Wednesday, February 11, 2009

Enaknya Menjadi Penulis

Assalamualaikum..

Tidak berapa semes yang lepas, pensyarah kesayangan Shah iaitu abang K pernah mengutarakan satu pernyataan yang agak sinis dan menghina:

"Penulisan kesusasteraan (dipanggilnya penulisan berbunga), tidak boleh divisualkan oleh khalayak."

Maksudnya begini. Penulis biasanya adalah makhluk syok sendiri yang menulis perkara yang tidak dapat difahami/dibayangkan oleh orang lain.

Ayat contoh kegemaran beliau adalah tidak lain tidak bukan "habuk-habuk cinta meresap ke dalam liang-liang roma.".

Diulangsuara ayat ini berkali-kali, memperlekehkan kedangkalan penulisnya (barangkali beliau sendiri) yang gagal menterjemahkan ayat tersebut ke satu bentuk yang lebih visual. Namun secara halusnya, kamilah, baik penulis, pelajar penulisan mahupun pensyarah penulisan, yang menjadi mangsa sinikalnya itu.

Beliau gah mendabik dada betapa golongannya (tak silap aku dia pelukis je) mampu menyampaikan segala sesuatu dengan bentuk yang visual, 'gambar terkadung seribu kata' beritahunya, lengkap dengan dimensi, bentuk, warna dan tentu sekali tanpa basa-basi.

Sesudah satu semes lebih berlalu, aku dan beberapa rakan lain terkadang tetap juga mengulangsuara ayat 'habuk-habuk' cinta tersebut; tidak lebih dari sekadar gurauan yang diulang-ulang, tanpa sedar meremehkan kaliber diri sendiri sebagai penulis.

Namun kini, sesudah membaca beberapa karya dan meneliti beberapa kejadian alam (jujurnya entri ini terilham usai membaca beberapa perenggan pertama Bab 17 'Ada Cinta Di Kedai Buruk Itu', dalam novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata, selain selesai pulang merenung bintang di tapak perkhemahan di Kampung Parit Penghulu Benteng, Melaka), aku bagai diwahyukan alam dengan jawapan terhadap soalan sinis abang K tidak lama dahulu.

Aku gembira menjadi penulis. Menulis adalah perkara yang enak dan membakar. Dengannya aku tenang dan teruja pada masa yang sama. Aku faham sekarang kenapa seorang sahabat aku tidak riuh kampung dengan cerita Biawaknya, kerana hasil di televisyen itu bukan karya penulisannya. Itu karya visual orang lain. Aku yakin dia lebih gemar menganggap sajak Bujal sebagai magnum opus dan bukan tele 'Koleksi Terbaik RTM' itu. Kau buat aku faham sahabat, terima kasih.

Menulis membolehkan penulisnya melapik kata dengan analogi, menjalin cerita dengan metafora dan menyulam watak dengan semangat peribadi, ideologi dan falsafah yang akan terlalu jenuh jika cuba ditampilkan secara visual. Untuk menceritakan garangnya seorang guru boleh dianalogi dengan tulisan "Bu Mus bagaikan sinar matahari yang memberi kami hidup, tetapi boleh juga tiba-tiba memanggang hangus". Cinta boleh didendang keindahannya, tanpa meletakkan seorang lelaki dan seorang perempuan berdua-duaan merenung bulang di pinggir bukit; sekadar memberitahu "Hari ini daku lebih bercahaya kerana senyummu". Hati gusar serba kacau tak memerlukan Sofi Jikan merenung lama foto-foto orang lain di dinding studio orang yang lain pula. Cukup menulis "...dia terbakar resah".

Jika dalam bentuk visual, kisah cinta aku dan Cik Wani akan tercantas ke dalam ruang waktu 90 ke 120 minit. Seni visual terlalu gopoh untuk menunggu 13 tahun menyulam indahnya cerita cinta kami. Sebaliknya penulisan boleh sahaja dilembarkan, sehelai demi sehelai, hari demi hari. Tak percaya mintalah pada cik Wani diari simpanan beliau. Aku sendiri segan apabila sajak 10 tahun dahulu masih segar dalam simpanannya.

Memang visual lebih tampak dan berkesan, lebih hidup dan bergerak, serta lebih menguntungkan pelabur. Akan tetapi malangnya ia akan jadi karya kongsi si pengarah, pelakon, penulis, pelukis papan cerita, penjaga konti, pengarah seni, tukang gunting rambut, pensterika baju dan lain-lain. Dengan menulis biar pun yang diceritakan adalah kisah benar 10 anak muda di Pulau Belitong, ia tetap hasil karya Andrea Hirata. Penyuntingnya siapa pun tidak kenal. Pengkaji, guru sekolah, pereka kulit buku dan lain-lain hanya sekadar disebut selintas dalam ucapan penghargaan muka hadapan, buat menyiapkan naskhah agung bergelar Laskar Pelangi itu.

Sesungguhnya penulisan selalunya seni yang lebih murah, mudah dan jujur. Ia tidak perlu manusia-manusia penipu, beraksi di hadapan skrin chromakey biru. Tak perlukan track dan lampu. Manusia tidak perlu jadi hantu dan ustaz palsu. Promosi hanya perlu pengarang buat upacara tandatangan buku. Dan akhirnya, bila laku, tetap juga dibuat filem (disebut seni visual) oleh golongan takde idea tu.

Hanya kertas dan pen, abang K. Dan sedikit pengalaman, kreativiti dan kejujuran. Itulah enaknya menjadi penulis.

7 comments:

amer zaman said...

aku suka entri ni, bukan sebab kau betul tentang hal bujal itu,

tapi sebab aku pun sadar betapa seni tulis lebih efektif dari seni lukis..

aneh, atau magisnya, aku berfikir begitu selepas membaca novel yang sama; namun dalam bab menceritakan tentang Mahar.

jika aku jumpa buku ini lebih awal,
aku akan bertanya pada K,

berikan aku sebuah lukisan yang mampu menitiskan air mata bila melihatnya,

ataupun lukiskan cinta di whiteboard, bukan hati..!

Miss LaraLady said...

Hi jiran,
bile nk buat novel kisah cik wani?

Cik-MeGa said...

aku jugak suka sama entri ini.
mudah je bg aku.
melalui tulisan jugak bole meluahkan tanpa perlu susah payah berfikir objek ape yg harus dilukis utk menggambarkn perasaan.

Melodi Aku said...

oi.
apa kau mengarut nie?
guna bahasa yang kita selalu bercakap la.
ini terlalu tinggi dan sakit kepala otak aku nak paham.

muhsinsenpai said...

muz, aku selalunya betul, walau tak errorless macam shah..

cu, itu hakcipta cik wani, biar dia tulis..

cik faezah, buatlah karya dalam medium apa pun, yang pentingnya jujur..

fairuz, itulah bahasa penulisan..

Cik-MeGa said...

correction.
faizah.
=)

muhsinsenpai said...

sori echa..