Showing posts with label Aku Bosan Aku Wiki. Show all posts
Showing posts with label Aku Bosan Aku Wiki. Show all posts

Sunday, August 31, 2008

Aku Bosan Aku Wiki: 31 Ogos

Assalamualaikum..

31 Ogos bukan semata-mata merupakan Hari Kebangsaan kita, tetapi juga:

- Hari kemerdekaan Kyrgyzstan dan Trinidad & Tobago

- Kinetoskop, alat memprojekkan gambar bergerak (gambar sebelah) dipatenkan oleh Thomas Edison

- Hari kelahiran aktor Richard Gere (Pretty Woman), Chris Tucker (Rush Hour), dan Pepe Reina (penjaga gol Liverpool)

- Maharaja Rom Caligula (Caligula) dan Commodus (Gladiator) turut lahir pada hari ini.

- Puteri Diana dan teman lelakinya, Dodi Al-Fayed meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Paris (dikaitkan dengan kospirasi melibatkan Istana Buckingham)

- Rocky Marciano yang menjadi ilham Sylvester Stallone menghasilkan Rocky meninggal dunia.

___________________________________________________________________

Sumber: www.wikipedia.org

Friday, May 23, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Macgyver

Assalamualaikum..

Melainkan usia anda 20 tahun ke bawah, anda pasti pernah mendengar tentang kemasyukan siri televisyen ini, MacGyver (Disebut Mek Geber oleh rakyat Malaysia secara amnya). Ditayangkan di Malaysia pada akhir 80-an dan awal 90-an oleh stesen televisyen swasta tempatan TV3, (diulangtayang di TV2 sekarang), siri ini mengecapi populariti selain membentuk satu budaya pop (jangan dikelirukan dengan muzik pop) yang menular bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Watak utamanya, Angus MacGyver lakonan Richard Dean Anderson (gambar), sinonim dengan kreativiti, kebijaksanaan dan kecerdasan berfikir, selain keupayaan mengaplikasi barang seharian untuk menyelesaikan masalah. Beliau juga dikenali kerana lebih gemar menggunakan kepintaran dan akal dari menggunakan kekuatan dan senjata api, yang memang tidak digunakannya.

Siri ini yang berterusan sehingga 7 musim, menceritakan mengenai ejen rahsia Amerika Syarikat (dan kemudian Yayasan Phoenix), MacGyver yang ditugaskan menjalankan misi-misi rahsia di serata dunia. Kemahirannya menggunakan alatan seharian melibatkan perancangan dan kemahiran mendalam tentang ilmu sains, termasuk kimia dan fizik.

Beliau juga tidak sukakan keganasan, dan alatan atau perangkap yang diciptanya lebih bertujuan sebagai pertahanan diri. Selain itu, biasanya ia hanya memerangkap atau melemahkan pihak lawan, dan tidak mencederakan apatah lagi membunuh mereka. Antara 'tanda' MacGyver yang popular adalah mengaduh kesakitan dan menggoncangkan penumbuknya selepas menumbuk seseorang, berbeza dengan watak hero semasa (seperti dalam Terminator atau Die Hard) yang sarat dengan hormon testosteron selain bermuka ketat dan bertubuh mampat/padat/sendat. Mac juga mudah gayat dan... (retorik elipsis)

Antara 'teman baik' MacGyver adalah pisau lipat (dikenali di seluruh dunia dengan nama pisau MacGyver) dan pita pelekat, yang dibawanya sepanjang masa untuk kegunaan di waktu memerlukan. Dengan kedua-dua alatan ini, selain benda-benda yang ada di keliling Mac sewaktu kejadian, akan wujudlah solusi-solusi menarik untuk sajian penonton supaya terpukau mayapada merambat lagi keting kesayuan.

Musuh utama MacGyver tak lain tak bukan adalah Murdoc, musuh-susah-mati yang seringkali menggangu gugat urusan Mac. Si jahat ini pun ada gayanya juga, iaitu setiap kali berlawan dengan MacGyver, dia akan menemui ajalnya (jatuh gaung, terbakar dsbnya) tetapi entah macam mana hidup dan akan datang semula mencari Mac pada episod yang kemudian. Biasanya sebelum mati dia akan menjerit 'Macgyver!!!!' sebagai tanda tak puas hati.

Di Malaysia beberapa tahun lalu, siri ini pernah diharamkan kerana ada pemuda mana entah yang memandai-mandai meniru cerita ini, masuk dalam ruang tayar kapal terbang dan mati lemas. Siapa ada berita asalnya boleh beritahu aku.

Sekian..

Monday, May 19, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Lizzie Borden

AMARAN: Imej berbaur keganasan, kepada sesiapa yang enggan melihat sila ke entri lain.

Legenda Lizzie Borden amat terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat. Dia dituduh membunuh ayah kandung dan ibu tirinya dengan mencantas kedua mereka menggunakan kapak. Namun, meskipun selepas didakwa dan dibicarakan dengan bukti yang agak mencukupi untuk mensabitkannya, dia telah dibebaskan. Bagaimanapun hingga kini nama Lizzie Borden tetap menghantui masyarakat di sana, dan dia dipercayai antara wanita pembunuh yang paling kejam pernah disaksikan dunia. Tidak hairanlah dia membujang ke akhir hayat, tetapi sebab yang pasti adalah kerana tiada jodoh. Sabar ye Echa, eh Lizzie.

Pada 4 Ogos 1892, iaitu pada tahun yang sama kelab bolasepak Liverpool FC ditubuhkan selepas bercerai talak tiga dengan Everton FC, berlakuya pembunuhan dahsyat di 92 Second Drive, Fall River, Massachusetts yang terletak di timur laut Amerika Syarikat.

Bapa Lizzie, Andrew Jackson Borden, dan ibu tirinya Abby Borden, telah ditemui mati dibunuh di dalam rumah mereka. Selain Lizzie, satu-satuya saksi yang ada di dalam rumah itu pada waktu tersebut adalah pembantu rumah, Bridget Sullivan. Pakcik Lizzie, John V. Morse, adik kepada isteri pertama Andrew Borden, sedang menginap di rumah tersebut pada waktu itu untuk lawatan, tetapi tiada di rumah semasa kejadian. Emma Borden, adik Lizzie, juga tiada di rumah.

Pada hari itu, Andrew Borden telah ke bandar untuk urusan harian di bank dan pejabat pos. Dia pulang semula ke rumahnya lebih kurang pada pukul 10.45. Selepas setengah jam kemudian, Lizzie Borden menemui mayatnya. Berdasarkan kepada keterangan si pembantu rumah, Bridget, dia sedang berehat-rehat di biliknya yang terletak di tingkat tiga rumah itu sejurus selepas pukul 11 pagi, apabila dia terdengar panggilan Lizzie, "Ada orang katok bapak aku! Ada orang katok bapak aku!". Mayat ayahnya ditemui tersandar di atas kerusi panjang di bilik menunggu yang terletak di tingkat bawah. Andrew Borden kelihatan separuh terbaring dengan mukanya menghadap sebelah kanan, dan kelihatan tenang seperti 'sedang tidur'.

Tenang? Mata kirinya terbelah dua selain tengkoraknya hancur memburaikan otak. Mujur gambarnya hanya hitam putih kalau tak sumpah tak pos kat sini.

Sewaktu Lizzie Borden ditenangkan oleh jiran tetangga dan doktor keluarga (zaman ini belum ada talian kecemasan 999 mahupun CSI), Sullivan telah menemui pula bangkai Puan Borden di tingkat atas, di dalam bilik tetamu. Kedua-dua pasangan Borden ini telah dibunuh dengan kapak.

Motif kejadian? Dikatakan Lizzie dan adiknya Emma tidaklah puas sangat tetapi lebih tidak berpuas hati apabila harta ayahnya dibahagi-bahagi kepada sanak-saudara tanpa memikirkan mereka. Rumah mereka pun dengar katanya akan diberi kepada saudara juga. Ye la, dah la andartu, kerja pulak takde, harta bagi kat orang luar, sapa tak marah. Tapi taklah sampai katuk ayah sendiri camtu. Derhaka, derhaka.


Malah diberitakan Lizzie pernah cuba membeli racun sianida tetapi tidak dijual kepadanya. Katanya nak digunakan mencuci kot kulit anjing laut. Betul tak tipu. Racun ini pernah digunakan oleh Adolf Hitler untuk membunuh diri, tetapi benar atau tidak siapa yang tahu?

Malah beberapa hari sebelum kejadian kedua-dua adik beradik itu bergaduh besar dengan orang tua mereka, dan Lizzie dan Emma masing-masing keluar membawa diri dari rumah itu. Namun Lizzie pulang lebih awal atas sebab-sebab "peribadi". Atas sebab-musabab yang mencurigakan ini, Lizzie ditahan dan dibicarakan atas dakwaan membunuh kedua orang tua kandung + tirinya.

Satu lagi teori yang pelik mengaitkan bahawa Lizzie adalah seorang lesbian, dan membunuh ibu bapanya kerana cinta terhalang. Macam pelik je.

Sewaktu dibicarakan, keterangan Lizzie bercanggah antara satu sama lain dan kelakuannya mencurigakan. Sewaktu siasatan polis, kapak yang dipercayai digunakan dalam kes itu telah ditemui di besmen rumah tersebut, namun pemegangnya sudah hilang, dipercayai disorokkan kerana mempunyai kesan darah. Beberapa hari selepas pembunuhan juga, Lizzie telah membakar sehelai pakaian miliknya atas dakwaan terkena cat basah yang terdapat di dinding.

Bagaimanapun, selepas sejam berbincang, pihak juri mendapati Lizzie tidak bersalah dan dia telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan. Senjata pembunuhan didakwa tidak ditemui, selain tiada bukti terdapat darah pada Lizzie sejurus selepas pembunuhan tersebut. Fakta bahawa dia cuba membeli racun juga tidak dihujahkan di dalam mahkamah.

Seperti kes Jack the Ripper di kota London, dan The Zodiac Killer pada tahun 60-an, kes ini masih belum selesai hingga ke hari ini. Banyak fakta, teori dan suspek baru yang dicadangkan, tetapi tentu sahaja itu semua tidak lagi berguna kerana mengenang laluan liku alam itu tak semudah menderunya suara bara yang mendesir di jalanan.

************************************************************************************

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_Borden

http://www.liverpoolfc.tv

http://en.wikipedia.org/wiki/Prussic_acid

Gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_Borden

Thursday, May 15, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Milo

(Milo Dinosaur kata orang Singapore)

Assalamualaikum..

Menghormatkan kehendak Muz, aku utuskan juga satu lagi entri dalam siri ini berkenaan minuman kegemaran beliau iaitu Milo.

Berbeza dengan pendapat umum, Milo sebenarnya bukanlah minuman coklat, sebaliknya minuman malt dan coklat yang digabungkan dengan bahan tenusu dan lain-lain, begitu juga jenama Ovaltine dan Vico.

Milo Ventimiglia mungkin lebih dikenali dengan nama Peter Petrelli dalam siri televisyen Heroes, dengan kemampuannya menyerap kuasa orang lain (yang peliknya tak boleh pulak nak serap idea A. Samad Said ke, lawak Harun Salim Bachik ke), tetapi minuman Milo dinamakan sempena hero kaum Yunani purba, Milo of Croton, iaitu seorang atlit yang memenangi sukan Olimpik purba 6 kali dalam acara gusti. Dengar kata gagah orangnya Milo Croton ini, sebagai persediaan untuk kejohanan Olimpik, dia menanggung seekor anak lembu di belakangnya. Setelah empat tahun kemudian apabila Olimpik tiba, lembu itu membesar di belakang tanggungannya, lalu disembelih, dipanggang dan dimakan oleh beliau di dalam stadium hendak menayangkan kemachoannya itu.



Milo dicipta bukan oleh Milo Ventimiglia apatah lagi diminum oleh beliau. Sebaliknya ia dicipta oleh seorang rakyat Australia bernama Thomas Mayne pada 1934, zaman atuk kita kecil-kecil dahulu, atau sebelum Jepun attack Malaya. Minuman ini mula dibawa ke Malaya secara terang-terangan pada 1950, dan mendapat sambutan hangat, meskipun diminum dengan ais.

Yang menariknya, rakyat Malaysia adalah peminum Milo nombor satu dunia, dengan 90% keluaran Milo dunia disapu bersih oleh rakyat negara ini, Malaysia Boleh! Milo juga diminum di kebanyakan negara asia tenggara, selain negara-negara lain di seluruh dunia, namun rupabentuk dan tekstur Milo berlainan mengikut negara (gambar bawah).

Milo yang biasa diminum di negara ini adalah milo 'o' panas, milo panas, milo ais, milo dinosaur (milo tuang kut nama Malaysia dia) dan Neslo, iaitu campuran Nescafe dan Milo.

Milo 'o' juga adalah minuman rasmi aku selepas aku berhenti minum susu pada umur 1 atau 2 tahun. Hanya pada tingkatan empat aku kembali minum susu selepas aku masuk asrama dan belajar nikmatnya minum teh tarik.

Percayalah, minum teh tarik lagi best..

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_%28drink%29
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_Ventimiglia
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_of_Croton

Gambar: http://en.wikipedia.org
http://images.search.yahoo.com/search/images

Wednesday, May 14, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Kopi

Assalamualaikum..

Memandangkan Jaja je yang selalu jenguk dan komen blogsite aku sekarang ni, maka aku berbesar hati buat satu entri tribute untuk beliau.. KOPI!

Nanti kalau site aku dah popular cam Muz punyer, tak dapat la post menda-menda camni dah.

Kopi merupakan minuman yang ditonggang secara meluas oleh penduduk di seluruh dunia. Berjuta-juta cawan kopi telah diminum oleh manusia setiap hari. (retorik perifrasis) Kopi juga boleh dianggap sebagai salah satu minuman utama dunia, meskipun rakyat Malaysia lebih menggemari teh tarik. (Gambar bukan mamak sebenar)

Kopi yang biasa diminum biasanya dari biji Coffea canephora (aka Coffea robusta) dan Coffea arabica. Jenis arabica adalah lebih lazat dan mengghairahkan kerana kurang kafein, tetapi pohonnya lebih mudah diserang penyakit selain mahal berapi. Kebanyakan kopi yang diminum kita di dalam dunia ini adalah dari spesis robusta, dan ianya lebih pahit, harap maklum.

Mengikut hikayatnya, orang-orang Afrika atau lebih spesifik lagi, orang Ethiopia (Habsyah) merupakan bangsa pertama yang meminum kopi ini. Namun orang-orang Islam yang terlebih dahulu memperkenalkan teknik memanggang biji kopi untuk dijadikan minuman, dan ia digunapakai sebagai tekik rasmi hingga ke hari ini.

Orang-orang Islam mula meminum kopi secara meluas, menggantikan khamar (arak) yang diharamkan. Malah mengikut cerita, kopi turut diisytiharkan haram pada sementara waktu kerana ia terlalu popular, namun ditarik semula kerana didapati tiada bahan-bahan haram di dalam kopi. Ironinya, masyarakat Kristian barat pada ketika itu turut cuba mengharamkan kopi kerana dianggap "minuman orang Islam", namun ditolak oleh Pope pada ketika itu, Pope Clement VIII.

Penyediaan dan teknik memanggang biji kopi akan menentukan jenis minuman yang akan diperolehi. Lebih lama dipanggang, lebih 'halus' rasa kopinya, namun kemungkinan hilang aromanya kerana dimusnahkan oleh pendedahan terlalu lama kepada haba.

Biji kopi kemudiannya dihancurkan dan dijerang, dan teknik yang berbeza-beza menghasilkan minuman yang berlainan. Antara jenis kopi yang terhasil adalah kopi biasa dan espresso. Kopi biasa boleh ditambah gula untuk dibuat kopi 'o' atau susu untuk kopi susu. Tambah ais jadi kopi ais dan tambah tongkat ali jadi Ali Cafe. Espresso pula boleh ditambah susu panas menjadi latte, coklat sebagai mocha (gambar) atau diubah mengikut selera peminum, iaitu anda!.

Minum teh tarik lagi best.

____________________________@@@___________________________________

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Coffe

Gambar: www.flickr.com

Tuesday, May 13, 2008

Siri Aku Bosan Aku Wiki: Sicilian Defence

1. Aku bosan

2. Aku online

3. Aku baca wikipedia.

Kesimpulan: Aku tulis apa aku nak tulis.


Rajah 1: Sicilian Defence (1. e4 c5)

Sicilian Defense (1.e4 c5) adalah jawapan paling popular oleh pemain berperingkat master ke atas untuk 1. e4 dari putih. Ia dianggap "mempunyai semangat melawan, ia tak hanya menyamakan kedudukan tetapi memberi kelebihan" (GM Nunn). GM Evans pula mengatakan, "Ia gerakan hitam paling dinamik, jawapan bukan simetri kepada 1. e4, ia menghasilkan faktor-faktor psikologi dan tekanan sesuai dengan gaya permainan moden selain mewujudkan satu pertentangan sengit sebaik gerakan pertama."

Gerakan ini digunakan oleh ramai pemain-pemain terkemuka dan tersohor dalam sejarah catur, dimulakan sejak abad ke 16 lagi. Antara mereka yang diketahui menggunakan pembukaan ini adalah Capablanca, Tarrasch, Nimzowitsch, Najdorf dan ramai lagi. Namun yang menjadikan gerakan ini benar-benar popular tidak lain tidak bukan adalah juara dunia, Bobby Fischer dan Gary Kasparov. Mereka ini menjadikan Sicilian Defence sebagai tanda niaga masing-masing dan acapkali mencatatkan kejayaan cemerlang dengannya.

Jawapan terbaik putih adalah Open Sicilian (2.Nf3). Digunakan dalam 75% perlawanan, ia biasanya akan menuruti langkah ini:

2. ... d6 3.d4 cxd4 4.Nxd4 Nf6 5.Nc3

Gerakan hitam seterusnya melahirkan pelbagai variasi. Antaranya:

1. Variasi Najdorf

Jawapan paling popular dalam sistem ini. Hitam menjawab dengan 5. ... a6, dengan ... e5 dalam perancangan gerakan seterusnya untuk menguasai petak tengah. Ia juga menghalang syah oleh menteri putih dan gerakan kuda di petak b5.


2. Variasi Klasik

Kuda hitam dikeluarkan dan diletak di posisinya yang paling neutral. Namun putih sedia menjawab dengan 6. Bg5, yang dikenali sebagai Serangan Richter-Rauzer yang mengancam pertindihan bidak hitam jika 7. Bxf6 gxf6. Putih juga akan meneruskan dengan Qd2 dan O-O-O untuk kelebihan posisi.

3. Variasi Dragon

Hitam menjawab dengan fianchetto menteri pada serongan h8-a1. Ia bisa sahaja dijawab putih dengan Serangan Yugoslav (6.Be3 Bg7 7.f3 0-0 8.Qd2 Nc6) dengan permainan biasanya akan menjadi sengit dengan kastling dari arah berlawanan dan putih akan menyerang dari belah raja manakala dibalas hitam dari sebelah ratu.


Masih terdapat banyak lagi variasi kepada pembukaan Sicilian Defence ini. Namun yang pasti, pembukaan ini sentiasa sahaja membawa kepada pertarungan yang sengit, di mana banyak buah ditukarkan serta berlakunya perebutan petak-petak strategik dan utama.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Sicilian_defense dan http://www.chessgames.com