Friday, October 31, 2008

Ini Bukan Cerita Pendek (memang bukan cerita pendek)


Assalamualaikum..

Sebagai seorang pemain catur yang takzim, salah satu perkara yang paling tak boleh blah adalah menjadi mudah diduga (predictable). Apabila itu berlaku, pemain lawan akan dengan mudahnya bersedia untuk mempersiapkan diri menghadapi apa-apa serangan yang akan aku lakukan. Gerakan akan dipintas dan akhirnya aku akan dikalahkan. 0-1.

Begitu juga jika menjadi seorang penulis. Menulis sesuatu yang bisa diduga semua menjadikan cerita yang ditulis mirip penulisan akademik dengan mengantisipasikan logik dan mantik, mengenepikan kreativiti dan imaginasi.

Dalam beberapa penulisan aku yang lepas, aku pernah menulis cerita yang dapat diduga semua dari awal (taulah sendiri cerita apa). Dengan kata yang lain, menamatkan cerita tersebut akan membuatkan semua pembaca akan mengisytiharkan: 'aku dah agak dah!'

Imbas kembali. Dalam penulisan tersebut, ayat pertama aku adalah:

'Pandi merengus. Manusia-manusia durjana yang mengurungnya...' yang sekaligus mendatangkan klu atau bayangan yang cukup mudah untuk ditaakul.

Rengus dan manusia durjana melambangkan pelakunya atau watak tersebut bukanlah manusia. Cuba jika aku tukar ayat tersebut supaya berbunyi begini..

'Pandi menitiskan air mata. Rakan-rakan yang selama ini dipercayai telah mengkhianatinya..' akan kelihatan lebih manusiawi dan mungkin akan menyebabkan mereka yang kurang bersedia memiliki pemahaman berbeza.

Dengan kata lain, menjadi penulis tidak semestinya mementingkan apa yang hendak disampaikan, tetapi barangkali cara atau teknik penyampaian menjadi penentu keberkesanan penulis membuatkan pembaca kekal kagum dengan mistikus dari penulis dalam penulisannya.

Contoh filem pula. Seingat aku, filem 'Sepet' sering dianggap orang antara filem yang baik. Padahal filem itu, secara dasarnya, sama sahaja dengan filem Sembilu 2005. Isunya tentang percintaan antara 2 bangsa berlainan. Cuma satu menggunakan pendekatan Yasmin Ahmad dan satu lagi Yusuf Haslam. Ada sesiapa yang kata filem Sembilu 2005 best?

Bayangkan filem Duyung jika dibikin penuh dengan unsur mistik. Mungkin dengan kerajaan dasar laut, atau si duyung bertutur bahasa Sanskrit atau bahasa Indo-Aryan purba lain. Mungkin juga jika antagonisnya bukan manusia biasa, tetapi naga (dalam budaya melayu naga adalah makhluk air) dan lain-lain. Mungkin kita akan ada sebuah filem yang setanding dengan filem fantasi barat seperti LOTR , Pan's Labyrinth dan lain-lain.

Kos? Itu bukan bidang aku. Sebagai penulis, yang aku idamkan hanyalah sebuah cerita yang memukau khalayaknya.

Thursday, October 30, 2008

Demi Adi (Satu lagi cerita kontot)


"Abang! Abang!" Seorang kanak-kanak seumur 9 tahun tercungap-cungap berlari ke arahku.

Aku yang sedang enak mengulum biji rambutan hampir tergolek dari pangkin. Terkejut.

"Adi bang! Adi!" Suara budak itu. Kamarul namanya.

Biji rambutan kuludah ke tepi. Wajahku berubah kaget.

"Kenapa dengan Adi?!" Aku bingkas bangun dan menyarung selipar yang tergeletak di bawah pangkin.

Kamarul menarik tanganku. Aku turut.

"Adi lemas bang! Kat tali air nun!" Tunjuk ke kanan.

Wajahku berubah menjadi hangat. Telinga bertukar panas. Darah naik ke muka, sentap ke kepala.

"Ya Allah, selamatkanlah adikku Adi!" Hati pasrah memanjatkan doa. Kakiku pula bagai pelari seratus meter laju berlari. Kamarul aku tinggalkan ke belakang. Tak guna menunggu anak kecil itu. Biar aku yang selamatkan Adi.

"Beritahu orang kampung lain!" Sebelum terlupa aku pekik kuat ke arah Kamarul. Dia menghilang dari pandangan. Larian pecut aku teruskan.

* * *

Adi anak bongsu. Aku anak sulung. Selepas aku dan sebelum Adi ada lagi seorang lelaki dan seorang perempuan.

"Along, Adi nak keluar main dengan kawan-kawan!"

"Gi le, maleh aku nak jaga kau kat rumah ni ha!"

Ayat terakhir aku pada Adi. Serta-merta rasa segunung sesal bagai menghempap diriku. Tiba-tiba aku marah pada diri sendiri kerana biarkan Adi keluar. Rasa marah kerana cuti sekolah sebabkan budak-budak selalu bermain benda-benda yang merbahaya. Marah pada mak ayah yang percaya sangat pada aku untuk menjaga Adi. Semuanya salah!

Adi sesuai dengan fitrahnya sebagai budak-budak memang suka keluar bermain.

Aku sesuai dengan fitrahku sebagai remaja memang malas memikul tanggungjawab.

Cuti sekolah sesuai dengan fitrahnya sebagai masa rehat memang masa budak-budak bermain.

Mak ayah sesuai dengan fitrah mereka sebagai ibu bapa memang perlu keluar bekerja.

* * *

Tali air sudah nampak di mata. Aku terus lari pecut. Jarak tali air dari pangkin rumah lebih kurang 300 meter. Dalam masa 25 saat aku sudah memecahkan rekod dunia larian 300 meter. Cuma tidak ada acara lari pecut 300 meter dalam dunia ini.

Aku terus terjun dalam air. Kawan-kawan Adi hanya melihat dari tepi. Yang paling kecil Buyung umurnya 5 tahun. Yang paling tua Fahmi 11 tahun. Aku tak cam yang lain. Tak sempat. Yang sempat aku ingat adalah seorang dua budak-budak yang menunjuk ke dalam tali air, menjerit-jerit perkataan 'lemas', 'Adi' dan 'tolong'.

Dari muka ke dasar aku menyelam. Aku mesti cari Adi. Aku tak dapat bayangkan hancurnya hati mak kalau Adi mati lemas.

Kali pertama aku menyelam aku tak jumpa apa-apa. Air gelap dan pekat. Hujan semalam mengeruhkan lagi air di tali air yang lebih kurang 7 kaki dalamnya. Hatiku menyumpah-nyumpah kenaifan kanak-kanak kecil mandi di tali air yang sedalam ini.

Kali kedua aku tarik nafas dulu dalam-dalam sebelum menyelam. Mata aku beliakkan besar-besar meskipun air keruh membuatkan jarak penglihatan menjadi sifar. Kakiku mula kejang.

Kali ketiga aku hanya tawakkal meraba dengan tangan. Adi mesti aku keluarkan meskipun dia hanya tinggal jasad. Aku nekad meraba macam orang gila dalam bas. Bezanya kalau atas bas aku akan mati dipukul.

Tubuh seseorang tergapai oleh tangan kiriku. Aku raba-raba lagi sehingga ketemu tangannya. Sah ini Adi! Aku tarik sekuat tenaga berperang dengan selut yang memerangkap kaki Adi. Aku yakin jika aku adalah ibu atau kakak pada Adi pun aku akan guna seluruh tenaga juga. Bezanya mungkin aku akan gagal.

Adi mula lolos dari perangkap selut dasar tali air. Aku tarik Adi hingga ke permukaan. Orang kampung yang sudah tiba rata-ratanya hanya merenung air dari pinggiran. Menenung tuan puteri agaknya.

"Tu budaknya!" Jerit seorang dari mereka. Adi dinaikkan. Aku terkial-kial naik sama. Adi dimasukkan dalam ambulans yang sedia menunggu. Cepat pula mereka sampai. Aku naik sekali menumpang ke hospital.

* * *

Di hospital mak dan ayah terpa Adi. Aku hanya terkocoh-kocoh mengikut dari belakang. Selain berdoa agar Adi sembuh aku juga berharap mak dan ayah tak salahkan aku. Baju dan seluar basah tambah mendinginkan apabila terasa penghawa dingin hospital. Kecut segala benda.

Adi disorong ke dalam bilik kecemasan. Mak meraung macam Adi dah tak ada. Ayah bersungguh-sungguh menenangkan mak.

"Anak kita bang," mak tersedu-sedan menangis. Aku tak sanggup tengok dan takut dipersalahkan jadi punca Adi lemas. Aku duduk agak jauh dari mak dan ayah. Nak dekat takut kena marah, nak lari aku bimbangkan Adi. Beberapa pesakit hospital hanya tenung aku. Mungkin sebab aku kacak dan mungkin sebab aku basah. Aku tertunduk-tunduk gementar. Terketar-ketar kesejukan.

Lepas 15 minit doktor keluar. Ayah yang terlebih dahulu menerpanya. Ayah mengangguk-angguk dengar kata doktor. Mak masih menangis.

Seorang polis pula menghampiri ayah. Mungkin ambil keterangan dari ayah. Ayah ikut encik polis menghilang dari sebalik pintu. Adi pula disorong keluar dengan katil dari bilik kecemasan dengan tiub bersilang ke seluruh anggota badan. Mak terpa dan iringi Adi. Aku ikut cepat-cepat hendak melihat Adi.

Syukurlah, Adi dah sedar. Dia senyum memandangku tetapi masih terlalu lemah untuk berkata-kata. Aku bersyukur ke hadrat ilahi dengan sesyukur-syukurnya.

Adi dimasukkan pula ke dalam unit rawatan rapi. Aku dan mak tak boleh masuk. Sedang kami terintai-intaikan Adi dari kaca tingkap bilik ICU itu ayah datang.

"Dah jumpa dah." Kata ayah. Mak menangis kembali. Kali ini lebih sedih dari tadi. Ayah peluk bahu mak dan iringi mak pergi dari situ. Aku yang kehairanan menurut sahaja.

*` * *

Setelah turun lif tiga tingkat ke bawah, mak dan ayah diiringi seorang pegawai hospital masuk ke sebuah bilik. Mungkin untuk buat urusan insurans agaknya.

Yang peliknya bilik ini penuh dengan pintu besi. Ada dua katil dengan satu kosong dan satu lagi ada jasad yang terbujur kaku.

Mak rebah. Ayah yang tabah pun terhinggut-hinggut menangis. Aku hampiri mereka. Tahulah aku kini,rupanya jenazah aku yang terbaring di atas katil itu . Tak mengapalah mak, ayah. Semuanya demi Adi.

p/s: inspirasi: filem sepi, the others, siapa di dalam aku di luar!! dan lan-lain tq..

Monday, October 27, 2008

Hujan Menggila Di Hentian Bas SS5 (Cerita Pendek)


Hujan renyai-renyai. Sesudah mengelak beberapa lopak yang memercik dilanggar kereta, berteduh juga aku akhirnya di bawah hentian bas ini. Hentian separuh roboh separuh rebeh ini sunyi dan sepi, sesepi fitrah alam yang sudahpun mencecah jam 10 malam waktu setempat.

Selepas mengibaskan kebasahan dari pakaian dan beg galas yang aku bawa, aku duduk melepas lelah sambil meninjau bas yang seterusnya. Bas terakhir. Bas nombor 66A.

Tiba-tiba hujan jadi menggila. Mahu atau tidak tempiasnya menerjah juga ke tubuh aku. Sekali lagi beg galas dijadikan payung ganti menahan tubuh kerdil dari dijirus langit hitam pekat. Dingin malam turut menjadi raksasa halimunan yang menggigit tubuh dengan sejuknya hingga ke tulang sumsum.

Dari kepekatan alam tiba-tiba timbul sesusuk tubuh manusia menghampiri hentian bas yang terpencil ini dari jauh. Aku amati tenang. Seorang gadis awal 20-an kelihatan berlari-lari mengulangi perbuatan aku seawal tadi, cuma dengan tempo lebih siaga dan terdesak. Dia agak kaget melihat aku yang duduk di situ, mungkin segan, mungkin takut. Aku angguk ramah sebelum terhampa dengan si gadis yang pantas mengabaikan sapaan aku. Mungkin sombong, mungkin bimbang.

Dari jadual bas yang kuhafal dalam kepala, bas seterusnya hanya akan tiba lima belas minit lagi. Jika selama itu juga hujan terus menembak kami, aku yakin frasa 'tangkap basah' akan menjadi lebih tepat; itupun jika ada penguatkuasa jabatan agama memandai-mandai menjalankan operasi ke seluruh hentian bas serata negeri.

Seperti skrip drama, hujan reda kembali setelah si gadis betul-betul basah. Blaus yang dipakainya cuba menyerlahkan sesuatu, tetapi sebagai lelaki budiman adalah lebih mulia untuk aku tidak melihat. Maka aku tidak melihat. Lagipun terlalu mudah kekantulan jika aku melihat. Maka aku tidak melihat.

Suratkhabar di dalam beg aku keluarkan. Bukan surat khabar hari ini atau semalam. Sebaliknya suratkhabar seminggu lepas. Tidaklah jelas sangat huruf-hurufnya di dalam gelap malam sebegini tetapi dari hanya berdiam diri merenung si gadis lebih baik aku berbuat sesuatu. Samada pura-pura atau tidak.

Beberapa halaman hadapan yang memuatkan berita politik dan kepartian aku langkau untuk terus membaca berita dalam negeri.
Berita bunuh, rogol, buang bayi dan lain-lain marba kejinya manusia kubaca dan teliti satu-satu, bersuluhkan lampu jalan yang menerangi jalan, bukannya hentian bas. Semuanya pura-pura.

"Hello, abang?" Terdengar suara si gadis. Sekilas aku pandang ke arahnya. Rupanya dia sedang berbual di dalam telefon. Aku yang nyaris teruja dengan bibit perkenalan kembali membaca akhbar. Dalam hati menyumpah akibat malu terpedaya dengan kata mesra semurah 'abang'. Perkataan magis yang sering menjerat hati nurani lelaki.

Ayat-ayat seterusnya yang kutangkap tidak jelas, tetapi nada pathosnya lebih menjurus kepada pertelingkahan antara sepasang kekasih. 'Awak pentingkan diri', 'Minta tolong pun tak boleh', 'Tak kesian kat ling', 'Sibuk sangat dengan kerja' dan ayat-ayat merajuk lain terdengar di telinga. Rumusannya adalah si 'abang' tidak dapat datang mengambil kekasihnya di sini kerana sibuk dengan kerja. Pukul 10.07 malam. Ditambah pula dengan ayat pertengkaran seperti 'sudahlah!' dan 'go to hell!' turut menyebabkan aku yang pura-pura membaca akhbar (dalam gelap) terus membaca lagi.

"Dik, sabar, duduk dulu. Janganlah marah-marah macam ni." Nasihat aku. Si gadis yang sudah menamatkan panggilan sedang bersms pula tanpa menjawab. Kalau dia menjawab maknanya dia ada telepati sebab aku hanya menasihat dalam hati.

Aku terus membaca. Mataku menangkap berita rogol dan bunuh yang separuh terang dan separuh gelap dalam akhbar itu.

'Culik, Rogol dan Bunuh Di Hentian Bas'. Tulis berita itu. Entah sebab apa aku tertarik membaca berita seminggu sudah itu. Lampu telefon bimbit aku jadikan panduan.

'Petaling Jaya-20 Oktober. Mayat seorang eksekutif muda, Tia Azini, 23 tahun, yang dilaporkan hilang ketika sedang menunggu bas ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam semak tidak jauh dari hentian bas tempat dia dilaporkan hilang. Polis mempercayai mangsa telah dipengsankan dan kemudiannya dibawa ke semak tersebut sebelum dirogol dan dibunuh. Menurut teman lelakinya, dia diminta oleh mangsa untuk mengambilnya di hentian bas tersebut kerana mangsa terlepas bas terakhir pada pukul 10.30 malam, namun apabila tiba sejam kemudian, dia tidak menemui mangsa di hentian bas SS5, Kelana Jaya seperti yang dijanjikan. Panggilan telefon juga tidak berjawab. Selepas membuat laporan polis, polis melakukan operasi mencari di sekitar kawasan tersebut dan menemui mayat Tia dalam keadaan separuh berpakaian. Polis kini giat memburu suspek, seorang lelaki disyaki warga tempatan berusia pertengahan 20-an. Mereka yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian 03-78787878.'

Gambar Tia jelas terpampang di akhbar. Aku teliti wajahnya dan dalam hati sayu mengenangkan gadis secantik itu bagai disumpah dengan nasib sebegitu malang. Wajah lakaran photofit suspek turut disediakan. Iras-iras muka aku pun ada, aku ketawa kecil dalam hati.

SS5 Kelana Jaya? Tak syak lagi, inilah hentiannya. Semak tempat gadis itu dibunuh pun masih boleh dilihat dari sini, meskipun kawasannya jauh lebih gelap, kelam dan menyeramkan. Ma

Nanti dulu. Serasa aku pernah kulihat gadis di dalam akhbar itu tadi. Seperti baru sahaja aku jumpa, tapi di mana ya?

Mataku menangkap gadis yang sedang bersms di hadapanku. Ku rujuk silang dengan gambar di dalam akhbar. Matanya sama tajam, bibirnya sama juih Angelina Jolie, malah gaya rambutnya pun seiras ikalnya panjang ke bahu. Ini bukan seiras, ini betul-betul serupa!

Aku telan air liur. Wajahku mula berpeluh dingin. Bulu roma di leher pun sudah meremang. Aku pandang sekeliling, hanya aku dan perempuan itu sahaja yang ada di hentian bas tersebut.

Aku telan air liur lagi. Surat khabar aku lipat dan masuk ke dalam beg. Aku mesti pantas bertindak sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku.

Sebelum bas 66A sampai, sebelum teman lelaki gadis ini datang, sebelum polis meronda, aku mesti puaskan nafsu aku.

Aku keluarkan klorofom dan dekati perempuan itu perlahan-lahan.

~Fin~

Monday, October 20, 2008

Apa yang saya pelajari semester ini?

Screenwriting: Shah suka menggunakan nama iblis di dalam skrip karyanya, sesuai dengan buku-buku kultus yang dibaca beliau. Cerita Muz pulak memang bes. Aku dan Shazwan tak terlibat pun.


Storyboarding: Pernah wujud ke subjek ni? Storyboard tu apa? Lukisan perspektif ada la. Siapa pensyarah dia? Entah macam pernah jumpa beberapa semes yang lepas.

Ensemble IV: (Nyanyi ramai-ramai) Tatatatata! Jarang sekali terdengar bunyi, ketukan di pintu hatiku ini.. Lagi satu Shah ada kuasa suruh polis jaga pantai ramai-ramai. You cannot fool a student!

Asas Menterjemah: Orang kedua yang akan keluar dulu selepas siap latihan selain aku adalah... kid..

Skrip Radio: Pensyarah adalah contoh terbaik kenapa orang jarang dengar stesen radio RTM. Lagu instrumental pula haram mempunyai penyanyi.

Retorik: Tema terfokus adalah.... Tusuuuuuk Jelangkung!! (Aksi! Aksi!). Sambil melihat ke arah Gayatri.

Laras Bahasa: Laras bahasa kelas adalah.. Tusuuuuuk Jelangkung!! (pakai baju kaler merah). Boleh dijadikan skrip komedi.

PBSM 2: Kelas PBSM 1 - majoriti budak part 4. Kelas PBSM 2 - majoriti budak part 3. Kelas PBSM 3 - majoriti akan repeat.

Sunday, October 19, 2008

Mereka Yang Melayu Itu..


Mereka itu..
Kononnya berdarah arab keturunan nabi..
Hindu buddha asalnya kini hadhari..
Mengaku tuan pemilik negeri..

Mereka itu..
Mencekak pinggang hina yang lainnya..
Kaum dagang kaum hamba..
Sekadar menumpang jangan berlama..

Mereka itu..
Hanya menjaga kerabat sendiri..
Yang binnya sama pangkalnya Kutty..
Asalkan kaya handai dan kroni..

Mereka itu..
Kini bercakar sesama mereka..
Sama sedulang merebut kuasa..
Mengangkat tangan jadi ketua..

Mereka itu..
Sama sahaja dengan yang lainnya..
Dari apa kaum pun dan apa bangsa..
Hanya sendiri perasan mulia..

Friday, October 17, 2008

Pandi Kau Direject Milah Tak Boleh Blah (cite pendek)

Pandi merengus. Manusia-manusia durjana yang mengurungnya menoleh sebentar ke arahnya. Kemudian mereka acuh tak acuh kembali dengan dunia masing-masing.

"Wei, kenapa kamu kurung aku?"

Lokman yang dikenalinya menoleh sebentar.

"Sabar ye Di. Kejap lagi makanan kau sampai."

"Aku bukan nak makan! Aku nak bebas! Nak jenguk tempat tinggal aku!" Jawab Pandi keras.

Lokman buat bodoh. Rokok Surya kembali ke bibirnya. Asap beracun disembur sebelum hilang disapu angin.

"Lokman, dia panggil kau tu!" Kawan-kawan Lokman mengusik dan kemudian terkekeh-kekeh ketawa.

Pandi cuba meronta. Temali yang melilitnya benar-benar membakar kulit. Melepuh dan menyeksakan. Nyamuk yang menggigit pedih cuba dihalaunya, tetapi apalah dayanya dalam kurungan ini.

Tidak sepedih hatinya. Hati yang dikhianati. Sudahlah cintanya pada Milah tidak berbalas. Dia diikat dan dikurung. Dimalukan bagai insan tak beribu tidak berayah. Memang pun.

Arwah ibunya dulu pernah berpesan. Orang-orang kampung akan melayannya seperti mana mereka melayan keluarganya. Entah kerana dosa apa, fitnah dasyhat yang bagaimana, bapanya dulu turut dikurung sebelum dibunuh kejam. Bukan oleh orang lain, orang-orang kampung ini juga.

Ibunya menyusul tak lama kemudian. Sudahlah hukumannya tidak berbela, matinya juga tidak berkubur. Hingga ke hari ini dia tidak tahu mana kubur ayah ibunya.

Milah atau Bahar yang hasut orang kampung? Hati kecilnya tertanya.

Masih jelas di ingatannya, gadis itu mula dikenalinya ketika dia mula belajar mencari rezeki. Apalah yang ada padanya, tidak seperti Bahar yang dikenali jaguh kampung. Atau Deraman yang sering menjadi rebutan. Ke hulu ke hilir dia dijemput datang. Ke mana dia pergi, kaum wanita melonjak gembira. Anak isteri sudah bersusun pun tetap digilai ramai. Tidak sepertinya, sudahlah hidup bergelandangan, kadang-kadang dituduh gila atau membawa penyakit berjangkit. Kalau terserempak budak-budak balik mengaji, ada juga yang nakal mencemuhnya dengan pelbagai nama. Bodoh macam lembu kata mereka.

Yang paling mengecewakannya, Milah menolak cintanya bulat-bulat. Bahar yang terlebih dahulu berjaya memenangi cintanya telah menghambatnya keliling kampung, lantas dibelasah dan dimalukan. Kawan-kawan Bahar hanya mentertawakannya, malah Milah pun hanya tersenyum sinis. Menghina. Cukup hina!

Lokman kawannya ini pun turut mengkhianatinya. Dahulu Lokman selalu membelanjanya makan. Mungkin tanda kasihan atau mungkin juga tanda simpati. Kini Lokman agaknya turut dihasut kata-kata orang kampung. Akibatnya dia kini dikurung dan diikat macam binatang.

"Lokman, lepaskanlah aku!" Pinta Pandi apabila Lokman ditinggalkan seorang oleh rakan-rakannya. Kata-kata rayuan mula berubah menjadi kasar dan keras, sebelum menjadi lembut semula bila dia kehabisan tenaga.

Lokman memandangnya. Kemudian dia toleh kiri dan kanan sebelum maju setapak ke arah Pandi.

"Di," Lokman panggil. Pandi berjalan lambat-lambat. Dia sendiri tidak tahu sama ada Lokman boleh dipercayai atau tidak. Cuma sewaktu orang kampung mengikatnya dahulu, Lokman tidak terlibat. Mungkin Lokman sebenarnya terpaksa menurut kata orang-orang yang lebih berkuasa?

Lokman menepuk-nepuk bahunya dan menghulurkan makanan. Pandi sudah kelaparan. Dia tidak mampu menolak dan menjamah rakus. Macam haiwan. Lokman senyum dan terus menepuk-nepuk bahunya. Pandi cuba senyum tetapi seumur hidupnya yang penuh duka ini, tak pernah dia senyum walaupun sekali. Hanya air mata yang biasa menggenangi matanya.

Baru selesai dia menghabiskan makanannya, orang-orang kampung mula menjelma. Mula-mula seorang dua, kemudian bertambah menjadi ramai. Ada yang bawa anak isteri. Ada ibu yang siap menggendong bayi. Ada kanak-kanak berkonvoi naik basikal. Pandi kaget, mula berundur ke belakang mencari tempat bersembunyi, sebelum tali menghalang pergerakannya. Dia tahu nasibnya akan jadi lebih buruk selepas ini.

"Bunuh dia! Potong leher dia!" Seorang budak nakal bersuara. Tok ketua yang sudah ke hadapan kerut dahi suruh dia diam. Budak itu tersipu-sipu malu ditegur. Seorang makcik mungkin ibunya menyambung marah. Beberapa penduduk kampung ketawa. Macam pergi pesta.

Baru sahaja Pandi mula bersangka baik pada Tok Ketua, orang tua itu mengarahkan agar dia diseret keluar. Pandi cuba meronta tetapi apalah tenaganya berbanding dengan penduduk kampung. Dia merayu-rayu meminta simpati tetapi siapa yang sudi menghulurkannya? Adakah benda percuma dalam dunia ini?

Setelah bertempur tenaga Pandi berjaya dibaringkan. Dia menutup mata tidak sanggup melihat hukuman yang bakal dihadapinya. Dia pasrah.

Orang kampung mula bertakbir. Besi dingin mula mampir ke urat tengkoknya. Beberapa minit kemudian Pandi tidak bernyawa lagi. Selepas tubuhnya kaku dagingnya mula dilapah, dibungkus dan diagih-agihkan kepada fakir miskin. Seperti ayah dan ibunya, Pandi juga menjadi korban Hari Raya AidilAdha.

Monday, October 13, 2008

Mari Menderma Dara(h)..

Assalamualaikum..

Sabtu lepas selepas selesai menjalankan ujian amali PBX-Men, dan ketika aku sedang berkira-kira untuk pulang ke rumah, aku telah diserempaki dengan poster menderma darah di laman yang berkenaan. Lantas, aku pun mengambil keputusan impulsif untuk menjadi penderma semula. Kali kelima.

Sayang sekali awek yang menderma selepas aku muntah-muntah, jika tidak pasti sudah timbul bibit-bibit perkenalan yang mampu dibawa ke jinjang pelamin. Sudahlah aku fobia darah, nampak orang muntah pulak rasa nak muntah sekali. Jadi aku cabut. Hot chick can wait.

Namun itu bukan nawaitu penulisan. Yang aku nak kongsi dengan semua adalah aku sebenarnya berdarah AB, atau lebih dikenali dengan 'si kedekut' dalam bidang menderma darah.

Berbeza dengan darah O yang boleh diderma kepada sesiapa sahaja, darah A dan B yang boleh diderma kepada si darah AB, darah aku pula gembira menerima semua tetapi tidak boleh diberi. Dengan kata lain darah aku seolah-olah darah eksklusif yang membawa tulah kepada penerima tidak sekufu.

Maka kenapa menderma?

Kerana meskipun darah AB tidak bergizi untuk diderma kepada pesakit, hal sebaliknya pula pada plasma darah, platlet dan lain-lain. Darah AB pula sebaliknya yang menjadi penderma agung yang sesuai digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Jadi, tak rugi la kan?

Dermalah darah. Anda mampu mengubahnya.

P/S: Kamon la Muz..

Saturday, October 11, 2008

Siapa Di Dalam, Aku Di Luar!!! (sa-buah cherita pendek)


Pak Leh menelan air liur. Bulan mengambang di atas kepala di dongaknya sekali lagi. Dari celah gemawan cahaya redupnya mencukupi sebagai lampu alam, menerangi malam yang tentu tanpanya akan menjadi gelap-gelita. Tersentuh hatinya sebentar betapa indahnya hidup manusia di atas muka bumi ini.

Namun perasaan takzim yang sebentar menjengah itu hilang semula apabila rumah kayu usang itu jatuh semula pada pandangan matanya. Rumah yang hanya layak didiami puaka itu agak gelap dari luar, namun cahaya malap dari dalam tembus juga menjenguk dari sela-sela dinding kayu.

Pak Leh kenal Mat Taha yang duduk di rumah itu. Sungguhpun mereka tidaklah rapat sangat, apatah lagi Mat Taha dan rumah buruknya ini terpencil dan terperosok di ceruk kampung, sekurang-kurangnya pernah juga mereka bertegur sapa. Akhir sekali ketika Mat Taha datang ke kenduri di rumahnya beberapa hari lepas.

Cuma setahunya Mat Taha selalunya tiada di rumah, biasanya ke pekan atau kampung-kampung sebelah mencari pekerjaan. Hidupnya seorang diri dan sebatang kara, terutamanya selepas arwah bapanya meninggal dua bulan lepas. Arwah Tok Man bomoh hebat, kata orang kampung. Banyak juga yang dibelanya. Sekali-sekala mengikut gossip setempat nampak juga lembaga seakan-akan Tok Man membetulkan tiang rumah waktu senja. Kata oranglah.

Pak Leh telan air liur sekali lagi. Perutnya yang memulas-mulas memaksanya membuat keputusan drastik. Dia boleh meninja di tepi jalan bagai manusia gelandangan, atau lebih manusiawinya menumpang jamban di belakang rumah Mat Taha. Cuma, jika rumah Mat Taha layak diduduki puaka, maka jambannya pula layak diduduki ifrit. Dilema itulah yang bermain di fikirannya. Serasanya kurang sopan memanggil Mat Taha semata-mata untuk meminta kebenaran berjamban. Namun lebih kurang sopan lagi jika dia mencuri-curi mencebuk tanpa lafaz halal bi halal dari tuan rumah.

Pak Leh pandang keliling. Rumah terdekat pun hampir 300 meter jauhnya dari rumah itu. Pak Leh tak rela najisnya menaburi persisiran jalan semata-mata kerana dia takut memberi salam. Perlahan-lahan dia merapati rumah itu melalui denai kecil yang lebih rimbun ditutupi dedaun pokok. Cahaya bulan yang tembus digunakan sebaik mungkin agar dia tidak tersadung, atau lebih buruk lagi, terjerumus ke dalam lopak.

Pak Lah merapati dinding bahagian sisi rumah Mat Taha. Cahaya lampu dari dalam rumah terlalu malap untuk dijadikan panduan. Malah mungkin juga cahaya itu hanyalah cahaya bulan yang terbias semula ke arahnya. Lama Pak Leh berperang dengan perasaannya sama ada untuk memberi salam atau tidak.

Dimajukan lagi langkahnya menuju ke belakang rumah. Biasanya di kampung-kampung pintu dapur lebih mesra tetamu berbanding pintu hadapan. Dimajukan lagi jalannya ke belakang, tetapi masih berhati-hati melangkah agar tidak mengejutkan sesiapa.

Pintu dapur rumah Mat Taha masih lagi terlindung dari pandangannya. Akan tetapi terdengar jelas di telinga Pak Leh bunyi pintu terbuka. Baru hendak dipandangnya ke arah itu, tertangkap di mata Pak Leh sekilas kelibat lembaga keluar dari pintu dapur dan menghilang ke sebalik rimbun di belakang rumah. Dalam terkejutnya Pak Leh dengan situasi tersebut, dia masih pantas berfikir dan segera menurut jejak lembaga tadi.

Langkah pantasnya terhenti apabila dia sampai ke jamban di belakang rumah Mat Taha. Dilihatnya cahaya lilin yang malap menyala dari dalam jamban tersebut. Berkerut dari Pak Leh menimbang-nimbang. Mungkin lembaga tadi sebenarnya Mat Taha yang turut ingin membuang air? Atau makhluk lain yang sengaja ingin menduga keberaniannya? Akhirnya setelah berfikir seketika, perut Pak Leh yang bingkas membuat keputusan.

"Taha, ini aku, Saleh. Kalau kau kat dalam tu cepat la sikit, aku sakit perut dah tak tahan ni!"

Senyap. Pak Leh telan air liur.

"Taha, kau ke kat dalam tu! Betul, ni aku Saleh. Jangan takutkan aku Taha. Aku nak tumpang jamban kau je! Cepat sikit!"

Senyap juga. Pak Leh mula geram.

"Yalah, Taha! Aku pergi tempat lain je! Jamban buruk pun nak berkira ke!" Pak Leh terus berlalu marah-marah sambil memegang perutnya.

Di dalam jamban, Mat Taha sudah menggigil-gigil ketakutan dan berpeluh dingin. Mana tidak, kali terakhir mereka bertemu adalah pada kenduri tahlil arwah Pak Leh yang dihadirinya tiga hari lepas.
____________________________________________________________________

Inspirasi: M. Night Shyamalan

Friday, October 03, 2008

Selamat..

Selamat Hari Raya?

Maaf Zahir Batin?