Monday, August 31, 2009

Merdeka Mereka..

Go to fullsize image

Assalamualaikum..

Sebagai pemuda pasca jepun, pasca merdeka dan pasca darurat, generasi aku sering dipandang lekeh golongan terdahulu sebagai generasi yang buta penghayatan terhadap kemerdekaan. Kurang patriotisme, kurang semangat berjuang, dan kurang berterima kasih (kepada UMNO/BN).

Malangnya aku ada pengumuman. Golongan pemuda di mana-mana pada bila-bila masa pun tetap akan jadi penggerak utama sesebuah negara, tidak kiralah ketika era perang, era menentang penjajah, era pembangunan atau era globalisasi (era 1Malaysia?) yang dihadapi seperti hari ini.

Generasi muda sekarang, seperti juga generasi-generasi yang wujud pada zaman sebelumnya, senantiasa sahaja dipandang enteng oleh mereka yang lebih tua (kononnya lebih berpengalaman) dan sentiasa saja dihambur kata-kata sedemikian. Seawal tahun 70-an lagi, Akta Universiti dan Kolej (AUKU) telah dimandatkan di tanah bertuah ini, tidak lain tidak bukan bertujuan mengekang golongan muda di negara ini. Bahkan, kini apabila orang-orang muda tahun 70-an itu sudah tua, mereka pula mengekalkan AUKU itu dan terus menekan orang muda seperti yang ayah tokwan mereka lakukan dahulu.

Memang benar anak muda sekarang tidak lagi menggalas senjata mempertahankan negara dari ancaman musuh. Kerjaya tentera sekarang sering dikaitkan dengan orang putus cinta, budak tak lepas masuk U, dan mereka dengan ketidaklulusan SPM. Musuh jika ada pun mungkin pendatang asing yang menceroboh sempadan untuk mencari rezeki di tanah bertuah ini.

Dan benar juga anak muda kini tidak lantang bergelanggang di medan-medan politik, menghentam dasar-dasar penjajah seperti Malayan Union, atau menganjurkan rapat umum menuntut hak rakyat agar dikembalikan kepada yang berhak. Oh ya, itu ada, tapi ISA menghalang.

Tanyalah mana-mana anak muda, dan anda akan dengar pandangan mereka, rata-rata mengatakan betapa politik adalah satu dunia yang sama kotornya dengan perjudian, arak, pelacuran dan lain-lain. Bezanya ia dilakukan terang-terangan, dengan memperalatan slogan dan semboyan menarik sokongan dan undian. Tidak, itu bukan pendapat peribadi aku, tapi tanyalah mana-mana anak muda.

Generasi baru berhadapan cabaran yang tidak pernah disaksikan oleh mana-mana umat manusia sebelumnya. Dalam negara yang aman dan kaya rakyat masih miskin dan papa. Dengan ijazah di tangan belum tentu ada pekerjaan. Dengan gaji enam angka hutang masih menenggelamkan jiwa. Rumah dan kereta besar kini bukan lambang kemewahan, tapi tanda ada suapan di bawah meja.

Dunia ini menyaksikan krisis yang lebih meruntun jiwa dari apa yang ia kenali ratusan atau ribuan tahun dahulu. Jika 100 tahun dahulu petani miskin mungkin masih ada tanah sekangkang kera, kini jutawan rumahnya berkongsi tapak dengan ratusan jutawan lain, cuma berlainan tingkat pangsapuri. Artis yang popular di seluruh dunia akhirnya terkulai rebah di meja, mati sendirian telebih dos ubat penahan sakit.

Untuk menuduh golongan muda kurang patriotik kerana kita tidak mengundi satu dua parti bukan sahaja tuduhan dangkal dan bodoh, tetapi tuduhan yang jahil terhadap kebebasan demokrasi itu sendiri. Memandang generasi baru sebagai lemah kerana tidak menggalas senjata adalah kebodohan yang lain pula, kerana masa ini ilmu, teknologi dan kekuatan ekonomi jauh mengatasi kekuatan fizikal. Buktinya amerika yang gagah menyerang afghan dan iraq kini tersungkur dibebani hutang tak terbayar.

Anak muda, baik dalam zaman apa pun, tetap saja akan jadi tenaga penggerak negaranya yang paling utama. Dan anehnya, golongan tua pula akan sentiasa wujud untuk menafikannya.

1 comment:

amer zaman said...

zaman muda
zaman berapi