Assalamualaikum..
Sepanjang usia aku yang tak berapa panjang ni, aku selalu mendengar, sedari kecil lagi, tentang betapa ketuanan, hak-hak keistimewaan dan lain-lain kepunyaan orang melayu semakin terhakis. Dari yang aku dengar seolah-olah lagi 5 atau 10 tahun, orang Melayu takkan wujud lagi di Malaysia ini, selain balaci yang tak berharta, berkedudukan mahupun berstatus melayu. Betul ke?
Dari cakap-cakap yang aku dengar, baik di akhbar-akhbar, televisyen, pidato-pidato, malah ceramah dari brahim pendek waktu dia serbu rumah aku tempoh hari (sambil menyaman sesuka hati) dikhabarkan seolah-olah esok orang melayu semuanya akan tiba-tiba menjadi penoreh getah, nelayan dan pesawah padi. Yang perempuan pulak akan terpaksa buka gerai jual kuih (kaya jugak tu), ambil upah basuh baju atau bela anak orang. Betul ke?
Yang paling selalu dihebahkan, seolah-olah bangsa-bangsa 'asing' (entah Indon entah Bangladesh) akan mengambil alih pemerintahan negara ni, macam raja-raja dan sultan-sultan akan tiba-tiba tidak lagi menduduki takhta, seolah-olah dalam sekelip mata Malaysia sudah tidak bermelayu lagi. Yang memerintah mungkin presiden atau canselor atau setiausaha agung. Betul ke?
Apakah kedudukan melayu sekarang lebih dahsyat dan tergugat berbanding zaman Brisith? Secara oksimoronnya adakah British melayan kita orang Melayu dengan lebih baik? Adakah pada zaman British melayu-melayu yang menyimpan saham dalam ladang-ladang, estet-estet, lombong-lombong dan kilang-kilang? Baik sangatkah kita pada zaman British? Betul ke?
British pun tak menghapuskan kesultanan melayu.
Jepun pernah menyerang tanah Melayu, dan tidak syak lagi tempoh itu antara waktu yang cukup payah dalam sejarah tanah air. Tidak termasuk pula tempoh komunis mencuri-curi memegang pemerintahan berbelas hari sebelum British kembali masuk. Apakah tempoh itu melayu pada kedudukan terbaik? Adakah 'terhakis'nya hak-hak kemelayuan dibanding secara relatif dengan waktu itu? Betul ke?
Jepun pun tak usik raja-raja kita.
Portugis dan Belanda dan siam dan bugis semuanya pernah dari satu segi menjajahi negara ini. Adakah pada waktu itu kita penuh kemelayuan? Adakah itu zaman kegemilangan melayu? Jika nak dikata hak orang melayu makin terhakis, zaman ini lebih baikkah?
Melainkan di Melaka, Tanah Melayu waktu tu masih bersultan dan beraja.
Jadi di mana yang terhakisnya? Kita sekarang ada angkasawan Melayu pertama, dari negara kita tercinta Malaysia. Apa yang dihakisnya?
Raja kita raja berdaulat. Tak sapa pun sentuh, (melainkan satu dua pihak yang tak berpuas hati tempoh hari). Jadi siapa yang hakis siapa?
Perdana Menteri masih melayu, begitu juga menteri besar/ketua menteri di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak. Yang tak melayu di Pulau Pinang yang memang dari dulu begitu. Pakcik, hakisan tanah banyak, hakisan ketuanannya mana?
Artis pun kita masih yang paling popular. Mungkin yang menang Malaysian Idol dan One In A Million 1 bukan melayu, tapi AF 1-5 melayu! Mawi melayu, Dato' Siti pun melayu. Yang menang Gang Starz dari Indon tu pun melayu! Terhakis apa ni?
Kalau ya pun mungkin dari sebab ekonomi. Tapi yang kaya tu sebab dia menghakis ke atau sebab pandai berniaga? Orang melayu tak pandai berniaga ke? Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tu bukan melayu? Dia billionaire!
Nak apa lagi baru kita tak rasa tergugat ni? Anak melayu Malaysia dah buat macam-macam, sampai ke angkasa, kutub utara, kutub selatan dan keliling dunia. Hakisan apa lagi?
Apakah kerana permasalahan sosial yang kita hadapi. Penagihan dadah, seks bebas, per'gay'an, mat rempit? Melainkan orang-orang eskimo yang tak jumpa jalan raya, masalah-masalah ini adalah lumrah kepada semua bangsa di kebanyakan tempat di dunia. Gangsterisme kat Hong Kong dahsyat lagi, tak percaya tonton Young & Dangerous.
Fikirkan sendiri. Kadang-kadang ia hanya retorik apofasis.
Monday, April 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Satu pendapat menarik..
http://www.harakahdaily.net/index.php?
option=com_content&task=view&id=14075&
Itemid=28
Post a Comment