-mata?

Atau kerana ada yang meminta rambutnya digayakan demikian rupa?

Makwe baru = imej baru?

P/S: Sapa ada gambar terbaru die? Boleh pos kat sini!!

Thursday, February 19, 2009

Selepas 5 sem..

Assalamualaikum..

Aku jarang tengok Muz dibenci sesiapa. Malah selama lima sem dia lebih kerap dibacking berbanding dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Entah kenapa antara semua budak lelaki dalam kelas aku, beliau dianggap sebagai objek suci macam Dalai Lama. Bahkan Ojoj yang tidak mencintai dia pun masih nak berkawan dgn die. Kawan je la.

Namun berbeza halnya sekarang. Antara pembacking beliau paling kuat, iaitu kekasih gelapya, telah berpatah arang berkerat rotan bukan sahaja dengan dia, malah dengan semua kawan-kawan dia. Aku rasa ini semua ada kaitan dengan ura-ura yang Muz akan naik pelamin tak lama lagi. Kalau tak naik pelamin pun tunggu atas altar kedatangan Nyi Burga pakai gaun putih.

Haha. Best tak aku bergosip macam perempuan?!

Oo...

Dalam karaoke jamban minggu lepas..

Cik N: Kryptonite tu apa?

Aku: Benda kelemahan Superman.

Cik N: ??

Cik Z dan Muz: Yang kaler hijau tu.

Aku: Oo, rupanya ada cara penerangan yang lebih senang.. Patut tak semua orang boleh jadi cikgu/penulis/tok kadi..

Wednesday, February 11, 2009

Enaknya Menjadi Penulis

Assalamualaikum..

Tidak berapa semes yang lepas, pensyarah kesayangan Shah iaitu abang K pernah mengutarakan satu pernyataan yang agak sinis dan menghina:

"Penulisan kesusasteraan (dipanggilnya penulisan berbunga), tidak boleh divisualkan oleh khalayak."

Maksudnya begini. Penulis biasanya adalah makhluk syok sendiri yang menulis perkara yang tidak dapat difahami/dibayangkan oleh orang lain.

Ayat contoh kegemaran beliau adalah tidak lain tidak bukan "habuk-habuk cinta meresap ke dalam liang-liang roma.".

Diulangsuara ayat ini berkali-kali, memperlekehkan kedangkalan penulisnya (barangkali beliau sendiri) yang gagal menterjemahkan ayat tersebut ke satu bentuk yang lebih visual. Namun secara halusnya, kamilah, baik penulis, pelajar penulisan mahupun pensyarah penulisan, yang menjadi mangsa sinikalnya itu.

Beliau gah mendabik dada betapa golongannya (tak silap aku dia pelukis je) mampu menyampaikan segala sesuatu dengan bentuk yang visual, 'gambar terkadung seribu kata' beritahunya, lengkap dengan dimensi, bentuk, warna dan tentu sekali tanpa basa-basi.

Sesudah satu semes lebih berlalu, aku dan beberapa rakan lain terkadang tetap juga mengulangsuara ayat 'habuk-habuk' cinta tersebut; tidak lebih dari sekadar gurauan yang diulang-ulang, tanpa sedar meremehkan kaliber diri sendiri sebagai penulis.

Namun kini, sesudah membaca beberapa karya dan meneliti beberapa kejadian alam (jujurnya entri ini terilham usai membaca beberapa perenggan pertama Bab 17 'Ada Cinta Di Kedai Buruk Itu', dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata, selain selesai pulang merenung bintang di tapak perkhemahan di Kampung Parit Penghulu Benteng, Melaka), aku bagai diwahyukan alam dengan jawapan terhadap soalan sinis abang K tidak lama dahulu.

Aku gembira menjadi penulis. Menulis adalah perkara yang enak dan membakar. Dengannya aku tenang dan teruja pada masa yang sama. Aku faham sekarang kenapa seorang sahabat aku tidak riuh kampung dengan cerita Biawaknya, kerana hasil di televisyen itu bukan karya penulisannya. Itu karya visual orang lain. Aku yakin dia lebih gemar menganggap sajak Bujal sebagai magnum opus dan bukan tele 'Koleksi Terbaik RTM' itu. Kau buat aku faham sahabat, terima kasih.

Menulis membolehkan penulisnya melapik kata dengan analogi, menjalin cerita dengan metafora dan menyulam watak dengan semangat peribadi, ideologi dan falsafah yang akan terlalu jenuh jika cuba ditampilkan secara visual. Untuk menceritakan garangnya seorang guru boleh dianalogi dengan tulisan "Bu Mus bagaikan sinar matahari yang memberi kami hidup, tetapi boleh juga tiba-tiba memanggang hangus". Cinta boleh didendang keindahannya, tanpa meletakkan seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan merenung bulang di pinggir bukit; sekadar memberitahu "Hari ini daku lebih bercahaya kerana senyummu". Hati gusar serba kacau tak memerlukan Sofi Jikan merenung lama foto-foto orang lain di dinding studio orang yang lain pula. Cukup menulis "...dia terbakar resah".

Jika dalam bentuk visual, kisah cinta aku dan Cik Wani akan tercantas ke dalam ruang waktu 90 ke 120 minit. Seni visual terlalu gopoh untuk menunggu 13 tahun menyulam indahnya cerita cinta kami. Sebaliknya penulisan boleh sahaja dilembarkan, sehelai demi sehelai, hari demi hari. Tak percaya mintalah pada cik Wani diari simpanan beliau. Aku sendiri segan apabila sajak 10 tahun dahulu masih segar dalam simpanannya.

Memang visual lebih tampak dan berkesan, lebih hidup dan bergerak, serta lebih menguntungkan pelabur. Akan tetapi malangnya ia akan jadi karya kongsi si pengarah, pelakon, penulis, pelukis papan cerita, penjaga konti, pengarah seni, tukang gunting rambut, pensterika baju dan lain-lain. Dengan menulis biar pun yang diceritakan adalah kisah benar 10 anak muda di Pulau Belitong, ia tetap hasil karya Andrea Hirata. Penyuntingnya siapa pun tidak kenal. Pengkaji, guru sekolah, pereka kulit buku dan lain-lain hanya sekadar disebut selintas dalam ucapan penghargaan muka hadapan, buat menyiapkan naskhah agung bergelar Laskar Pelangi itu.

Sesungguhnya penulisan selalunya seni yang lebih murah, mudah dan jujur. Ia tidak perlu manusia-manusia penipu, beraksi di hadapan skrin chromakey biru. Tak perlukan track dan lampu. Manusia tidak perlu jadi hantu dan ustaz palsu. Promosi hanya perlu pengarang buat upacara tandatangan buku. Dan akhirnya, bila laku, tetap juga dibuat filem (disebut seni visual) oleh golongan takde idea tu.

Hanya kertas dan pen, abang K. Dan sedikit pengalaman, kreativiti dan kejujuran. Itulah enaknya menjadi penulis.

Tuesday, February 10, 2009

Gembala Laskar Pemimpi

Assalamualaikum..

Satu malam tak berapa bulan yang lepas..

"Sudah,novel jiwang apa pulak ni." Itu getus hati aku bila cik Wani hulur satu beg kertas kaler merah yang ada tiga buah buku di dalamnya. Cik Wani kata itu buku-buku yang amat disayanginya, dan diserahkan pada aku untuk dijaga sepanjang dia ke Sarawak nanti.

Dua novelnya berjudul melayu, meski dengan bunyi indon. Mujurlah ada satu yang berbahasa inggeris, lega sedikit rasanya.

Begitulah hinanya aku memandang novel berbahasa ibunda, kerana tak berapa waktu sebelumnya aku tertipu menatap karya payau tentang seorang sunan kunun alim yang menentang segala jenis makhluk jahat; bagai kacukan antara wali songo dan antoo fighter. Tak disedari ia hanya karya roman yang melebih-lebihkan seorang lelaki khayalan dengan tema melankolik tanpa heroisme dalam erti kata sebenar. Ya, dan peminatnya ramai, seperti juga filem-filem melayu yang peminatnya ramai jikalau temanya caca-marba dan penuh rapu.

Tentu sahaja karya bahasa inggeris terlebih dahulu jadi pilihan aku. Tajuk bukunya The Alchemist karangan Paulo Coelho. Kisahnya mudah. Seorang gembala kambing, Santiago memburu 'Personal Legend' atau 'Hikayat Peribadi'nya; harta karun yang tertanam di tapak Piramid Giza. Hasil tilikan nasib seorang wanita gipsi dan nasihat (dibayar dengan 6 ekor kambing) seorang lelaki tua (memperkenalkan diri sebagai Raja dari Salem), dia merentasi Selat Gibraltar, ditipu sehingga menjadi papa kedana, berkerja di kedai kristal, mengembara bersama seorang alchemist dan menukar diri menjadi angin. Rintangan demi rintangan ditempuh Santiago sebelum akhirnya dia menyedari maksud sebenar perjalanannya itu membawanya kepada harta karun yang sebenar.

Buku yang sudah terjual lebih 65 juta naskhah di seluruh dunia ini sebenarnya lebih kepada sebuah buku motivasi, yang menggesa pembaca agar yakin dengan impian dan berusaha sedaya-upaya menggapainya. Antara kata azimat dalam buku ini adalah 'Jika anda inginkan sesuatu, seisi alam akan bekerjasama untuk membantu anda mencapainya'.

Usai membaca buku tersebut, dua novel berbahasa melayu tampak hambar meskipun aku belum pun mula membaca. Apatah lagi sebaik sahaja sedar ia hasil pengarang Indonesia. Sudahlah lagu indonesia lebih asyik, siri televisyennya lebih menarik, kini novelnya pula?

Aku mulakan dengan Sang Pemimpi, walaupun selepas satu mukasurat kemudian menyedari yang ia sambungan kepada Laskar Pelangi. Aku pun kembali dengan buku pertama, mengharapkan ia akan selesai segera semata-mata kerana ia amanah cik Wani. Nama penulisnya pun pelik, Andrea Hirata macam orang Jepun.

Dan dalam hidup ini, sekali lagi aku dibuktikan silap sebesar-besarnya. Sesudah selesai dua buah novel, Ikal, Lintang, Maher dan Arai tiba-tiba menjadi rakan baik aku. Bu Muslimah dan Cikgu Mustar adalah guru yang memberi semangat, dan Pulau Belitong, yang dari kekayaan melimpah-ruahnya tiba-tiba menjadi pulau pertanian, bagai dikenali sedari lahir. A Ling, Edensor dan University of Paris di Sorbonne bak utopia alam rindu yang ingin benar dijengah dan diteliti.

Bacalah kedua-dua buku ini. Kalian takkan menyesal. Bahkan menghargai bahawa pendidikan adalah bermula dengan mendidik jiwa, hanya selepas itu minda akan berkembang cerdas, melantunkan pucuk-pucuk harapan tinggi menjulang awan, dengan akarnya iman dan taqwa, manakala batangnya pula semangat yang cekal dan kental.

Dan oh ya, sebelum apa-apa, buku ini merupakan buku terlaris dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, dan bandingkanlah novel ini dengan novel laris tentang sunan kunun wali itu. Aku malu mengaku menjadi penulis dari Malaysia!


Filemnya pun sudah keluar dan aku jamin ia adalah 100 kali lebih bermakna untuk ditonton berbanding filem arahan seorang profesor yang kerjanya tidak lain memperbodohkan khalayaknya.

Monday, February 09, 2009

Aku Saksi Serakah Yahudi (Cerita Tak Berapa Pendek)


Boom!!

Abu Hisyam terperanjat seketika. Ditolehkan kepalanya ke arah bunyi letupan dari arah timur itu. Jarak antara dia dan letupan itu agak jauh namun desing dan bingitnya cukup memeranjatkan sesiapa sahaja. Dari bekas ledakan itu asap naik bak cendawan. Hitam pekat dan di dalam cendawan itu pula seolah-olah nyawa mangsa-mangsanya turut dibawa naik menuju langit.

Seketika kemudian dilihatnya manusia mula berlari. Ada yang berlari keluar dari kepul-kepul asap dengan wajah hitam berjelaga. Ada yang berlari-lari pula ke arah kepul-kepul itu, sama ada untuk menghulurkan bantuan atau sekadar untuk bertanyakan, jika yang keluar itu tahu tentang nasib mereka yang takkan keluar-keluar lagi. Ada yang cuba berlari dengan darah membasahi muka dan tubuh, namun tumbang selepas beberapa langkah.

Setelah asap pekat mula mereda, baru Abu Hisyam sedar asap itu tidak naik begitu sahaja. Sebuah bangunan, entah sekolah entah hospital, pernah berdiri di situ beberapa detik tadi. Dentum kuat tadi telah meratakannya, dan kini tak siapa pun akan mengingati bangunan apa yang kini sudah tiada itu. Semua yang mengingatinya telah terkubur sekali di dalamnya.

Bunyi dentum dan hiruk-pikuk manusia tiba-tiba berganti bunyi bingit. Dari arah yang sama, dengan tiba-tiba, dari celah-celah bangunan atau selayaknya hanya puntung bangunan, debu-debu mula berterbangan. Bunyi bingit makin kuat dan tiba-tiba sebuah helikopter tempur muncul dan mula meninggi dari jangkauan. Setelah dipastikan pucuk-pucuk bangunan dilepasi, helikopter itu pun bergerak perlahan meninggalkan tempat kejadian, bergerak ke arah selatan dan semakin menjauh.

"Yahudi laknat!" Getus Abu Hisyam di dalam hati. Senapang yang tersangkut merentasi dadanya tiba-tiba dipegang erat. Cuma jarak helikopter yang sudah terlalu menjauh menghalang niatnya. Jika tidak, pasti dia pun akan turut sama tumbang seperti bangunan entah sekolah entah hospital itu tadi, dek kerana gagal mengawal emosi dan mengukur keupayaan diri.

Dari arah selatan, bunyi siren mula turut serta, bercampur gaul dengan bunyi hiruk-pikuk orang ramai itu. Dan hiruk-pikuk manusia itu pula bagaikan ensemble yang pelbagai nadanya. Ada nada tangis sedih, nada pekikan marah, nada lolongan kesakitan, nada rayuan meminta bantuan. Di telinga Abu Hisyam semuanya bercampur jadi satu. Memualkan, meloyakan, memeningkan. Sayangnya Abu Hisyam terusan tercegat di situ. Langkahnya bagai mati.

Cukup 10 minit terpacak dia kembali terdengar bunyi dari langit. Kali ini jauh berdesing bagai ada jentera di atas langit sana. Abu Hisyam mendongak hampir-hampir bertentang mata dengan matahari. Dikerinyitkan matanya dan diteduhkan dengan sebelah tangan. Anak matanya mencari-cari dari mana bunyi itu datang dan apa gerangankah ia.

Sah! Sebuah jet pejuang yang Abu Hisyam sendiri tidak tahu dari jenis apa bagai pari-pari yang terbang tinggi bermain-main di celah gemawan. Tak lain tak bukan pari-pari maut zionis terkutuk!

Manusia-manusia dari hiruk-pikuk sana mula sedar akan bala baru ini. Ada yang sudah goyah tekadnya langsung melarikan diri. Yang belum sedar akan bahaya yang mengintip masih sibuk menyelamatkan sesiapa yang mereka mampu, mengais-ngais tanah mencari mangsa tertimbus; bagai ayam mengais cacing, lupa helang mengintai di udara. Ada pula golongan yang lain, yang cuba-cuba memberikan amaran kepada yang lainnya, dengan reaksi yang menghasilkan dua golongan awal tadi.

Bunyi tembakan dan takbir laungan perjuangan serentak keluar dari celah-celah bangunan. Bagai menyalak bukit tembakan-tembakan mereka itu dihala ke langit sana. Mana tahu untung rezeki jatuh juga satu dua jet pejuang musuh.

Abu Hisyam terus terpaku. Matanya bagaimanapun bagai jongkang-jongket naik turun antara langit dan bumi. Di bawah dia cuba mencari dari mana pejuang-pejuang itu bersembunyi. Di atas dia cuba melihat-melihat jika tembakan tadi mendatangkan hasil. Dalam hatinya dua doa dipanjatkan serentak. Pertamanya agar tembakan-tembakan itu mengenai sasarannya. Yang kedua jika tidak berjaya pun sekurang-kurangnya jet-jet itu tidak mengebom sasaran di darat. Atau lebih tepat lagi tidak mensasarkan dirinya.

Voom!!

Bunyi bingit jet-jet pejuang bagai melintasi kepalanya. Jet-jet milik umat rasul-rasul terdahulu itu hanya melalui kawasan itu, sebelum tiba-tiba kelihatan sudah jauh meninggalkan Abu Hisyam di daratan. Sekali lagi suara siren ambulans dan hiruk-pikuk manusia jelas di telinganya, bagai bunyi bising sekeliling yang baru disedari selepas selesai bermain permainan Java dalam telefon bimbit.

"Abu Hisyam! Gantikan aku sekejap!" Tiba-tiba rakannya yang berpangkat lebih tinggi bersuara. Abu Hisyam segera berdiri tegak dan tabik hormat. Selepas rakannya beredar dia segera masuk ke dalam pondok itu. Dengan menyeka peluh di wajah dia duduk di atas kerusi dan menghidupkan televisyen kecil di atas meja. Seperti biasa, berita ditayangkan dari stesen berbahasa Arab.

"Serangan terbaru Israel di timur Barat Gaza ke atas sebuah hospial lima belas minit yang lepas membunuh sekurang-kurangnya 20 orang, manakala berpuluh yang lain masih hilang. Kebanyakan mangsa adalah orang awam yang terdiri dari kanak-kanak dan wanita. Jurucakap Israel menafikan bahawa mereka mensasarkan orang awam, sebaliknya menyalahkan pergerakan Hamas yang menggunakan bangunan awam sebagai tempat persembunyian."


Abu Hisyam mendengus marah. Kakinya diangkat ke atas meja dan sebatang rokok dinyalakan. Seperti jutaan umat Islam dan orang Arab Mesir lain, dia juga benci akan kekejaman Israel. Dan seperti jutaan rakyat Mesir dan berbilion muslim lain di dunia ini, dia juga tidak berbuat apa-apa selain membenci.

FIN