Saturday, July 26, 2008
Jawapan kod rahsia 2..
1. Baca arahan dan soalan dengan teliti
2. Lihat klu dan kaitkan dengan arahan dan soalan
3. Aplikasikan klu secukup rasa
4. Selesaikan masalah dengan bangga
Berjaya?? Syabas!
************************************
Jika tidak berjaya, sila tonton gerak perlahan.
1. Baca arah dan soalan dengan teliti. Ya, anda dikehendaki mencari ayat TERSEMBUNYI di dalam kod yang telah diberi tersebut.
2. Lihat klu.
a) Baca klu dan fahamkan. Atuk hensem? Betul ke?.
b) Maka dapat difahami bahawa ayat tersembunyi itu ada kaitan dengan perakuan bahawa aku hensem.
3. Aplikasikan klu.
a) Atuk hensem? Rasanya tidak.
b) Jika dia tidak hensem, maka tentulah dia menipu dalam kenyataan itu tadi.
c) Susun soalan dengan cermat agar dapat kita cari makna sebenar kenyataan atuk itu.
d) Begini rupanya:
sesuatu
entah
bila
entah
ngapa
amat
racau
nanti
yang
aku
amat
kesali
untuk
tidak
ingin
pastinya
ulah
sendiri
aku
jadi
apa
4. Selesaikan masalah.
a) Selepas membuat susunan seperti di atas, kita tahu klunya adalah atuk hensem, satu pernyataan yang tidak tepat. Maka dengan mudahnya ia boleh dicari dalam susunan kata di atas. Cuba baca kolum paling kiri dari atas ke bawah. Anda pasti akan mendapat jawapannya!
***************************************************************************************************************************
Kes-kes istimewa:
Jika anda masih tidak berjaya, baca semula susunan tersebut, hanya mengambil kira garis menegak paling kiri ke kanan, dan
perkataannya dari atas ke bawah. Ia akan berbunyi begini:
sebenarnya aku tipu saja
Ya, sekali lagi walaupun bunyi mesejnya kedengaran bodoh, ia telah direka khas untuk memudahkan anda mendapatkan jawapannya.
Selamat mencuba!
Mereka yang berjaya setakat ini adalah: jaja je kut
Saturday, July 19, 2008
Jawapan kod rahsia 1..
Jika tak ingat, rujuk di sini..
Pada asalnya aku ingin menguji kepintaran orang ramai dengan kod rahsia ini. Namun akhirnya aku sendiri yang kelihatan bodoh kerana sorang-sorang bertanya tanpa ada siapa yang mahu mencuba.
Cara-cara menyelesaikan kod rahsia 1.
1. Baca soalan
2. Lihat klu
3. Aplikasikan klu
4. Selesaikan masalah.
Dapat? Okey, bagus.
************************************
Jika tidak berjaya, sila tonton gerak perlahan.
1. Baca soalan. Apa? Tiada soalan? Oh, ada, tapi panjangnya soalan dia.
sytb sbba ttss akab aaaa iuln haau tame pnhc lkod eiyk umas agua aaga npaa kutt
2. Lihat klu.
a) Baca klu dan fahamkan. Punca kuasa X punca kuasa = luas.
b) Maka dapat difahami bahawa rajah berkaitan dengan matematik.
3. Aplikasikan klu.
a) Punca kuasa x punca kuasa = luas, atau punca kuasa2 = luas.
b) Jika klu adalah punca kuasa, maka mungkinkah luas merujuk kepada soalannya? Mari kita lihat:
sytb sbba ttss akab aaaa iuln haau tame pnhc lkod eiyk umas agua aaga npaa kutt = luas.
c) Dengan menganggap soalan adalah sebagai satu objek yang memiliki keluasan iaitu 2 dimensi (jika ia memiliki isipadu, ia adalah objek 3 dimensi), maka jadikan soalan sebagai satu objek yang memiliki luas, paling mudah sebagai satu segi empat.
d) Memandangkan klu adalah 16 perkataan dengan 4 huruf setiap satu, maka punca kuasanya adalah 4. Semakan: 4 x 4 = 16
e) Gunakan segi empat sama dengan sisi 4 x 4 untuk membentuk rupa asal soalan (luas).
f) Ini rupanya:
sytb sbba ttss akab
aaaa iuln haau tame
pnhc lkod eiyk umas
agua aaga npaa kutt
4. Selesaikan masalah.
a) Selepas membuat rajah di atas. kita tahu klunya adalah punca kuasa, maka perkataannya juga adalah 4 huruf setiap satu. Cuba baca dari kiri ke kanan seperti biasa, jika gagal cuba dari kanan ke kiri atau bawah ke atas dan sebagainya. Anda pasti akan mendapat jawapannya!
***************************************************************************************************************************
Kes-kes istimewa:
Jika anda masih tidak berjaya, baca semula rajah tersebut, bermula dengan garis menegak dari kiri ke kanan, dan perkataannya dari atas ke bawah. Ia akan berbunyi begini:
sapa yang tahu baca sila buka blog anda then taip saya suka atuk kamu amat best.
Walaupun bunyi mesejnya kelihatan bodoh, percayalah ia telah diringkaskan agar anda mudah mendapatkan jawapannya. Lagipun tentu seronok mengasah minda bukan!
Mereka yang berjaya setakat ini adalah: takde sapa pun yang nak cuba.. huhu..
Monday, June 23, 2008
Al-Fatihah..
Ini adalah entri aku yang kelimapuluh. Sayangnya entri ini diisi dengan khabar pemergian.
Al-Fatihah kepada ibu cik Wani. Semoga cik Wani bersabar dan sebagai anak yang solehah, akan sentiasa mendoakan ruh arwah ibu cik Wani. Semoga ruh ibu cik Wani ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amiin.
Dari Allah kita datang, dan kepadanyalah kita dikembalikan.
Thursday, June 19, 2008
Legacy?
Monday, June 09, 2008
Saved By The BEL
Dah tengok keputusan peperiksaan?
Bagi yang belum, sila semak keputusan anda di sini.
Alhamdulillah, aku sekali lagi ketemu Damn List. Namun sesuatu yang menarik untuk dikongsi di sini, GPA aku hanya diselamatkan oleh BEL. Dengan kata lain, tanpa subjek BEL, GPA aku takkan dapat mendekati Damn List ini. Malah yang lebih menarik, kawan-kawan aku memiliki markah GPA -BEL yang lebih tinggi dari aku. Dengan kata lain aku bukan lebih pandai, cuma nasib baik sebab semes ini masih ada subjek BEL. Semes hadapan mungkin aku akan kecundang.
Sekretariat M (bukan nama sebenar) misalnya, hampir-hampir mendapatkan Damn List tanpa melibatkan BEL. Jika Konferensi mendatangkan gred, beliau pasti diberi A dan akan mendapat DL tanpa perlu diragui lagi kerana kehadiran beliau yang penuh bersama cik pap (nama timangan sebenar). Malah beliau telah mendapatkan A dalam subjek Teori & Apresiasi Filem! Aku hanya dapat B dan orang tua lagi sorang tu dapat C!
Sahabat aku seorang lagi iaitu sekretariat S (juga bukan nama sebenar) pula lebih malang. Beliau telah berjaya mendapat GPA menyerupai DL 3.5+, namun kerana kehadiran penjajah ke negara ini beberapa ratus tahun dahulu, yang menyebabkan pelajaran Bahasa Inggeris (BEL) diwajibkan, beliau telah kejatuhan sedikit. Secara keseluruhan beliau telah mendapat A dalam semua matapelajaran yang aku dapat B. CTU, Teori Filem, Cinefoto dan Seni Visual.
Kisah yang lebih menyedihkan adalah tentang orang tua S. Dia dan aku dianiaya Khong menyebabkan markah subjek Teori kitaorang rendah. Tapi sebab jawapan exam aku bagus aku dapat up sket. Kalau markah Teori dia bagus dia pun dah dapat DL (3.67).
Moral of the story? You go straight. You don't belok-belok. Lain kali baca NST. (aku baca The Star.)
p/s: takde niat buruk atau songsang dalam analisis ini.
Friday, June 06, 2008
Antara Berita
Selepas pengumuman kenaikan harga minyak tempoh hari, mungkin kita akan terbaca atau terdengar berita-berita seperti ini: (ni aku perli ni kalau tak paham jugak tak tau la..)
BAPA ENAM ANAK TERSENYUM BERTERIMA KASIH
Jerlun, 6 Jun - Seorang bapa, Gapar Bin Basir, 46, menyatakan rasa kegembiraannya sebaik sahaja pengumuman harga minyak diesel dan petrol dibuat kelmarin. Beliau yang menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap hari, di mana dua di sekolah rendah dan 3 di sekolah menengah sebelum ke tempat kerja yang terletak di bandar bersebelahan, bersetuju dengan harga yang baru diperkenalkan. Dakwanya harga tersebut sesuai untuk pekerja berpendapatan rendah sepertinya selain mempunyai nilai tambah, bersifat telus dan anti rasuah.
Bantuan rebet tunai, yang mencecah RM625 setahun selepas memperbaharui cukai jalan juga menurutnya amat menarik selain boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membayar ansuran rumah, kereta, baju sekolah anak, beg dan buku-buku anak, yuran tuisyen, tol, khairat kematian, selain dimasukkan lebihan wang itu ke akaun Tabung Haji untuk kegunaan masa hadapan, khususnya untuk naik haji. -AF*ckP
CIK KIAH TERUSKAN ROMBONGAN KE RANTAU PANJANG
Kuala Kangsar, 6 Jun - Cik Kiah, 55 atau nama sebenarnya Zakiah Bt Baharom lebih dikenali di negara ini sebagai penganjur rombongan. Menurut sidang akhbar yang diadakan beliau semalam, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Olimpik terpaksa ditangguhkan kerana harga tiket kapal terbang, kereta api mahupun kapal tongkang dijangka akan naik mendadak di luar senarai mampu-milik masyarakat. Orang-orang kampung yang terdiri daripada penoreh getah, pegawai pencen dan suri rumah tentu tidak mampu menanggung kos terbabit, menurutnya lagi.
Bagaimanapun, kata beliau, rombongan tersebut akan ditukar destinasinya ke Rantau Panjang untuk mengambil kesempatan cuti sekolah yang masih ada untuk membeli belah. Bergantung kepada kemampuan ahli rombongan untuk menyewa bas, destinasi akhir akan ditentukan sama ada di Rantau Panjang, Kelantan atau sekadar Rantau Panjang, Selangor. -Bersama
PERAGUT PROFESIONAL AZAM TINGKATKAN PRODUKTIVITI
Pantai Dalam, 6 Jun - Seorang peragut profesional, yang hanya mahu dikenali sebagai Kaki, 24, hari ini mengumumkan azamnya untuk meningkatkan lagi kadar jenayah ragut yang dilakukan olehnya. Khas bagi menampung kenaikan mendadak kos sara hidup, berikutan kenaikan harga bahan ai, dia yang juga penagih dan peraba atas bas profesional hari ini merancang untuk meningkatkan kadar ragutan sebanyak 5 kali seminggu, berbanding hanya dua kali seminggu sekarang.
Sungguhpun begitu, Kaki diingatkan bahawa kemungkinan hasil ragutannya tidak akan mendatangkan pulangan lumayan kerana rata-rata masyarakat di Malaysia sekarang turut sedang dalam kekeringan bahana kenaikan bahan api tersebut. Kaki yang memiliki 17 rekod jenayah, enggan mengulas lanjut. -Rioters
Banyak lagi berita yang boleh ditulis. Semoga ISA tidak menyusul. Selamat malam..
Thursday, June 05, 2008
Let's Ride!! (literally..)
While some will believe in almost anything the policy-makers say in their defense to them, I'd rather look at the bright side and say, 'well, thank god this government will only last till September.'
Vote carefully next time..
Wednesday, June 04, 2008
Tribute Euro 2008: Dennis Bergkamp
Assalamualaikum w.b.tJika ada mana-mana pemain yang boleh membuatkan aku beralih arah dari menyokong Liverpool FC, maka pemain itu adalah Dennis Bergkamp. Pemain yang pada pendapat aku adalah pemain asing terbaik pernah beraksi dalam Liga Perdana (ini pendapat peribadi yang dikongsi dengan Alan Hansen) juga merupakan pemain terbaik pernah beraksi untuk Belanda (ini juga pendapat peribadi yang dikongsi dengan Gus Hiddink).
Skil menakjubkan, kewaspadaan taktikal, kemahiran memulakan serangan dan kejituan dalam menjaringkan gol adalah aset utama pemain yang lebih gemar bertindak sebagai penyerang bantuan di antara atau belakang penyerang utama (di Arsenal dimulakan dengan Ian Wright, sebelum Thierry Henry mengambil alih).
Seperti kebanyakan lagenda Belanda yang lain seperti Cruyff, Rijkaard dan Marco Van Basten, Bergkamp mula beraksi di kelab Ajax Amsterdam sebelum berhijrah ke Internazionale.
Namun taraf lagendanya diperolehi di Arsenal. Perpindahan 7.5 juta pound ke Arsenal di bawah kendalian Bruce Rioch pada 1995 menjadikan Arsenal antara kelab Inggeris pertama yang memancing pemain ternama selepas berakhirnya pengharaman ke atas kelab-kelab Inggeris berikutan tragedi Heysel 1985.
Di Arsenal Bergkamp menjaringkan 106 gol dalam 393 penampilan, satu pulangan yang menakjubkan. Untuk 10 musim bersama Arsenal Bergkamp telah berjaya memenangi tiga kejuaraan liga, 4 Piala FA, dan naib juara untuk Piala Uefa dan Liga Juara-juara.
Secara peribadi pula, dia memenangi anugerah pemain terbaik PFA 1998, pemain ketiga terbaik Eropah pada 1992 dan kedua terbaik pada 1993 selain pemain ketiga terbaik FIFA pada 1993 dan 1998.
Antara gol terbaik jaringannya adalah ketika menentang Newcastle, dan sewaktu beraksi bersama skuad Belanda sewaktu menentang Argentina dalam peringkat suku akhir Piala Dunia 1998 (antara gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia). Selepas menahan hantaran sejauh 60 meter dari frank De boer dalam kotak penalti Argentina, Bergamp meloloskan bola di celah kaki Roberto Ayala sebelum dengan selambanya melepaskan volley dengan sepakan luar kaki kanan
ke gawang Argentina. Magis.
Popular dengan gelaran Iceman, Bergkamp juga dikenali kerana keengganannya terbang (membawa kepada gelaran Non-Flying Dutchman) kerana fobia (aviofobia) yang disebabkan oleh peristiwa nyaris-nyaris kemalangan kapal terbang sewaktu Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.
Bergkamp bersara pada 2006 selepas Arsenal tewas kepada Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2006 dan kini sedang menjadi jurulatih pelatih di Ajax di bawah kendalian Marco Van Basten yang akan mula bertugas selepas Euro 2008.
Sunday, June 01, 2008
Hari Indah di Atas Cameron
Tiba ke Tanah Rata, Ladang Teh tempat pertama yang dijenguk. Pukul 11 pagi dan ternyata solat Jumaat hanyalah jama' qasar taqdim. Tambahan pula rombongan dua kereta menyukarkan sebarang proses keterpisahan.
Di mana makan tengah hari? Hospital Cameron Highlands. Tempat ideal untuk keluarga yang memboikot kedai mamak (mak aku aje) untuk menjamu selera. Tiada gambar sempat diambil kerana terlalu terkejut.
Apapun yang pasti perjalanan ke Cameron adalah untuk memenuhi ajakan keluarga, tika masa adalah lebih santai mengh abis kan masa di rumah menonton wonderpets, bermain sudoku dan menulis blog.
Wednesday, May 28, 2008
Jenuh Tak Bersisip Angan... (Cerita Pendek)

Sekali lagi gadis itu pandang tepat ke arah ku. Wajahnya macam terseyum-senyum, jadi aku pun senyumlah balik. Cantik memang cantik. Tidaklah secantik Jessica Biel tetapi bibirnya iras-iras Angelina Jolie. Matanya pun tajam seperti memprovokasi aku.
Aku pandang keliling. Tidak ada sesiapa pun di lorong aku ini, jadi memang sah dia senyum pada aku. Dari celah-celah buku yang tersusun di rak ini, mungkinkah dia ingat aku ini orang lain? Aku tarik nafas dan telan air liur. Buku yang berceranggah di atas rak yang searas dengan kepala aku kurapatkan dan tolak biar santak ke tepi. Nah, sekarang dia boleh tengok muka aku betul-betul, baru aku tak malu nanti.
Ha, tengok tu. Dia pandang aku lagi. Dan sekali lagi dia senyum. Aku pun senyumlah balik sekali lagi. Sesaat sahaja senyuman dan pandangannya jatuh menimpa aku, tetapi rasa umpama bertahun bahagia bercinta.
Tiba-tiba aku tersedar. Aku menyorok sedikit dari pandangannya. Apakah senyumannya hanya senyuman sinis menghina kejanggalan diri? Dengan kadar segera aku membuat semakan pantas. Rambut? Kemas macam Jay Chou. Gigi? Putih bersinar bak gigi negro. Bulu hidung? Terpotong rapi tak kelihatan dari pandangan. Pakaian? Baju dan seluar masih melekat di badan, tak telanjang berinspirasikan filem Bring It On.
Zip? Degupan jantung terhenti sekejap. Perlahan-perlahan aku tunduk dan selak baju dengan tempo adagio. Terkangkang dan terpompa sedikit bagi mudah melihat. Adik aku nyenyak tidur dalam sangkarnya, jauh dari pandangan sesiapa. Mungkin juga akan bangun kalau si gadis terus-terusan senyum mesra.
Aku kembali zahir pada pandangan. Mata pura-pura mencari buku, tetapi dapat tertangkap seleret pandangan yang si gadis lemparkan. Babak-babak iklan Sunsilk menjelma di ingatan. Apakah ini Cinta Perpustakaan?
"T.. T.. Theory of Mechanics. Ha, ini dia!" suaraku perlahan antara dengar atau tidak. Ketemu dengan buku yang menghambat tujuan asal datang ke perpustakaan ini. Aku ambil dan selak-selak, memeriksa tajuk, nama penulis dan penerbit. Syabas, ini bukunya.
Serentak kegembiraan berlangsung, mata kembali mencari si gadis. Eh, mana dia? Meliar sebentar aku mencari mana si cantik yang baru tadi bertentang mata. Apakah sudah pulang?
"Abang.." Suara manis molek memanggil dari belakang. Jantung tiba-tiba enggan berfungsi. Dengan penuh saspen aku menoleh. Kelihatan si bidadari sudah menjelma di hadapan muka. Wajahnya jauh lebih cantik pada jarak satu meter berbanding 5 meter. Pasti dalam jarak satu inci wajahnya kan mengaramkan hati.
"Hai, nama saya.." aku ingin memperkenalkan diri.
"Mintak lalu sikit, nak ambik buku.." si cantik pantas mencelah dan segera satu buku berkulit jingga berpindah tempat dari rak ke tangannya.
Si rupawan senyum lalu menoleh, dan kemudian pantas berlalu. Meninggalkan aku dengan niat terjun bangunan atau berhenti belajar dan masuk askar.
Dengar kata orang, inilah sebabnya aku berhenti UTP dan masuk UiTM.
**********************************************************************************
Diinspirasi oleh: Iklan Levi's dalam majalah dan iklan Sunsilk
Aku penuntut, bukan sasterawan!

Assalamualaikum..
Kalau zaman sekolah adalah zaman yang indah, maka alam universiti tentu sekali alam yang mendewasakan.
Belajar untuk menjadi jurutera, Universiti Teknologi Petronas adalah haluan yang dipilih (oleh mak ayah aku) untuk aku tuju meneruskan perjuangan hidup.
Di sana aku belajar dan diajar bahawa sekolah hanyalah sekentut rasa sukarnya alam universiti. Dan universiti pula hanyalah sekentut rasa alam kehidupan.Namun yang paling nyata aku adalah seorang gamer yang serius. Worm 2, Diablo, Diablo II, Diablo II: Lord of Destruction, TCM, Fifa Manager 2006 ke bawah, Championship Manager 4 atau 5, FIFA 2001-2006, Warcraft III: Reign of Chaos, Warcraft III: Frozen Throne, Dota, Sims I, Sims 2 dan add-onnnya, Hitman : Codename 47, Hitman 2: Silent Assassin, Railroad Tycoon 3, Zoo Tycoon 1 & 2, Thief: Deadly Shadows, Grand Theft Auto III, Grand Theft Auto: Vice City, GTA San Andreas, Need For Speed: Underground, Ganguro Deluxe, 7 Sins, Star Wars: Knight of the Old Republic 2 The Sith Lords.
Fuhh.. banyak gila dan banyak lagi. Mana tak fail.
Malas la nak cerita zaman UTP nih. Sedih.. Tapi sekurang-kurangnya dapat kereta sebijik dan cik Wani masih setia tunggu aku..
Saturday, May 24, 2008
Mega Mendung Di Angkasa... (Cerita pendek)
Timah bagai kaku tak bergerak. Nafasnya termengah-mengah, tetapi dikawalnya sehabis baik agar tak kedengaran bunyinya. Dengan takut-takut matanya meleret ke kiri dan ke kanan. Perlahan-lahan disinsingnya kain kurung sekolah yang dipakai, dan diangkat kaki kanannya sesenyap yang boleh. Kaki kanan itu kemudian diletak penuh hati-hati selangkah di hadapan, agar hanya dia yang menangkap bunyinya."Kau tengok belakang semak tu Ro!" Timah tersentak. Peluh entah dingin entah tidak turun tiba-tiba. Hatinya berbelah-bahagi sama ada mahu lari selaju mungkin atau terus membatu menyembunyikan diri. Dia tahu sedikit sahaja kesilapan yang dilakukannya, baik sengaja atau tidak, akan mengundang bahana. Timah mungkin baru darjah tiga. Tapi dia pun tahu takut juga.
"Budak tu tak ada kat sini Meng!" Timah telan air liur. Masih bimbang leganya hanya sementara. Matanya sahaja yang lebih laju dari degup jantungnya sekarang. Yang lain-lain kaku. Beku.
Pohon kelapa sawit yang disandarinya menimbulkan bekas di belakang baju sekolah yang dipakai. Namun Timah tidak peduli itu. Kasutnya pun sudah merah berdebukan tanah. Itu pun kurang penting. Di hadapannya sekarang hal hidup dan mati!
Dalam hatinya tiba-tiba timbul sesal engkar pesan ibunya tadi. Sejurus sebelum dia keluar ke sekolah ibunya berpesan,
"Mah, lepas habis sekolah terus balik rumah tau!" Waktu itu selepas disogok dua ringgit, Timah terus angguk-angguk macam anak solehah yang taat.
Namun sekarang dia di sini. Di belakang sebatang pokok sawit. Sedang menyorok menyelamatkan diri.
Tiba-tiba fikirannya terbayang nasib tragis gadis yang sebaya dengannya. Ada didengar orang tuanya bercakap selalu. cikgu di sekolah pun ada ingatkan. Yang dijumpai betul-betul kaku tak bernyawa. Di dalam beg, di tepi jalan, dalam ladang kelapa sawit. Ada yang seumur dengannya, ada yang belum sempat bersekolah pun lagi. Ada juga yang sudah dewasa, tetapi perempuan dalam umur mana pun tetap selalu akan jadi mangsa.
Setiap hari Timah berdoa agar mereka yang ditimpa nasib sedemikian ditempatkan Allah Taala di dalam syurga-Nya, dan binatang yang terlibat pula dihukum di dunia dan diazab di akhirat. Lagipun itu yang disuruh ustazahnya dalam kelas agama. Dia aminkan sahaja.
Dia ikut sahaja, budak-budak macam dia mana tahu apa-apa. Suruh main dia main, suruh pergi kedai dia pergi kedai. Yang dia tahu nak seronok. Seronok jalan-jalan, seronok makan gula-gula, seronok bermain. Dihalang dilarang marahlah dia. Masam muka, cebik bibir. Mana Timah tahu itu semua untuk keselamatan? Keselamatan tu apa?
"Ha, ini pun dia!" Satu jerkah keras menempelaknya. Dan Timah yang entah kerana terkejut entah kerana takut terus pengsan. Gelap.
*****************************************************************************
"Tu la degil lagi! Emak dah cakap lepas sekolah terus balik kan? Kenapa keluar main sorok-sorok? Ni tak pasal-pasal baju kotor, seluar kotor! Kalau kena patuk ular tadi macam mana?" Apa yang ibunya bebelkan selepas itu tidak lagi didengarnya. Sebaik sahaja sedar Timah peluk ibunya erat-erat. Sekurang-kurangnya dia masih selamat. Lagipun dia hanya main sorok-sorok.
Tammat
Friday, May 23, 2008
Siri Aku Bosan Aku Wiki: Macgyver
Assalamualaikum..Melainkan usia anda 20 tahun ke bawah, anda pasti pernah mendengar tentang kemasyukan siri televisyen ini, MacGyver (Disebut Mek Geber oleh rakyat Malaysia secara amnya). Ditayangkan di Malaysia pada akhir 80-an dan awal 90-an oleh stesen televisyen swasta tempatan TV3, (diulangtayang di TV2 sekarang), siri ini mengecapi populariti selain membentuk satu budaya pop (jangan dikelirukan dengan muzik pop) yang menular bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.
Watak utamanya, Angus MacGyver lakonan Richard Dean Anderson (gambar), sinonim dengan kreativiti, kebijaksanaan dan kecerdasan berfikir, selain keupayaan mengaplikasi barang seharian untuk menyelesaikan masalah. Beliau juga dikenali kerana lebih gemar menggunakan kepintaran dan akal dari menggunakan kekuatan dan senjata api, yang memang tidak digunakannya.Siri ini yang berterusan sehingga 7 musim, menceritakan mengenai ejen rahsia Amerika Syarikat (dan kemudian Yayasan Phoenix), MacGyver yang ditugaskan menjalankan misi-misi rahsia di serata dunia. Kemahirannya menggunakan alatan seharian melibatkan perancangan dan kemahiran mendalam tentang ilmu sains, termasuk kimia dan fizik.
Beliau juga tidak sukakan keganasan, dan alatan atau perangkap yang diciptanya lebih bertujuan sebagai pertahanan diri. Selain itu, biasanya ia hanya memerangkap atau melemahkan pihak lawan, dan tidak mencederakan apatah lagi membunuh mereka. Antara 'tanda' MacGyver yang popular adalah mengaduh kesakitan dan menggoncangkan penumbuknya selepas menumbuk seseorang, berbeza dengan watak hero semasa (seperti dalam Terminator atau Die Hard) yang sarat dengan hormon testosteron selain bermuka ketat dan bertubuh mampat/padat/sendat. Mac juga mudah gayat dan... (retorik elipsis)
Antara 'teman baik' MacGyver adalah pisau lipat (dikenali di seluruh dunia dengan nama pisau MacGyver) dan pita pelekat, yang dibawanya sepanjang masa untuk kegunaan di waktu memerlukan. Dengan kedua-dua alatan ini, selain benda-benda yang ada di keliling Mac sewaktu kejadian, akan wujudlah solusi-solusi menarik untuk sajian penonton supaya terpukau mayapada merambat lagi keting kesayuan.Musuh utama MacGyver tak lain tak bukan adalah Murdoc, musuh-susah-mati yang seringkali menggangu gugat urusan Mac. Si jahat ini pun ada gayanya juga, iaitu setiap kali berlawan dengan MacGyver, dia akan menemui ajalnya (jatuh gaung, terbakar dsbnya) tetapi entah macam mana hidup dan akan datang semula mencari Mac pada episod yang kemudian. Biasanya sebelum mati dia akan menjerit 'Macgyver!!!!' sebagai tanda tak puas hati.
Di Malaysia beberapa tahun lalu, siri ini pernah diharamkan kerana ada pemuda mana entah yang memandai-mandai meniru cerita ini, masuk dalam ruang tayar kapal terbang dan mati lemas. Siapa ada berita asalnya boleh beritahu aku.
Sekian..
Wednesday, May 21, 2008
Apa mungkin..
Assalamualaikum..
Aku tak boleh menulis begitu sahaja. Kena ada topik, lepas itu buat kajian, biasanya dalam internet. Kemudian baru aku boleh rancang apa yang mahu aku tulis. Menyokong/membangkang? Setuju atau tolak? Ketawa vs menangis? Yang pasti tak seperti kawan-kawan yang lain yang lebih berbakat aku tidak boleh terus menulis secara tiba-tiba. Kata orang putihnya "out of nothing" la. Aku yang berotak dan berpendidikan teknikal ni susah nak menulis secara spontan. Dengan kata lain otak belah kanan aka HOKA aku ni berkarat sikit.
Memang ada sajak/puisi/haiku yang aku tulis, tetapi biasanya setelah aku kaitkan dengan pengalaman di sekeliling aku. Contohnya ada kawan yang kecewa, rakan yang muntah loya, atau sewaktu aku benar-benar tensi. Ya, waktu tensi pulak biasanya otak kanan aku ligat balik. Waktu tenang dia lembab je. Tak ubah seperti secangkir angan-angan yang tertusuk sapaan tak berlagunya hanyir silam.
Aku mahu jadi penulis, tetapi susah la kalau cenggini. Takkan nak gelabakan sepanjang waktu baru terbit buah-buah akal yang menarik. Ada cadangan?
Monday, May 19, 2008
Siri Aku Bosan Aku Wiki: Lizzie Borden
Legenda Lizzie Borden amat terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat. Dia dituduh membunuh ayah kandung dan ibu tirinya dengan mencantas kedua mereka menggunakan kapak. Namun, meskipun selepas didakwa dan dibicarakan dengan bukti yang agak mencukupi untuk mensabitkannya, dia telah dibebaskan. Bagaimanapun hingga kini nama Lizzie Borden tetap menghantui masyarakat di sana, dan dia dipercayai antara wanita pembunuh yang paling kejam pernah disaksikan dunia. Tidak hairanlah dia membujang ke akhir hayat, tetapi sebab yang pasti adalah kerana tiada jodoh. Sabar ye Echa, eh Lizzie.Pada 4 Ogos 1892, iaitu pada tahun yang sama kelab bolasepak Liverpool FC ditubuhkan selepas bercerai talak tiga dengan Everton FC, berlakuya pembunuhan dahsyat di 92 Second Drive, Fall River, Massachusetts yang terletak di timur laut Amerika Syarikat.
Bapa Lizzie, Andrew Jackson Borden, dan ibu tirinya Abby Borden, telah ditemui mati dibunuh di dalam rumah mereka. Selain Lizzie, satu-satuya saksi yang ada di dalam rumah itu pada waktu tersebut adalah pembantu rumah, Bridget Sullivan. Pakcik Lizzie, John V. Morse, adik kepada isteri pertama Andrew Borden, sedang menginap di rumah tersebut pada waktu itu untuk lawatan, tetapi tiada di rumah semasa kejadian. Emma Borden, adik Lizzie, juga tiada di rumah.
Pada hari itu, Andrew Borden telah ke bandar untuk urusan harian di bank dan pejabat pos. Dia pulang semula ke rumahnya lebih kurang pada pukul 10.45. Selepas setengah jam kemudian, Lizzie Borden menemui mayatnya. Berdasarkan kepada keterangan si pembantu rumah, Bridget, dia sedang berehat-rehat di biliknya yang terletak di tingkat tiga rumah itu sejurus selepas pukul 11 pagi, apabila dia terdengar panggilan Lizzie, "Ada orang katok bapak aku! Ada orang katok bapak aku!". Mayat ayahnya ditemui tersandar di atas kerusi panjang di bilik menunggu yang terletak di tingkat bawah. Andrew Borden kelihatan separuh terbaring dengan mukanya menghadap sebelah kanan, dan kelihatan tenang seperti 'sedang tidur'.Tenang? Mata kirinya terbelah dua selain tengkoraknya hancur memburaikan otak. Mujur gambarnya hanya hitam putih kalau tak sumpah tak pos kat sini.
Sewaktu Lizzie Borden ditenangkan oleh jiran tetangga dan doktor keluarga (zaman ini belum ada talian kecemasan 999 mahupun CSI), Sullivan telah menemui pula bangkai Puan Borden di tingkat atas, di dalam bilik tetamu. Kedua-dua pasangan Borden ini telah dibunuh dengan kapak.Motif kejadian? Dikatakan Lizzie dan adiknya Emma tidaklah puas sangat tetapi lebih tidak berpuas hati apabila harta ayahnya dibahagi-bahagi kepada sanak-saudara tanpa memikirkan mereka. Rumah mereka pun dengar katanya akan diberi kepada saudara juga. Ye la, dah la andartu, kerja pulak takde, harta bagi kat orang luar, sapa tak marah. Tapi taklah sampai katuk ayah sendiri camtu. Derhaka, derhaka.

Malah diberitakan Lizzie pernah cuba membeli racun sianida tetapi tidak dijual kepadanya. Katanya nak digunakan mencuci kot kulit anjing laut. Betul tak tipu. Racun ini pernah digunakan oleh Adolf Hitler untuk membunuh diri, tetapi benar atau tidak siapa yang tahu?
Malah beberapa hari sebelum kejadian kedua-dua adik beradik itu bergaduh besar dengan orang tua mereka, dan Lizzie dan Emma masing-masing keluar membawa diri dari rumah itu. Namun Lizzie pulang lebih awal atas sebab-sebab "peribadi". Atas sebab-musabab yang mencurigakan ini, Lizzie ditahan dan dibicarakan atas dakwaan membunuh kedua orang tua kandung + tirinya.
Satu lagi teori yang pelik mengaitkan bahawa Lizzie adalah seorang lesbian, dan membunuh ibu bapanya kerana cinta terhalang. Macam pelik je.
Sewaktu dibicarakan, keterangan Lizzie bercanggah antara satu sama lain dan kelakuannya mencurigakan. Sewaktu siasatan polis, kapak yang dipercayai digunakan dalam kes itu telah ditemui di besmen rumah tersebut, namun pemegangnya sudah hilang, dipercayai disorokkan kerana mempunyai kesan darah. Beberapa hari selepas pembunuhan juga, Lizzie telah membakar sehelai pakaian miliknya atas dakwaan terkena cat basah yang terdapat di dinding. Bagaimanapun, selepas sejam berbincang, pihak juri mendapati Lizzie tidak bersalah dan dia telah dibebaskan dari sebarang pertuduhan. Senjata pembunuhan didakwa tidak ditemui, selain tiada bukti terdapat darah pada Lizzie sejurus selepas pembunuhan tersebut. Fakta bahawa dia cuba membeli racun juga tidak dihujahkan di dalam mahkamah.
Seperti kes Jack the Ripper di kota London, dan The Zodiac Killer pada tahun 60-an, kes ini masih belum selesai hingga ke hari ini. Banyak fakta, teori dan suspek baru yang dicadangkan, tetapi tentu sahaja itu semua tidak lagi berguna kerana mengenang laluan liku alam itu tak semudah menderunya suara bara yang mendesir di jalanan.************************************************************************************
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_Borden
http://www.liverpoolfc.tv
http://en.wikipedia.org/wiki/Prussic_acid
Gambar: http://en.wikipedia.org/wiki/Lizzie_BordenSaturday, May 17, 2008
Have You Noticed?


Assalamualaikum..
I've spotted someone somewhere while I was prowling the net that since 2001 all EPL winners had their 'twin' counterpart in La Liga.
Look:
| Year | EPL | La Liga |
| 2001 | Man Utd | Real |
| 2002 | Arsenal | |
| 2003 | Man Utd | Real |
| 2004 | Arsenal | |
| 2005 | | |
| 2006 | | |
| 2007 | Man Utd | Real |
| 2008 | Man Utd | Real |
Kau Tak Kenal Aku!!!

"Jangan cakap macam kau kenal aku!!"
"Aku lain dengan orang lain!"
"Hanya ada satu aku! Aku unik!"
"Ha, ambik sebijik!"
Ini reaksi yang biasa kita dengar apabila kita cuba menyelami hati atau membaca perasaan terpendam seseorang.
Namun, percayalah, semua orang pun akan memberi reaksi serupa.
Kenapa? Manusia, sebagai makhluk yang ber'prinsip', ber'maruah' dan ber'harga diri' percaya bahawa super-ego (iman) mereka lebih mulia dan tinggi dari ID (nafsu) mereka, hasil pengawasan ego (akal). Maka di bawah minda separa sedar, sifat dalaman yang membuak-buak biasanya ditekan dan dipendam untuk menyatakan satu sisi, dan melenyapkan terus satu sisi yang lain pula. Rujuk nota Psikologi untuk kelangsungan.
(Nota pantas: ID = naluri dalaman/libido/nafsu yang hanya mahu makan, rehat, seks, puas, seronok dan lain-lain).
Dengan kata lain, mereka percaya yang sifat dalaman yang mereka miliki itu 'buruk, 'jelik' dan me'lemah'kan. Antaranya sifat dalaman seperti inginkan belaian dan kemanjaan, takut berseorangan, bimbang kehilangan, kejiwangan, mudah menangis dan juga mudah marah (baran) sering dianggap sebagai sifat buruk, maka ditekan dan dipendam agar tidak kelihatan. Malah ada juga keinginan-keinginan yang benar-benar pelik, seperti Oedipus Complex, Sexual Fetish dan lain-lain. (Lelaki pandai menyembunyikan sifat sebenar mereka, jadi jangan percayakan lelaki?)
Jadi apabila dipsikoanalisis dan didapati pula mereka mengandungi sifat-sifat tersebut, maka dengan mudahnya mereka ini melenting dan menghamburkan tiga baris pertama ayat-ayat di atas selain ayat-ayat lain. Langkah yang sudah dibaca ini digelar 'penafian' dan merupakan salah satu dari 'Defence Mechanism' atau 'Mekanisme Pertahanan' yang telah diteorikan oleh Freud, di mana manusia akan memilih untuk menyembunyikan kekabutan itu dengan menafikan langsung wujudnya tali kabut yang meminggir ketika awan tak lagi bercamar datangnya pelangi senja.
Percayalah, manusia yang seramai 8+ bilion di dunia (tidak mengira yang sudah meninggal) tentu sahaja berbeza-beza antara satu sama lain, tetapi mereka tetap sahaja mematuhi dan mengikut peraturan-peraturan tertentu yang telah digariskan baik secara sedar (conscious), separa sedar (subconscious) atau di luar kesedaran (unconscious). Oleh itu, biarpun mereka ini menafikan apa sebenarnya yang mereka rasa dan mahukan, sedikit sebanyak mata yang memerhati akan dapat menilai apa yang cuba dizahirkan oleh olah badan, gerak mata, stail percakapan dan penulisan, kelatahan (jika ada), fesyen rambut, pakaian, selain imej kendiri yang ditampakkan dalam pemilihan warna, hobi dan lain-lain.Namun, manusia biasanya akan melawan satu aspirasi dengan cara meletak aspirasi yang jelas berbeza, contohnya diam bukan kerana malu tetapi memerhati, bising bukan kerana petah tetapi takut berseorangan, senyum bukan kerana suka tetapi mengubat kelukaan.
Kita boleh sahaja sentiasa menipu orang lain, tetapi mampukah kita menipu diri sendiri?
<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Id,_ego,_and_super-ego
http://en.wikipedia.org/wiki/Sigmund_Freud
http://en.wikipedia.org/wiki/Unconscious_mind
http://en.wikipedia.org/wiki/Defense_mechanisms
http://en.wikipedia.org/wiki/Oedipus_complex
Gambar: http://en.wikipedia.org
Aku eksekutif jualan, bukan sasterawan!
SMTKL aka TIKL aku tinggalkan tak berapa jam selepas tamatnya kertas Pengajian Kejuruteraan Awam. Masih ingat aku sempat membeli sehelai baju-t dari rakan bernama Farid pada minit-minit terakhir sebelum aku angkat kaki. SPM 2000 bagi kami juga tamat pada hari kedua puasa, iaitu hanya sehari dua kesempatan bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh bersama. Sedar tak sedar ada di antara mereka yang pernah menjadi teman seperjuangan, rakan sebilik/sekelas dan sebagainya hanya kutemui 6-7 tahun kemudian. Ada juga yang tak pernah lagi berselisih malahan hubungi hingga ke hari ini. Besar kemungkinannya kerana aku 'melawan arus' dengan tidak memasuki UTM atau KUiTTHO (kini UTHM) seperti yang lain, sebaliknya membawa diri ke Tronoh, Perak, untuk melanjutkan pengajian di UTP.
Namun sebelum itu, sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Aku memandaikan diri mencari kerja selepas sambutan Aidilfitri dan bosan bercuti (dan menelefon sana sini selain bertemu semula dengan cik Wani). Kerja pertama yang kuperolehi pasca SPM adalah sebagai penjaga tempat letak kereta sementara di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Tahanlah dua hari.
Kemudian rakan lamaku di SMKJ iaitu Khairi (bukan menantu sesiapa) suatu hari mengajakku bekerja. Jawatan eksekutif jualan aka jurujual, sungguhpun tidak menggiurkan, menarik minatku untuk mencuba.
Syarikat yang dituju adalah NRG Ent, atau lebih kurang begitu, berpejabat di SS2, PJ. Bernaung di bawah Granton Sdn Bhd, syarikat yang pernah kecoh isu syarikat mengutip derma satu masa dahulu.
(teh tarik satu!)Kerjanya tiada basa-basi, hanya ambil kupon (syarikat membuat kupon untuk mempromosikan syarikat lain) dan pergi jual. Kupon yang aku jual pada waktu itu adalah kupon Pizza Domino, di bawah Haizal sebagai ketua kumpulan (bergerak dalam kumpulan berdua atau bertiga).
Sungguhpun hina bunyinya, tetapi sesuatu yang paling mengesankan dalam pekerjaan ini adalah pembinaan keyakinan diri. Manusia yang takkan terfikir untuk diajak berbual aku tegur dengan muka ramah, baik di kawasan perumahan, hentian LRT, kaki lima kedai, malahan perkarangan masjid dan pejabat. Aku belajar mengenal pahit dan susah mencari sesuap nasi dan betapa malu hanya penyebab utama manusia sukar maju.
Antara pengalaman sezaman, telefon bimbit sudah mula menjadi keperluan. Nokia 3210 mula jadi bualan, biarpun aku menggunakan Motorola lipat yang dah terlupa nombor sirinya. Malangnya telefon itu dicuri apabila rumahku dipecah masuk pada satu hari.
Sungguhpun aku tidaklah bagus sangat dalam jualan, tetapi aku belajar tentang cara jurujual bekerja, dan secara seriusnya memang jurujual yang bagus layak menjadi pemidato dan ahli politik. Mereka mahir mengenal manusia, membaca reaksi mereka, dan mendapatkan keyakinan orang asing yang pertama kali ditemui. Antara yang paling aku hormati adalah mereka akan beritahu sesuatu yang tidak sukai terus ke muka anda, perangai yang aku bawa hingga ke hari ini, meski tak disukai orang (aku selalu kena ban sebab tu).
Aku juga masih ingat waktu kami di'lantik' untuk menjual cermin mata 3D yang dikeluarkan atas nama TV3 dan MAKNA atau IJN (kalau tak silap, sila betulkan kalau ya). Ia menjadi isu hangat apabila didedahkan di media bahawa dari RM 10 yang dibayar penderma, hanya RM1 akan ke pertubuhan kebajikan itu, manakala RM1 untuk kami jurujual dan RM8 untuk pengilang, orang atasan dan orang lagi atasan. Entahlah, dalam dunia ni mana ada benda yang percuma.

Lagipun aku tak lama dalam kerja tersebut. Aku berhenti sebaik sahaja sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Namun apa yang kupelajari sepanjang menjadi jurujual bagai sesuatu yang mencukupi untuk dibawa seumur hidup. Dikejar anjing, dihalau orang, diperdayakan pembeli dan yang paling tak seronok, hujan.
Mahu jadi jurujual?
Friday, May 16, 2008
Selamat Hari Guru, Cikgu Wani..
Melaka, 16 Mei - Hari ini cik Wani, 25, seorang guru yang sedang menuntut di Maktab Perguruan Durian Daun di Melaka akan menyambut Hari Guru. Meskipun masih menuntut di maktab dan belum sepenuhnya diiktirafkan kelayakan beliau, beliau tetap merupakan guru yang telah banyak berjasa mendidik saya.
Sungguhpun didikannya bukan mengenai ejaan atau kira-kira, apatah lagi sukan dan biologi (...) , namun yang pasti tanpa beliau tentu banyak yang tidak saya ketahui tentang sejenis perasaan yang dipanggil orang CINTA.
Ya, perasaan yang buat kita seronok dan orang lain geli tengok inilah yang diajar beliau kepada saya sedari umur 13 tahun lagi. Dah 12 tahun kan, lama kan?
Selamat hari lahir untuk guru tercinta yang paling kucintai, cikgu Wani.
p/s: Bagi la aku jiwang kali ni je.. please..
Thursday, May 15, 2008
Siri Aku Bosan Aku Wiki: Milo
(Milo Dinosaur kata orang Singapore)Assalamualaikum..
Menghormatkan kehendak Muz, aku utuskan juga satu lagi entri dalam siri ini berkenaan minuman kegemaran beliau iaitu Milo.
Berbeza dengan pendapat umum, Milo sebenarnya bukanlah minuman coklat, sebaliknya minuman malt dan coklat yang digabungkan dengan bahan tenusu dan lain-lain, begitu juga jenama Ovaltine dan Vico.
Milo Ventimiglia mungkin lebih dikenali dengan nama Peter Petrelli dalam siri televisyen Heroes, dengan kemampuannya menyerap kuasa orang lain (yang peliknya tak boleh pulak nak serap idea A. Samad Said ke, lawak Harun Salim Bachik ke), tetapi minuman Milo dinamakan sempena hero kaum Yunani purba, Milo of Croton, iaitu seorang atlit yang memenangi sukan Olimpik purba 6 kali dalam acara gusti. Dengar kata gagah orangnya Milo Croton ini, sebagai persediaan untuk kejohanan Olimpik, dia menanggung seekor anak lembu di belakangnya. Setelah empat tahun kemudian apabila Olimpik tiba, lembu itu membesar di belakang tanggungannya, lalu disembelih, dipanggang dan dimakan oleh beliau di dalam stadium hendak menayangkan kemachoannya itu.

Milo dicipta bukan oleh Milo Ventimiglia apatah lagi diminum oleh beliau. Sebaliknya ia dicipta oleh seorang rakyat Australia bernama Thomas Mayne pada 1934, zaman atuk kita kecil-kecil dahulu, atau sebelum Jepun attack Malaya. Minuman ini mula dibawa ke Malaya secara terang-terangan pada 1950, dan mendapat sambutan hangat, meskipun diminum dengan ais.
Yang menariknya, rakyat Malaysia adalah peminum Milo nombor satu dunia, dengan 90% keluaran Milo dunia disapu bersih oleh rakyat negara ini, Malaysia Boleh! Milo juga diminum di kebanyakan negara asia tenggara, selain negara-negara lain di seluruh dunia, namun rupabentuk dan tekstur Milo berlainan mengikut negara (gambar bawah).
Milo yang biasa diminum di negara ini adalah milo 'o' panas, milo panas, milo ais, milo dinosaur (milo tuang kut nama Malaysia dia) dan Neslo, iaitu campuran Nescafe dan Milo.Milo 'o' juga adalah minuman rasmi aku selepas aku berhenti minum susu pada umur 1 atau 2 tahun. Hanya pada tingkatan empat aku kembali minum susu selepas aku masuk asrama dan belajar nikmatnya minum teh tarik.
Percayalah, minum teh tarik lagi best..
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_%28drink%29
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_Ventimiglia
http://en.wikipedia.org/wiki/Milo_of_Croton
Gambar: http://en.wikipedia.org
http://images.search.yahoo.com/search/images
