Tuesday, February 10, 2009

Gembala Laskar Pemimpi

Assalamualaikum..

Satu malam tak berapa bulan yang lepas..

"Sudah,novel jiwang apa pulak ni." Itu getus hati aku bila cik Wani hulur satu beg kertas kaler merah yang ada tiga buah buku di dalamnya. Cik Wani kata itu buku-buku yang amat disayanginya, dan diserahkan pada aku untuk dijaga sepanjang dia ke Sarawak nanti.

Dua novelnya berjudul melayu, meski dengan bunyi indon. Mujurlah ada satu yang berbahasa inggeris, lega sedikit rasanya.

Begitulah hinanya aku memandang novel berbahasa ibunda, kerana tak berapa waktu sebelumnya aku tertipu menatap karya payau tentang seorang sunan kunun alim yang menentang segala jenis makhluk jahat; bagai kacukan antara wali songo dan antoo fighter. Tak disedari ia hanya karya roman yang melebih-lebihkan seorang lelaki khayalan dengan tema melankolik tanpa heroisme dalam erti kata sebenar. Ya, dan peminatnya ramai, seperti juga filem-filem melayu yang peminatnya ramai jikalau temanya caca-marba dan penuh rapu.

Tentu sahaja karya bahasa inggeris terlebih dahulu jadi pilihan aku. Tajuk bukunya The Alchemist karangan Paulo Coelho. Kisahnya mudah. Seorang gembala kambing, Santiago memburu 'Personal Legend' atau 'Hikayat Peribadi'nya; harta karun yang tertanam di tapak Piramid Giza. Hasil tilikan nasib seorang wanita gipsi dan nasihat (dibayar dengan 6 ekor kambing) seorang lelaki tua (memperkenalkan diri sebagai Raja dari Salem), dia merentasi Selat Gibraltar, ditipu sehingga menjadi papa kedana, berkerja di kedai kristal, mengembara bersama seorang alchemist dan menukar diri menjadi angin. Rintangan demi rintangan ditempuh Santiago sebelum akhirnya dia menyedari maksud sebenar perjalanannya itu membawanya kepada harta karun yang sebenar.

Buku yang sudah terjual lebih 65 juta naskhah di seluruh dunia ini sebenarnya lebih kepada sebuah buku motivasi, yang menggesa pembaca agar yakin dengan impian dan berusaha sedaya-upaya menggapainya. Antara kata azimat dalam buku ini adalah 'Jika anda inginkan sesuatu, seisi alam akan bekerjasama untuk membantu anda mencapainya'.

Usai membaca buku tersebut, dua novel berbahasa melayu tampak hambar meskipun aku belum pun mula membaca. Apatah lagi sebaik sahaja sedar ia hasil pengarang Indonesia. Sudahlah lagu indonesia lebih asyik, siri televisyennya lebih menarik, kini novelnya pula?

Aku mulakan dengan Sang Pemimpi, walaupun selepas satu mukasurat kemudian menyedari yang ia sambungan kepada Laskar Pelangi. Aku pun kembali dengan buku pertama, mengharapkan ia akan selesai segera semata-mata kerana ia amanah cik Wani. Nama penulisnya pun pelik, Andrea Hirata macam orang Jepun.

Dan dalam hidup ini, sekali lagi aku dibuktikan silap sebesar-besarnya. Sesudah selesai dua buah novel, Ikal, Lintang, Maher dan Arai tiba-tiba menjadi rakan baik aku. Bu Muslimah dan Cikgu Mustar adalah guru yang memberi semangat, dan Pulau Belitong, yang dari kekayaan melimpah-ruahnya tiba-tiba menjadi pulau pertanian, bagai dikenali sedari lahir. A Ling, Edensor dan University of Paris di Sorbonne bak utopia alam rindu yang ingin benar dijengah dan diteliti.

Bacalah kedua-dua buku ini. Kalian takkan menyesal. Bahkan menghargai bahawa pendidikan adalah bermula dengan mendidik jiwa, hanya selepas itu minda akan berkembang cerdas, melantunkan pucuk-pucuk harapan tinggi menjulang awan, dengan akarnya iman dan taqwa, manakala batangnya pula semangat yang cekal dan kental.

Dan oh ya, sebelum apa-apa, buku ini merupakan buku terlaris dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, dan bandingkanlah novel ini dengan novel laris tentang sunan kunun wali itu. Aku malu mengaku menjadi penulis dari Malaysia!


Filemnya pun sudah keluar dan aku jamin ia adalah 100 kali lebih bermakna untuk ditonton berbanding filem arahan seorang profesor yang kerjanya tidak lain memperbodohkan khalayaknya.

1 comment:

amer zaman said...

pertamanya,
terima kasih kerana meminjamkan buku yang aku tak tahu lebih hebat dari harry potter, yang pernah aku tak pedulikan penulisnya di pesta buku.

keduanya,
kau boleh bangga, kerana penulisnya melayu, bukan mamak penang.

ketiga,
kita tunggu riri reza dengan laskar pelangi versi filem, di FINAS. walaupun tempat terhad, sebagai comittee, aku akan reserve utk kau(tanda terima kasih untuk no1)