Thursday, April 17, 2008

Kuburan Penulis...

Assalamualaikum..

Dalam sejarah peradaban manusia, golongan penulis dan cerdik pandai sering sahaja ditanam semata-mata untuk melenyapkan suara (atau tulisan) mereka.

Suara kebenaran, ironinya, boleh sahaja bertukar jadi seruan maut.

(gambar kubur Hang Kasturi, Melaka)

Imam Abu Hanifah, ulama besar dan mujtahid yang mengarang beberapa buku (kitab), antaranya 'Alim wal muta'allim, diracun dalam penjara semata-mata enggan menjadi balaci Khalifah Al-Mansur.

Selain itu pelbagai rejim dan diktator yang pernah wujud di dunia ini sering sahaja menjadikan golongan penulis sebagai sasaran, didakwa, dipenjara, diseksa mahupun dibunuh.

Antaranya Stalin yang didakwa membunuh 50-100 juta orang. Antaranya Maxim Gorky, penulis Rusia yang merupakan rakan baiknya sendiri. Rejim Khmer Rouge di Kemboja pula menghapuskan hampir semua golongan; politikus, ahli perniagaan, sarjana, penulis, golongan agama untuk membentuk negara utopia pertanian dari tahun 75-79. Pengerusi Mao dari China juga pernah melancarkan Hundred Flowers Campaign di mana dia mem'pelawa' rakyat jelata mengkritik pentadbirannya, hanya untuk memerangkap, mendakwa dan membunuh mereka kemudiannya. Jumlah korban dianggarkan mencecah puluhan ke ratusan ribu orang.

Malaysia? Kita ada Pak Sako yang dipenjarakan sebanyak dua kali (1948 -1953) dan (1965-1966) oleh British. Juga beberapa penulis reformasi yang lebih baik kita senyapkan sahaja nama mereka kerana ISA masih ada dan saya tak mahu ke sana.

Moral cerita? Kalau menulis mesti berani. Kalau tidak berani pun boleh sahaja jadi penulis. Tulislah tentang percintaan remaja, hantu pocong, pengembaraan muda mudi, kebaikan pemerintah dan cara-cara memasak. Selitkan satu dua jenaka untuk melariskan jualan atau dua tiga adegan panas biar jadi kontroversi. Kalau boleh biarlah grafik supaya senang diadaptasi ke panggung.

Kalau nak nampak bijak, labelkan dengan label eksistensialis, realis, absurdis, phalangis, nasionalis, reformis, feminis, rasis dan seksis. Kacau bilaukan naratif dan herot-perotkan plotnya. Naikkan unsur saspens pada klimaks dan dramatikkan peleraiannya. Jadikan protagonisnya kecundang dan antagonisnya menang. Pecahkan subplotnya menjadi gizi gizi kecil
bergigi halus, tapi padat dengan unsur humoris, parodi dan surrealis. Hitamkam yang hitam dan putihkan yang putih, atau tabrakkan semua ke dinding dan ambil warna yang tertinggal jadi tema utama.

Telanjangkan wataknya satu-persatu, dan pakaikan semula seteliti yang boleh. Yang bertudung tanggalkan, yang seksi, purdahkan. Yang tinggi jadikan galah, yang pendek jadikan penyapu. Yang bulat dibuat dulang, yang pipih dibuat sudu.

Gantungkan penamat dengan cliffhanger menarik, dan buat tiga empat buku biar berjilid-jilid. Makin laku, makin dipanjangkan, lengkap dengan sekuel dan prakuel. Adaptasi ke filem, jadikan pementasan, terbitkan runut bunyi, edarkan figura aksi, dan animasi bersiri.

Kalau boleh..

Siapa kata penulisan picisan mudah?

No comments: