Saturday, August 30, 2008

Merdeka?

Assalamualaikum..

Hari kebangsaan ke 51 secara alamiahnya bertembung dengan awalnya ramadhan. Dalam erti kata lain, satu perayaan nasionalis, yang direka dan dicipta manusia atas faham yang tertentu, bertemu dengan satu bulan yang turun sendiri dari Allah Taala, sebagai satu perintah untuk seluruh umat manusia, sebagai barakah dan anugerah dariNya.

Jujurnya aku menerima kedatangan 31 Ogos dan 1 Ramadhan dengan cara yang sama seperti mana-mana tahun yang sebelumnya, tanpa berkaitan sama ada kedua-duanya berdekatan, bertindih atau berjauhan. Satu aku sambut di rumah, satu lagi pula aku sambut di rumah.

Namun bukan itu isunya di sini. Setahu aku sesudah 51 tahun, kita hanya merdeka dari segi pemerintahan British. Ideologi, ekonomi, rohani, yang lain masih terjajah. Masih disorok dalam tenggorok macam katak bawah tempurung. Pemikiran bukan kelas ketiga tetapi dua puluh tiga.

Kita masih yakin dan percaya kitalah bangsa dan negara paling istimewa dalam dunia. Negara inilah daulah paling makmur permai tenang damai yang layak dianggap syurga dunia yang hanya kadang-kala jerit-pekik bikin ganggu tidur anak dalam buai. Bangsa lain hanya menumpang datang duduk berteduh di bawah payung negeri, bila-bila boleh dihantar balik dan dihalau pergi.

Awas, pemikiran sama juga diguna Hitler bila mengumpul-ngumpul 6 juta yahudi yang tak lain tak bukan rakyat senegerinya juga cuma lain bangsa lain agama sebelum digas, dibakar atau dimampat di kem-kem tahanan. Siapa berani jamin Hitler akan masuk syurga?

Sebab itulah kita bangsa mudah melenting. Semua benda hak kita. Padahal bila sudah diberi tak pula menghargai. Lebih banyak subsidi lebih banyak pula disalahguna. Kontrak kerajaan dijual pada orang luar, ambil untung atas angin. Kuota bumiputera diguna mengayakan suku sakat. Akhirnya berduyun kakitangan kerajaan diusung BPR keluar masuk mahkamah. Yang tak berjawatan jadi mat rempit, penagih dan peragut, yang berjawatan makan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. Baguslah tu, dua-dua dalam penjara.

Kalau si anak raja zalim dan tidak bertimbang rasa, apa perlu dirajakan? Kalau anak bangsa malas dan mengada-ngada, mengapa perlu dimanjakan?

Bila disebut sedikit nak memberi kepada yang lain asal bangsa, mula melompat bersilat hunus keris atau roti benggali, tiba-tiba semua jadi melayu jati, mula buka salasilah dari jawa, minang, sulu dan patani. Yang nenek moyang dari Madras dan Malbari pun mula mengaku melayu, lupa belakang nama ada Kutty dan Bebee.

Cuba jika di Amerika jawatan kelas A untuk orang putih sahaja, yang lain warna tak layak meminta. Tentu dah lama kita caci kita hina, tuduh apartheid masih berleluasa. Cuba nabi S.A.W jamin hanya orang Arab masuk syurga, tentu Bilal dan Salman takkan beriman, sebaliknya Abu Jahal dan Abu Lahab yang memberi sokongan.

Fikirkanlah sendiri. Kadang-kadang jujur sangat pun susah.

2 comments:

amer zaman said...

haha...
bebudak masa ni suker ar..
berarak reramai...
pakai baju hitam...

tak kaji betul2 rancangan khalid tu..
tak kaji betul2 tu agenda politik siapa..
macam lembu..

camner merdeka kat rumah? kat sini meriah 'gilerr'

p/s: aku pun tak sokong kemasukan 10peratus, tapi taklah nak buat kerja camtu.. tulah..

Ande Sikutawangsa said...

such of thing.

ntah. keburukan dan kebaikan dah tak boleh nak tentukan keadilan mungkin.