Wednesday, May 27, 2009

Komunis: Dosa Yang Belum Diampunkan..

Assalamualaikum..

Sepanjang sejarah ketamadunan di Tanah Melayu, pelbagai kuasa asing baik dalam bentuk penjajahan atau serangan semata-mata pernah menyerang negara ini. Antara yang paling awal adalah serangan Raja Chola ke atas kerajaan-kerajaan Melayu purba seperti Beruas. Selain itu kita juga pernah diserang, dan dijajah oleh kuasa-kuasa lain seperti Srivijaya, Majapahit, Siam, Portugis, Belanda, British dan Jepun.

Portugis misalnya, menyerang dan memusnahkan tamadun terulung yang pernah kita miliki, iaitu Kesultanan Melayu Melaka. Serangan mereka pada 1511 bukan sahaja dilakukan atas dasar penjajahan mendapatkan wilayah semata-mata, tetapi juga untuk penyebaran agama, mendapatkan sumber kekayaan tempatan dan bagi memiliki tapak untuk meluaskan kekuasaan di rantau ini. Sungguhpun begitu dosa mereka sudahpun diampunkan lama dahulu malahan kini kota A Famosa peninggalan mereka ditayang megah di Melaka sebagai tumpuan pelancong.

British pula adalah musuh yang lebih lama lagi. Penjajahan mereka selama 150 tahun mengorbankan ramai tokoh-tokoh perjuangan tempatan seperti Datok Maharajalela, Tok Janggut dan ramai lagi. Sultan hanya diberikan tanggungjawab menjaga agama dan adat-istiadat dan orang Melayu hanya dibiar menjadi petani. Sekolah Melayu hanya sekadar tempat untuk orang melayu belajar membaca, menulis dan mengira, manakala jawatan penting semuanya diisi orang asing. Namun kini siapa yang tidak menonton EPL?

Jepun sebaliknya adalah seteru yang menggempur kita secara tiba-tiba. Dunia mungkin mengingati 7 Disember 1942 sebagai tarikh serangan ke atas pangkalan Pearl Harbor, tetapi pada masa yang sama (8 Disember waktu Tanah Melayu, kerana perbezaan zon masa) mereka juga menyerang tanah air kita melalui Kota Bharu. Kekejaman dan keganasan Jepun seperti pemerkosaan, buruh paksa dan lain-lain dianggap sebagai episod paling zalim dalam sejarah negara ini. Namun kini hampir semua menganggap Doraemon, Pikachu dan lain-lain makhluk anime/manga adalah secomel-comel kejadian dan siapa pula yang harus disalahkan jika mantan PM sendiri yang mengisytiharkan Dasar Pandang ke Timur?

Komunis malangnya tidak menerima pengampunan yang sama. Selepas perletakan senjata mereka pada 1989, komunis (entah dari segi ideologi, ekonomi, atau ketenteraan) masih dianggap sebagai musuh negara. Harus diingat, negara China yang menjadi antara tumpuan utama pelaburan dari negara ini masih adalah sebuah negara komunis. namun tiada siapa pula yang menjerit "Awas, China komunis!" Malah kita juga menjalankan aktiviti perdagangan (utamanya melalui Petronas) dengan negara Vietnam yang masih komunis (terkenal melalui tentera Vietcongnya).

Jadi apakah komunis yang kita musuhi sebenarnya? Idea komunisme itu sendiri? Atau komunisme versi Marxist? Leninisme? Maoisme? Ekonomi komunis? Politik komunis? Dogma ketenteraan komunis? Apakah sosialisme turut dianggap komunisme? Atau yang masih kita dendami hanyalah Parti Komunis Malaya?

1 comment:

muhsinsenpai said...

bila aku tulis mende yang thought-provoking cam ni tade sape plak nak komen, ek..