Saturday, May 17, 2008

Aku eksekutif jualan, bukan sasterawan!

Assalamualaikum..

SMTKL aka TIKL aku tinggalkan tak berapa jam selepas tamatnya kertas Pengajian Kejuruteraan Awam. Masih ingat aku sempat membeli sehelai baju-t dari rakan bernama Farid pada minit-minit terakhir sebelum aku angkat kaki. SPM 2000 bagi kami juga tamat pada hari kedua puasa, iaitu hanya sehari dua kesempatan bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh bersama. Sedar tak sedar ada di antara mereka yang pernah menjadi teman seperjuangan, rakan sebilik/sekelas dan sebagainya hanya kutemui 6-7 tahun kemudian. Ada juga yang tak pernah lagi berselisih malahan hubungi hingga ke hari ini. Besar kemungkinannya kerana aku 'melawan arus' dengan tidak memasuki UTM atau KUiTTHO (kini UTHM) seperti yang lain, sebaliknya membawa diri ke Tronoh, Perak, untuk melanjutkan pengajian di UTP.

Namun sebelum itu, sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Aku memandaikan diri mencari kerja selepas sambutan Aidilfitri dan bosan bercuti (dan menelefon sana sini selain bertemu semula dengan cik Wani). Kerja pertama yang kuperolehi pasca SPM adalah sebagai penjaga tempat letak kereta sementara di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Tahanlah dua hari.

Kemudian rakan lamaku di SMKJ iaitu Khairi (bukan menantu sesiapa) suatu hari mengajakku bekerja. Jawatan eksekutif jualan aka jurujual, sungguhpun tidak menggiurkan, menarik minatku untuk mencuba.

Syarikat yang dituju adalah NRG Ent, atau lebih kurang begitu, berpejabat di SS2, PJ. Bernaung di bawah Granton Sdn Bhd, syarikat yang pernah kecoh isu syarikat mengutip derma satu masa dahulu.

Temuduganya pula bukanlah untuk melihat kelayakan sangat, tetapi lebih berminat untuk melihat berapa cepat aku boleh mula bekerja, iaitu minggu seterusnya. Dan bermulalah rutin baru bagiku, keluar rumah seawal 7 pagi dan pulang selewat 11 malam, yang biasanya diakhiri dengan makan 5 keping roti canai di kedai mamak, 3 gelas teh tarik dan membeli CD cetak rompak.

(teh tarik satu!)

Kerjanya tiada basa-basi, hanya ambil kupon (syarikat membuat kupon untuk mempromosikan syarikat lain) dan pergi jual. Kupon yang aku jual pada waktu itu adalah kupon Pizza Domino, di bawah Haizal sebagai ketua kumpulan (bergerak dalam kumpulan berdua atau bertiga).

Sungguhpun hina bunyinya, tetapi sesuatu yang paling mengesankan dalam pekerjaan ini adalah pembinaan keyakinan diri. Manusia yang takkan terfikir untuk diajak berbual aku tegur dengan muka ramah, baik di kawasan perumahan, hentian LRT, kaki lima kedai, malahan perkarangan masjid dan pejabat. Aku belajar mengenal pahit dan susah mencari sesuap nasi dan betapa malu hanya penyebab utama manusia sukar maju.

Antara pengalaman sezaman, telefon bimbit sudah mula menjadi keperluan. Nokia 3210 mula jadi bualan, biarpun aku menggunakan Motorola lipat yang dah terlupa nombor sirinya. Malangnya telefon itu dicuri apabila rumahku dipecah masuk pada satu hari.

Sungguhpun aku tidaklah bagus sangat dalam jualan, tetapi aku belajar tentang cara jurujual bekerja, dan secara seriusnya memang jurujual yang bagus layak menjadi pemidato dan ahli politik. Mereka mahir mengenal manusia, membaca reaksi mereka, dan mendapatkan keyakinan orang asing yang pertama kali ditemui. Antara yang paling aku hormati adalah mereka akan beritahu sesuatu yang tidak sukai terus ke muka anda, perangai yang aku bawa hingga ke hari ini, meski tak disukai orang (aku selalu kena ban sebab tu).

Aku juga masih ingat waktu kami di'lantik' untuk menjual cermin mata 3D yang dikeluarkan atas nama TV3 dan MAKNA atau IJN (kalau tak silap, sila betulkan kalau ya). Ia menjadi isu hangat apabila didedahkan di media bahawa dari RM 10 yang dibayar penderma, hanya RM1 akan ke pertubuhan kebajikan itu, manakala RM1 untuk kami jurujual dan RM8 untuk pengilang, orang atasan dan orang lagi atasan. Entahlah, dalam dunia ni mana ada benda yang percuma.


Lagipun aku tak lama dalam kerja tersebut. Aku berhenti sebaik sahaja sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Namun apa yang kupelajari sepanjang menjadi jurujual bagai sesuatu yang mencukupi untuk dibawa seumur hidup. Dikejar anjing, dihalau orang, diperdayakan pembeli dan yang paling tak seronok, hujan.

Mahu jadi jurujual?

2 comments:

Cik-MeGa said...

errmmm...
aku suke je bile ko menyampaikn sesuatu yg sebenanye org len xnk dgr...
satu sbb aku suke-sbb aku suke!

muhsinsenpai said...

err...