Tuesday, April 08, 2008

Aku penulis, bukan sasterawan!



Assalamualaikum w.b.t

Sewaktu aku masih kecil-kecil lagi, (darjah empat jika benar layanan memori aku) aku sudah mula menulis. Nota-nota kecil yang kukirim ke meja guru lebih merupakan bentakan-bentakan dari anak kecil yang tertanya-tanya. Nama cikgu itupun sudah kulupai, tetapi yang masih diingati, Ujang dengan karyanya Jibam benar-benar berbekas pada ketika itu. (Jangan tak percaya, darjah 3 aku sudahpun khatam buku Bukit Kepong, meski dengan versi berbeza. Turut dibaca biografi Kanang anak Langkau dan Brittannia Encyclopedia dengan kulit tebal warna merah.)

Kartunis Aie dengan siri 'Blues untuk Aku' dengan kaedah monolog dalam pembawaan naratif juga bagai satu pembuka mata buat semua. Pada waktu itu, siapa tak baca Ujang? Siapa tak kenal Aie? Sapa tak tengok Usop Sontorian?

Novela pertama aku siap ditulis pada darjah empat. Cerita merapik sekumpulan budak-budak bermain bola ala Kickers (satu lagi cerita kegilaan kanak-kanak Malaysia pada ketika itu) lebih merupakan satu upacara bercukur jambul berbanding upacara berkhatan atau khatam Quran.

Menulis adalah kegilaan aku.

Di sebalik cita-cita remeh kanak-kanak yang biasa dibaca di mana-mana kad laporan (cita-cita aku askar, pemain bola, saintis, sebelum tiba-tiba teringin menjadi peguam), jauh di lubuk hati aku hanya mahu menjadi pencerita yang baik.

Darjah lima dan enam adalah zaman kegemilangan aku dalam penulisan kreatif. Sesuai dengan kehendak subjek UPSR, hampir seminggu sekali aku akan menulis 'karangan terbaik' di dalam kelas.

Sedang aku berjalan-jalan menghirup udara di taman, tiba-tiba... (sambung karangan dengan tidak melebihi 250 patah perkataan) adalah soalan kegemaran aku. Dalam peperiksaan UPSR karangan berkaitan dengan pendaratan UFO menjadi pilihan aku menjawab soalan 'Pengalaman Aneh Yang Pernah Dilalui'.

Sedari kecil aku sudah gemar menggunakan kaedah 'plot twist' dek kerana bosan dengan cerita-cerita dongengan seperti Cinderella dan Snow White yang acapkali dibacakan ibuku. Apa perlunya protagonis menang dan antagonis kalah? Apa perlunya mangsa memaafkan mereka yang menzaliminya? Kalau semua seronok dan bahagia di dunia, apa guna syurga dan neraka? Kalau minta maaf berguna, buat apa ada polis?

Malam PRU ke-10, aku habiskan dengan membaca novel Inggeris pertama, Master of Murder dari novelis remaja Christopher Pike. Aku yang tersangkut-sangkut memahami Bahasa Inggeris
turun naik dari bilik ke ruang tamu menanyakan maksud perkataan dari ibuku yang sibuk menonton keputusan pilihanraya. Kalau beliau sibuk, kamus aku gunakan seefektif mungkin. Menurut sesetengah pemerhati, pada malam inilah aku benar-benar mula belajar Bahasa Inggeris.

Hadiah baucer dari pihak sekolah atas keputusan UPSR aku gunakan untuk membeli novel-novel Christopher Pike. Bury Me Deep, Remember Me, Die Softly dan The Last Vampire memperkenalkan aku kepada genre-genre thriller dan seram.

Dunia komik pula mengajar aku genre aksi dan pertarungan. Komik Juara Wira, Raja Rimba, Alam Perwira, Pendekar Laut dan banyak lagi mendidik aku bahawa ada bangsa di dunia ini menganggap semangat setiakawan dan kejujuran adalah aset paling utama. Berbeza dengan manga-manga Jepun yang menjadikan cita-cita dan ketabahan protagonis adalah matlamat dan hala tuju hidup. Yuyu Hakusho, Dragon Ball, Dragon Quest dan Doraemon mendidik itu.

Sekolah menengah memperkenalkan aku kepada aliran baru. Makcik aku yang merupakan peminat sastera banyak membawa pulang buku-buku seperti Daerah Zeni dan Hujan Pagi (A. Samad Said) selain Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.

Alangkah tepat masanya kerana aku pun sudah mula gatal nak bercinta. Maka terburailah prosa-prosa sajak yang seringkali dihantar kepada cik Wani. Cik Wani suka saya, saya suka dia dan alam pun jadi indah dan lain.

Tapi yang indah takkan terus kekal indah. Aku berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur pada tingkatan empat. Di sana, penulisan kreatif hampir mati untuk aku. Ya, aku masih menulis, tetapi hanyalah penulisan-penulisan ilmiah seperti huraian, kesimpulan, surat rasmi dan kajian teks sastera. Aku penulis, bukan sasterawan!

(to be continued..)

3 comments:

amer zaman said...

ya.

aku penulis.

dan kau BELUM jadi sasterawan.

lagipun ada apa dengan sasterawan?

disanjungkah?

dihormatikah?

ratnakesuma said...

aku juga ingin jadi penulis...


walaupun masih belum pandai...


aku hanya mampu menggarap puisi berbanding novel dan cerpen...


aku masih kurang ilmu pengetahuan...


mungkin waktunya akan tiba nanti...

Sky0ne said...

mcm biase tgk je stroke lukisan blues utk aku dgn pensel atas tu....