Wednesday, June 04, 2008

Tribute Euro 2008: Dennis Bergkamp

Assalamualaikum w.b.t

Jika ada mana-mana pemain yang boleh membuatkan aku beralih arah dari menyokong Liverpool FC, maka pemain itu adalah Dennis Bergkamp. Pemain yang pada pendapat aku adalah pemain asing terbaik pernah beraksi dalam Liga Perdana (ini pendapat peribadi yang dikongsi dengan Alan Hansen) juga merupakan pemain terbaik pernah beraksi untuk Belanda (ini juga pendapat peribadi yang dikongsi dengan Gus Hiddink).

Skil menakjubkan, kewaspadaan taktikal, kemahiran memulakan serangan dan kejituan dalam menjaringkan gol adalah aset utama pemain yang lebih gemar bertindak sebagai penyerang bantuan di antara atau belakang penyerang utama (di Arsenal dimulakan dengan Ian Wright, sebelum Thierry Henry mengambil alih).

Seperti kebanyakan lagenda Belanda yang lain seperti Cruyff, Rijkaard dan Marco Van Basten, Bergkamp mula beraksi di kelab Ajax Amsterdam sebelum berhijrah ke Internazionale.

Namun taraf lagendanya diperolehi di Arsenal. Perpindahan 7.5 juta pound ke Arsenal di bawah kendalian Bruce Rioch pada 1995 menjadikan Arsenal antara kelab Inggeris pertama yang memancing pemain ternama selepas berakhirnya pengharaman ke atas kelab-kelab Inggeris berikutan tragedi Heysel 1985.

Di Arsenal Bergkamp menjaringkan 106 gol dalam 393 penampilan, satu pulangan yang menakjubkan. Untuk 10 musim bersama Arsenal Bergkamp telah berjaya memenangi tiga kejuaraan liga, 4 Piala FA, dan naib juara untuk Piala Uefa dan Liga Juara-juara.

Secara peribadi pula, dia memenangi anugerah pemain terbaik PFA 1998, pemain ketiga terbaik Eropah pada 1992 dan kedua terbaik pada 1993 selain pemain ketiga terbaik FIFA pada 1993 dan 1998.

Antara gol terbaik jaringannya adalah ketika menentang Newcastle, dan sewaktu beraksi bersama skuad Belanda sewaktu menentang Argentina dalam peringkat suku akhir Piala Dunia 1998 (antara gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia). Selepas menahan hantaran sejauh 60 meter dari frank De boer dalam kotak penalti Argentina, Bergamp meloloskan bola di celah kaki Roberto Ayala sebelum dengan selambanya melepaskan volley dengan sepakan luar kaki kanan
ke gawang Argentina. Magis.



Popular dengan gelaran Iceman, Bergkamp juga dikenali kerana keengganannya terbang (membawa kepada gelaran Non-Flying Dutchman) kerana fobia (aviofobia) yang disebabkan oleh peristiwa nyaris-nyaris kemalangan kapal terbang sewaktu Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Bergkamp bersara pada 2006 selepas Arsenal tewas kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2006 dan kini sedang menjadi jurulatih pelatih di Ajax di bawah kendalian Marco Van Basten yang akan mula bertugas selepas Euro 2008.

No comments: