Kalau diikutkan hati, rasanya esok juga nak kubuka 5-6 buah stesen minyak biar kaya raya aku dibuatnya. Malaysia Boleh! Namun biarlah hari ini aku menulis sahaja.
Selepas pengumuman kenaikan harga minyak tempoh hari, mungkin kita akan terbaca atau terdengar berita-berita seperti ini: (ni aku perli ni kalau tak paham jugak tak tau la..)
BAPA ENAM ANAK TERSENYUM BERTERIMA KASIH
Jerlun, 6 Jun - Seorang bapa, Gapar Bin Basir, 46, menyatakan rasa kegembiraannya sebaik sahaja pengumuman harga minyak diesel dan petrol dibuat kelmarin. Beliau yang menghantar anak-anaknya ke sekolah setiap hari, di mana dua di sekolah rendah dan 3 di sekolah menengah sebelum ke tempat kerja yang terletak di bandar bersebelahan, bersetuju dengan harga yang baru diperkenalkan. Dakwanya harga tersebut sesuai untuk pekerja berpendapatan rendah sepertinya selain mempunyai nilai tambah, bersifat telus dan anti rasuah.
Bantuan rebet tunai, yang mencecah RM625 setahun selepas memperbaharui cukai jalan juga menurutnya amat menarik selain boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membayar ansuran rumah, kereta, baju sekolah anak, beg dan buku-buku anak, yuran tuisyen, tol, khairat kematian, selain dimasukkan lebihan wang itu ke akaun Tabung Haji untuk kegunaan masa hadapan, khususnya untuk naik haji. -AF*ckP
CIK KIAH TERUSKAN ROMBONGAN KE RANTAU PANJANG
Kuala Kangsar, 6 Jun - Cik Kiah, 55 atau nama sebenarnya Zakiah Bt Baharom lebih dikenali di negara ini sebagai penganjur rombongan. Menurut sidang akhbar yang diadakan beliau semalam, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Olimpik terpaksa ditangguhkan kerana harga tiket kapal terbang, kereta api mahupun kapal tongkang dijangka akan naik mendadak di luar senarai mampu-milik masyarakat. Orang-orang kampung yang terdiri daripada penoreh getah, pegawai pencen dan suri rumah tentu tidak mampu menanggung kos terbabit, menurutnya lagi.
Bagaimanapun, kata beliau, rombongan tersebut akan ditukar destinasinya ke Rantau Panjang untuk mengambil kesempatan cuti sekolah yang masih ada untuk membeli belah. Bergantung kepada kemampuan ahli rombongan untuk menyewa bas, destinasi akhir akan ditentukan sama ada di Rantau Panjang, Kelantan atau sekadar Rantau Panjang, Selangor. -Bersama
PERAGUT PROFESIONAL AZAM TINGKATKAN PRODUKTIVITI
Pantai Dalam, 6 Jun - Seorang peragut profesional, yang hanya mahu dikenali sebagai Kaki, 24, hari ini mengumumkan azamnya untuk meningkatkan lagi kadar jenayah ragut yang dilakukan olehnya. Khas bagi menampung kenaikan mendadak kos sara hidup, berikutan kenaikan harga bahan ai, dia yang juga penagih dan peraba atas bas profesional hari ini merancang untuk meningkatkan kadar ragutan sebanyak 5 kali seminggu, berbanding hanya dua kali seminggu sekarang.
Sungguhpun begitu, Kaki diingatkan bahawa kemungkinan hasil ragutannya tidak akan mendatangkan pulangan lumayan kerana rata-rata masyarakat di Malaysia sekarang turut sedang dalam kekeringan bahana kenaikan bahan api tersebut. Kaki yang memiliki 17 rekod jenayah, enggan mengulas lanjut. -Rioters
Banyak lagi berita yang boleh ditulis. Semoga ISA tidak menyusul. Selamat malam..
Friday, June 06, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
aku baruje dapat P
dia bagi naik minyak plak.
Post a Comment