Showing posts with label Bukan sasterawan. Show all posts
Showing posts with label Bukan sasterawan. Show all posts

Wednesday, May 28, 2008

Aku penuntut, bukan sasterawan!



Assalamualaikum..

Kalau zaman sekolah adalah zaman yang indah, maka alam universiti tentu sekali alam yang mendewasakan.

Belajar untuk menjadi jurutera, Universiti Teknologi Petronas adalah haluan yang dipilih (oleh mak ayah aku) untuk aku tuju meneruskan perjuangan hidup.

Di sana aku belajar dan diajar bahawa sekolah hanyalah sekentut rasa sukarnya alam universiti. Dan universiti pula hanyalah sekentut rasa alam kehidupan.

Namun yang paling nyata aku adalah seorang gamer yang serius. Worm 2, Diablo, Diablo II, Diablo II: Lord of Destruction, TCM, Fifa Manager 2006 ke bawah, Championship Manager 4 atau 5, FIFA 2001-2006, Warcraft III: Reign of Chaos, Warcraft III: Frozen Throne, Dota, Sims I, Sims 2 dan add-onnnya, Hitman : Codename 47, Hitman 2: Silent Assassin, Railroad Tycoon 3, Zoo Tycoon 1 & 2, Thief: Deadly Shadows, Grand Theft Auto III, Grand Theft Auto: Vice City, GTA San Andreas, Need For Speed: Underground, Ganguro Deluxe, 7 Sins, Star Wars: Knight of the Old Republic 2 The Sith Lords.

Fuhh.. banyak gila dan banyak lagi. Mana tak fail.

Malas la nak cerita zaman UTP nih. Sedih.. Tapi sekurang-kurangnya dapat kereta sebijik dan cik Wani masih setia tunggu aku..

Saturday, May 17, 2008

Aku eksekutif jualan, bukan sasterawan!

Assalamualaikum..

SMTKL aka TIKL aku tinggalkan tak berapa jam selepas tamatnya kertas Pengajian Kejuruteraan Awam. Masih ingat aku sempat membeli sehelai baju-t dari rakan bernama Farid pada minit-minit terakhir sebelum aku angkat kaki. SPM 2000 bagi kami juga tamat pada hari kedua puasa, iaitu hanya sehari dua kesempatan bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh bersama. Sedar tak sedar ada di antara mereka yang pernah menjadi teman seperjuangan, rakan sebilik/sekelas dan sebagainya hanya kutemui 6-7 tahun kemudian. Ada juga yang tak pernah lagi berselisih malahan hubungi hingga ke hari ini. Besar kemungkinannya kerana aku 'melawan arus' dengan tidak memasuki UTM atau KUiTTHO (kini UTHM) seperti yang lain, sebaliknya membawa diri ke Tronoh, Perak, untuk melanjutkan pengajian di UTP.

Namun sebelum itu, sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Aku memandaikan diri mencari kerja selepas sambutan Aidilfitri dan bosan bercuti (dan menelefon sana sini selain bertemu semula dengan cik Wani). Kerja pertama yang kuperolehi pasca SPM adalah sebagai penjaga tempat letak kereta sementara di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Tahanlah dua hari.

Kemudian rakan lamaku di SMKJ iaitu Khairi (bukan menantu sesiapa) suatu hari mengajakku bekerja. Jawatan eksekutif jualan aka jurujual, sungguhpun tidak menggiurkan, menarik minatku untuk mencuba.

Syarikat yang dituju adalah NRG Ent, atau lebih kurang begitu, berpejabat di SS2, PJ. Bernaung di bawah Granton Sdn Bhd, syarikat yang pernah kecoh isu syarikat mengutip derma satu masa dahulu.

Temuduganya pula bukanlah untuk melihat kelayakan sangat, tetapi lebih berminat untuk melihat berapa cepat aku boleh mula bekerja, iaitu minggu seterusnya. Dan bermulalah rutin baru bagiku, keluar rumah seawal 7 pagi dan pulang selewat 11 malam, yang biasanya diakhiri dengan makan 5 keping roti canai di kedai mamak, 3 gelas teh tarik dan membeli CD cetak rompak.

(teh tarik satu!)

Kerjanya tiada basa-basi, hanya ambil kupon (syarikat membuat kupon untuk mempromosikan syarikat lain) dan pergi jual. Kupon yang aku jual pada waktu itu adalah kupon Pizza Domino, di bawah Haizal sebagai ketua kumpulan (bergerak dalam kumpulan berdua atau bertiga).

Sungguhpun hina bunyinya, tetapi sesuatu yang paling mengesankan dalam pekerjaan ini adalah pembinaan keyakinan diri. Manusia yang takkan terfikir untuk diajak berbual aku tegur dengan muka ramah, baik di kawasan perumahan, hentian LRT, kaki lima kedai, malahan perkarangan masjid dan pejabat. Aku belajar mengenal pahit dan susah mencari sesuap nasi dan betapa malu hanya penyebab utama manusia sukar maju.

Antara pengalaman sezaman, telefon bimbit sudah mula menjadi keperluan. Nokia 3210 mula jadi bualan, biarpun aku menggunakan Motorola lipat yang dah terlupa nombor sirinya. Malangnya telefon itu dicuri apabila rumahku dipecah masuk pada satu hari.

Sungguhpun aku tidaklah bagus sangat dalam jualan, tetapi aku belajar tentang cara jurujual bekerja, dan secara seriusnya memang jurujual yang bagus layak menjadi pemidato dan ahli politik. Mereka mahir mengenal manusia, membaca reaksi mereka, dan mendapatkan keyakinan orang asing yang pertama kali ditemui. Antara yang paling aku hormati adalah mereka akan beritahu sesuatu yang tidak sukai terus ke muka anda, perangai yang aku bawa hingga ke hari ini, meski tak disukai orang (aku selalu kena ban sebab tu).

Aku juga masih ingat waktu kami di'lantik' untuk menjual cermin mata 3D yang dikeluarkan atas nama TV3 dan MAKNA atau IJN (kalau tak silap, sila betulkan kalau ya). Ia menjadi isu hangat apabila didedahkan di media bahawa dari RM 10 yang dibayar penderma, hanya RM1 akan ke pertubuhan kebajikan itu, manakala RM1 untuk kami jurujual dan RM8 untuk pengilang, orang atasan dan orang lagi atasan. Entahlah, dalam dunia ni mana ada benda yang percuma.


Lagipun aku tak lama dalam kerja tersebut. Aku berhenti sebaik sahaja sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Namun apa yang kupelajari sepanjang menjadi jurujual bagai sesuatu yang mencukupi untuk dibawa seumur hidup. Dikejar anjing, dihalau orang, diperdayakan pembeli dan yang paling tak seronok, hujan.

Mahu jadi jurujual?

Monday, May 12, 2008

Aku teknokrat, bukan sasterawan!

Dari kiri ke kanan, belakang ke hadapan:

Ejaz, Faizal Johari, Safarudin, Qahhar, Ilmam, Yazid, Hanif, Al-Hafez, Iqbal, Ezrin, Phyd

Alien, Ardza, Zaid, Muhsin, Affa, Arif Kond, Fairus Syahrizan, Abdullah Sani, Farah Najihah

Fathiyah, Nastasa, Elina, Hui Chin, Azlin, Ainul, Liya, Dalila, Huda, Maizatul, Yen Hong

Shafarina, Hana, Juita, Bob Chawan, Cik Ruhaida, Puan Fauziah, Adib Omar, Echa, Intan, Apoy

p/s: untuk pembetulan, penambahan atau pembuangan mana-mana nama dan link di atas sila bagitau aku cepat-cepat sebelum malu jadi aku..


Tidak dinafikan sepanjang hidup aku ini, masa-masa di TIKL akan sentiasa menjadi kenangan yang paling manis. Sama ada kerana aku memang manis atau orang-orang di sekelilingnya yang manis; atau memang zaman itu sendiri penuh kemanisan; biarlah memori yang menyuguhkan malam berteman keringat menahan dinding sakitnya roboh kehilangan kendali satu pengertian terpancar.

Pun bagaimana walau, setiap sesuatu akan sentiasa sahaja menemui penghujungnya, kerana yang kekal abadi itu bukannya manusia apatah lagi kenang-kenangannya. Begitu juga dalam siri ini, biarlah entri ini entri penghabisan tentang zaman-zaman aku di TI. Zaman yang memulakan banyak benda, yang sampai sekarang belum nampak pangkal habisnya.

Selain berdrama, menulis, membaca, menonton dan mengarah, zaman ini juga aku gemar bermain mata dan kata-kata. Pada aku dunia ini sesuatu yang idealis, penuh anekdot, berdoktrinkan dogma yag bisa sahaja dipahat-pahat ke tetupai atap dan diukir-ukir ke birai-birai tetingkap. Dunia bagai terlalu mudah difalsafahkan, seolah-olah kata-kata itu sentiasa mampu menerbitkan warna-warna pelangi menjadikan siang lebih redup dan gemalai dan malam tak seseram gelap tak berpenghujung.

Sungguhpun aku bukan pemidato atau pembahas sekolah, apatah lagi penceramah agama atau pentarbiyah lajnah, tapi dunia ini padaku mudah dibelah-belahkan. Yang ini hitam, yang itu putih; ke kiri kotor, ke kanan bersih, di situ keruh, di sini jernih. sifat aku yang seperti matang itu memang ada kebaikan/pro/khasiatnya, tetapi pada masa yang sama aku menjerat diri ke perangkap kepintaran. Aku lantik diri sendiri menjadi hakim, menjadi juri, menjadi saksi dan menjadi warden penjara. Ironinya, yang terperangkap dalam dunia hitam putih itu aku sendiri, dan tanpa sedar dunia itu tetap sahaja hitam putih.

Sukar difahamkan? Penerangan mudahnya, aku melihat yang merokok itu jahat, yang bertudung itu baik, buka aurat berdosa, pergi masjid masuk syurga. Tak disedari sifat mudah mengadili orang ini sebenarnya antara saat paling naif, dan tentu saja paling jahil dalam hidup aku.

Namun sedikit demi sedikit, alam pemberontak mula tersemai dalam jiwa, antaranya bermula ketika pilihanraya 1999, di mana aku merasakan apa sahaja yang aku dengar dan tonton tak semestinya benar, dan boleh sahaja palsu. Aku mula pandai membangkang mana-mana arahan guru yang aku rasa beragenda dan kurang kena. Aku sudah mula biasa tidur di bilik sakit, bilik imam di surau, buat tekan tubi di hadapan kelas dan tentu sekali pandai mencarut (sewaktu tidak didengari sesiapa)

Masih diingat sewaktu seorang ustazah meminta kami MPP mengikuti satu perkhemahan membuang masa di Tasik Titiwangsa. Aku beria-ia mengangkat tangan membangkang dan menolak arahan langsung pihak atasan itu. Ugutan mudah dari ustazah itu (dan kawan-kawan seMPP yang sentiasa suka mengangguk) ialah tidak berkat ilmu jika derhaka pada guru. Aku bukan derhaka, aku cuma kurang setuju. Dan akhirnya aku pergi juga, walaupun dalam hati aku cacian yang bergema seperti lagu nasyid yang diulang-ulang.

Memang tepat, perkhemahan itu hanya perkhemahan biasa laras kerajaan dengan ceramah-ceramah bina diri pro dacing dengan stail beratur, makan dan tidur ala biro tata negara, lengkap dengan aktiviti kumpulan dan modul sejibik yang pernah dan telah aku lalui dalam puluhan perkhemahan lainnya. Pendek kata, jika ada RM10 yag aku keluarkan untuk perkhemahan itu, sampai ke akhirat pun aku tidak halalkan.

Entah apa sebabnya. Mungkin kerana sepanjang tingkatan lima aku tak bertemu langsung dengan cik Wani. Mungkin juga sindrom perasan kacak yang mengganggu fungsi serebelum dan serebrum menyilaukan tepian ritma ketika tersapu mimpi yang memercik hayunan maha lazat. Mungkin juga tumbuhnya ari-ari menandakan hari-hari mau dan jari-jari bau. Entahlah, entah.

Sampai ke hari ini pun, setelah dua universiti aku jejaki, dan tiga kursus aku ambil (dua darinya gagal), aku masih budak TI.

Wednesday, April 23, 2008

Aku pengarah, bukan sasterawan!


(Di mana semuanya bermula)

(Masih disambung dari yang hari itu)

TIKL. Nama barunya SMTKL. Di sini sepatutnya aku belajar tentang proba macintosh, pembezaan, inersia, lukisan isometrik dan jadual berkala. Sebaliknya, subjek kegemaran aku masih sama. Sejarah.

Kesan terlalu suka mendengar cerita, membaca cerita dan menonton cerita, sejarah padaku adalah bagai cerita hikayat yang lebih realis. Orang Tasaday selalu menimbulkan imaginasi-imaginasi liar yang kadang-kadang menghilangkan kekeringan. Hanya beberapa tahun kemudian baru kusedari bahawa penemuan orang Tasaday sebenarnya adalah penipuan (hoax) dalam bidang akademik (rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Tasaday.)


Sejarah amat sesuai dengan aku. Sebagai seorang yang bercita-cita mahu jadi peguam, sejarah memang dianggap subjek penting. Sebagai penulis pula, sumber inspirasi yang takkan jemu diperkatakan. (Mungkin hal sebenar budak-budak kelas Awam 2 je tau.. hehe..)

Hendak disedapkan lagi cerita aku ini, aku juga aktif bersilat (PSSGM), AJK Persatuan Pelajar Islam, Anggota Pelajar Dinamik, MPP, Ketua Dorm selain pemain catur sekolah (selalu kalah dengan Sekolah Alam Shah). Pernah juga dihantar ke beberapa kuiz peringkat WP Kuala Lumpur tetapi selalu kalah pusingan pertama.

Namun yang menentukan hala tuju aku kemudiannya adalah dalam bidang penulisan. Bermula dengan menulis untuk majalah sekolah dalam tingkatan 4, aku sambung pula dengan penulisan esei Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu peringkat sekolah (tajuk lupa, aku tulis dalam masa setengah jam satu), dan RM40 hasil kemenangan dalam kedua-dua pertandingan merupakan rezeki aku yang pertama dalam bidang ini.

Kemudian datang tawaran tak-boleh-tolak dari seorang guru yang aku dah lupa siapa. Pertandingan Drama Bahasa Melayu Berunsur Sejarah, peringkat wilayah; dan aku diminta menulis skrip dan mengarah. Sekaligus merupakan satu 'kenaikan pangkat' memandangkan pada tahun sebelumnya aku hanya pelakon pembantu sebagai Laksamana Cheng Ho dalam sebuah drama Bahasa Inggeris yang juga dipertandingkan di kawasan sama. Berkolobrasi dengan rakan sekelas iaitu cik Hana Mustafa, skrip pun siap. Bertajuk Ke Arah Kemerdekaan: Satu Pengembaraan Maya lebih merupakan satu pementasan surreal/absurdis berbanding pendekatan sekolah lain yang lebih realis, selain ada juga yang mengambil pendekatan bangsawan.

Dengan dibintangi pelakon seperti Ipin, Tumingan a.ka Limbong, Anas (ya, penyanyi tu) Faiz, Syukri, Heizul dan ramai lagi, aku biarkan masing-masing ber'eksperimen' dengan watak, dialog dan perwatakan. Yang penting semuanya tamat dalam 20 minit.

Dari 20 sekolah (pertandingan berlangsung selama dua hari), kami hanya berjaya ke-tempat kelima. Mengecewakan, tetapi secara jujurnya tiada siapa yang menonton yang tidak berpuas hati, termasuk juri (yang turut enjoy). Sebab tidak terpilih mungkin hanya kerana penceritaan yang agak pelik dan absurd menyebabkan karya sukar di bawa ke peringkat negeri. Faktor pelakon yang berlambak-lambak ramai juga menyulitkan pelakon di bawa ke luar naik bas. Bagaimanapun ia masih aku anggap sebagai magnum opus dalam bidang pengarahan hingga ke hari ini (sungguhpun skripnya itu tidaklah bagus sangat.)

Mengarah orang memang menyeronokkan.


p/s: lupa nak bagitau, rupanya bas buruk kat TI tu ada lagi rupanya.Diaorang dah cat kaler biru, kaler BN. Dulu kaler die merah kuning. Gambar dari smtkl.edu.my. Thanks to Khairul Fathi dan rakan-rakan sesekolah.

Saturday, April 19, 2008

Aku penonton, bukan sasterawan!

(Juga dari yang tak berapa lama dahulu..)


Masih di TIKL.

Tingkatan lima tidak syak lagi merupakan zaman kegemilangan aku. Aku lebih sihat, lebih cergas, lebih cerdas, lebih bijak, lebih hensem dan lebih beragama 8 tahun dahulu berbanding sekarang.

Tiba-tiba satu kegilaan baru muncul.

Menonton teater. Teater yang pertama aku tonton (bukan pementasan sekolah dsbnya, kerana tiap-tiap tahun ada itu) adalah teater bertajuk Puteri Saadong, dalam rombongan anjuran Persatuan Bahasa Melayu. Aku yang memenuhi jemputan seorang rakan sedorm sebagai presiden (tepukan pada arip kond!) telah setuju mengeluarkan rm5 atau rm10 sebelum diangkut bas buruk TI (dah takde dah bas tu. diaorang ganti bas baru beberapa bulan kemudian) ke tempat tayangannya samada di DBKL atau Matic, jika betul layanan memori aku.

Aku yang pertama kali menonton teater tidaklah teruja sangat kerana teater itu bermula dengan cara-cara biasa (mula-mula ada orang menari/lagu rakyat/ wayang kulit), dan mengetengahkan konsep bangsawan aku benar-benar mengantuk menontonnya.

Sepanjang tingkatan empat / lima, aku menonton 2 lagi teater iaitu teater Tun Perak yang ada Norish Karman dan Vanida Imran, selain teater lakonan Ahmad Idham dan Maya yang tajuknya ada perkataan sama ada 'puteri' atau 'bulan' namun sudah tak kuingati tajuk penuhnya. Kedua-duanya masih berkonsepkan bangsawan atau period, membuatkan sesudah tiga kali mencuba, hati jadi mual.

Jawapannya mudah. Aku kembali ke filem. Dengan peredaran zaman, kemunculan vcd mula menjadi kebiasaan dengan bahan tersebut mula mudah didapati. Perkataan vcd cetak rompak mula meniti di bibir pencinta filem barat termasuk aku. Hanya dengan vcd cetak rompak, filem asing yang bepuluh-puluh ringgit harganya boleh didapati dengan harga jauh lebih murah; tanpa perlu melalui proses penapisan atau pemotongan!

Aku sememangnya sudah menonton filem dari kecil, tetapi era pita video menjadikan pergerakan 'bawah tanah' menonton sorok-sorok tanpa pengetahuan ibu bapa begitu sukar dan mudah dikesan. Namun sempat juga menonton tajuk-tajuk seperti 'Species', 'Desperado' dan 'Four Rooms' dengan teknik penyeludupan.

Filem The Matrix (gambar) memperkenalkan aku kepada filem neo-surrealist/eksistensialis vs essentialis bergenre sains fiksyen, padat dengan aksi dan falsafah Zen mendalam yang hampir-hampir membuatkan aku menyangka filem ini sebagai propaganda Buddhisme/Kristianisasi.

Neo sebagai 'penyelamat dunia' dinanti oleh Morpheus melalui ramalan si Oracle. Tugasnys satu; menamatkan dominasi berkurun kaum robotik yang me'ladang' manusia sebagai sumber tenaga melalui program komputer 'The Matrix'. Bagai budak pandai, jalan ceritanya kufahami dengan sekali tontonan, namun dua atau tiga kali pula untuk memahami 'falsafah'nya.

(panjang nak cerita; rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/The_Oracle_%28The_Matrix%29 atau
http://en.wikipedia.org/wiki/Architect_%28The_Matrix%29)

Selari dengan buku-buku pelik yang aku baca, pemikiran 'luar dunia' dalam filem ini menghentak-hentak ubun-ubun aku menyebabkan aku tidak hanya berfikir tentang dunia atau tentang akhirat, tetapi juga alam-alam lain yang mampu menggilakan jika difikirkan sangat.

Seperti yang dikatakan dalam filem itu, secara intipatinya, "Kita tak dihantar ke dunia ini untuk membuat pilihan, samada syurga atau neraka; kita sudah membuat pilihan itu dari alam ruh dahulu. Tujuan kita dikirim ke dunia ini adalah untuk memahami pilihan yang telah kita buat".

Oo, itu gunanya syurga neraka.

Aku masih gemar menonton..

(To be continued..)

Tuesday, April 15, 2008

Aku pembaca, bukan sasterawan!


(Bersambung dari yang tidak berapa lama dahulu..)

Sungguhpun kemahuan dan kemampuan aku menulis bagai disekat-sekat dan terencat-rencat, tetapi nafsu membaca aku tiba tiba jadi buas dan tidak terkendali. Perpustakaan sekolah TIKL (gambar sekolah bukan gambar kutubkhanah) yang biasanya sepi dan tidak berpenghuni aku jadikan Gua Hira' peribadi untuk berkhalwat menantikan pencahayaan agung.

Arena Wati, Keris Mas, Tongkat Warrant tiba-tiba lebih dikenali. Bukan melalui buku, tetapi sebagai nama dorm. Tongkat Warrant, Keris Mas, Shahnon Ahmad (dipanggil dorm shit), antara nama penulis, selain ramai ahli politik sayap kiri (Ibrahim Yaakub, Dr. Burhanuddin Helmi) dan sayap kanan (Tun Dr. Ismail, Dato' Onn) . Ada juga kaum cerdik pandai (Ungku Omar) dan nama dorm lain yang aku dah tak ingat.

(untuk cerita betul pasal registered name kat sekolah aku, yang diaorang tunjuk dalam cite 'tirai besi' tu, boleh pergi kat sini)

Di perpustakaan, aku mula mengenali Pramoedya Ananta Toer, Albert Camus dan lain-lain manusia yang mungkin suka menulis pada waktu rehat macam yang aku buat pada ketika itu. Keluarga Gerilya, The Stranger dan Salina menjalinkan hubungan akrab denganku.

Aku tiba-tiba begitu gemar memerhati manusia dan meneliti apa yang mungkin atau tidak mungkin berlaku dalam sesetengah situasi.

Aku tiba-tiba jadi pembaca. Aku membaca segalanya.

(To be continued..)

Tuesday, April 08, 2008

Aku penulis, bukan sasterawan!



Assalamualaikum w.b.t

Sewaktu aku masih kecil-kecil lagi, (darjah empat jika benar layanan memori aku) aku sudah mula menulis. Nota-nota kecil yang kukirim ke meja guru lebih merupakan bentakan-bentakan dari anak kecil yang tertanya-tanya. Nama cikgu itupun sudah kulupai, tetapi yang masih diingati, Ujang dengan karyanya Jibam benar-benar berbekas pada ketika itu. (Jangan tak percaya, darjah 3 aku sudahpun khatam buku Bukit Kepong, meski dengan versi berbeza. Turut dibaca biografi Kanang anak Langkau dan Brittannia Encyclopedia dengan kulit tebal warna merah.)

Kartunis Aie dengan siri 'Blues untuk Aku' dengan kaedah monolog dalam pembawaan naratif juga bagai satu pembuka mata buat semua. Pada waktu itu, siapa tak baca Ujang? Siapa tak kenal Aie? Sapa tak tengok Usop Sontorian?

Novela pertama aku siap ditulis pada darjah empat. Cerita merapik sekumpulan budak-budak bermain bola ala Kickers (satu lagi cerita kegilaan kanak-kanak Malaysia pada ketika itu) lebih merupakan satu upacara bercukur jambul berbanding upacara berkhatan atau khatam Quran.

Menulis adalah kegilaan aku.

Di sebalik cita-cita remeh kanak-kanak yang biasa dibaca di mana-mana kad laporan (cita-cita aku askar, pemain bola, saintis, sebelum tiba-tiba teringin menjadi peguam), jauh di lubuk hati aku hanya mahu menjadi pencerita yang baik.

Darjah lima dan enam adalah zaman kegemilangan aku dalam penulisan kreatif. Sesuai dengan kehendak subjek UPSR, hampir seminggu sekali aku akan menulis 'karangan terbaik' di dalam kelas.

Sedang aku berjalan-jalan menghirup udara di taman, tiba-tiba... (sambung karangan dengan tidak melebihi 250 patah perkataan) adalah soalan kegemaran aku. Dalam peperiksaan UPSR karangan berkaitan dengan pendaratan UFO menjadi pilihan aku menjawab soalan 'Pengalaman Aneh Yang Pernah Dilalui'.

Sedari kecil aku sudah gemar menggunakan kaedah 'plot twist' dek kerana bosan dengan cerita-cerita dongengan seperti Cinderella dan Snow White yang acapkali dibacakan ibuku. Apa perlunya protagonis menang dan antagonis kalah? Apa perlunya mangsa memaafkan mereka yang menzaliminya? Kalau semua seronok dan bahagia di dunia, apa guna syurga dan neraka? Kalau minta maaf berguna, buat apa ada polis?

Malam PRU ke-10, aku habiskan dengan membaca novel Inggeris pertama, Master of Murder dari novelis remaja Christopher Pike. Aku yang tersangkut-sangkut memahami Bahasa Inggeris
turun naik dari bilik ke ruang tamu menanyakan maksud perkataan dari ibuku yang sibuk menonton keputusan pilihanraya. Kalau beliau sibuk, kamus aku gunakan seefektif mungkin. Menurut sesetengah pemerhati, pada malam inilah aku benar-benar mula belajar Bahasa Inggeris.

Hadiah baucer dari pihak sekolah atas keputusan UPSR aku gunakan untuk membeli novel-novel Christopher Pike. Bury Me Deep, Remember Me, Die Softly dan The Last Vampire memperkenalkan aku kepada genre-genre thriller dan seram.

Dunia komik pula mengajar aku genre aksi dan pertarungan. Komik Juara Wira, Raja Rimba, Alam Perwira, Pendekar Laut dan banyak lagi mendidik aku bahawa ada bangsa di dunia ini menganggap semangat setiakawan dan kejujuran adalah aset paling utama. Berbeza dengan manga-manga Jepun yang menjadikan cita-cita dan ketabahan protagonis adalah matlamat dan hala tuju hidup. Yuyu Hakusho, Dragon Ball, Dragon Quest dan Doraemon mendidik itu.

Sekolah menengah memperkenalkan aku kepada aliran baru. Makcik aku yang merupakan peminat sastera banyak membawa pulang buku-buku seperti Daerah Zeni dan Hujan Pagi (A. Samad Said) selain Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Alangkah tepat masanya kerana aku pun sudah mula gatal nak bercinta. Maka terburailah prosa-prosa sajak yang seringkali dihantar kepada cik Wani. Cik Wani suka saya, saya suka dia dan alam pun jadi indah dan lain.

Tapi yang indah takkan terus kekal indah. Aku berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pada tingkatan empat. Di sana, penulisan kreatif hampir mati untuk aku. Ya, aku masih menulis, tetapi hanyalah penulisan-penulisan ilmiah seperti huraian, kesimpulan, surat rasmi dan kajian teks sastera. Aku penulis, bukan sasterawan!

(to be continued..)