Friday, March 21, 2008

Penulis Masih Ada Relevannya (Dan Begitu Juga Penuntut IPT)..

Dengan berakhirnya PRU 12 ini, rata-rata ahli akademik atau pemerhati bebas malah pihak-pihak berkenaan sekalipun sepakat mengakui kekuatan dan impak besar yang ditimbulkan oleh golongan penulis, terutamanya di media-media alternatif tak lain tak bukan di blog-blog internet seperti blog sebegini.

Tentu sahaja golongan tukang tulis tersenyum merasakan betapa besarnya peranan mereka dalam menentukan hala tuju rakyat dalam membuat keputusan-keputusan besar yang melibatkan kepentingan negara.

Apatah lagi biasanya blog-blog seperti ini sebelumnya hanya menjadi seolah-olah diari untuk meluahkan suara-suara kecil dalam hati-hati besar tentang rasa dan perasaan masing-masing.

Lagipun apalah sangat beberapa perkataan, ayat dan perenggan dalam post-post kerdil ini jika
hendak dibandingkan dengan stesen-stesen televisyen, akhbar-akhbar dan lain-lain media arus
perdana yang bernilai berbilion ringgit lengkap dengan rancangan-rancangan menarik dan
juruhebah-juruhebah cantik. Siapalah yang nak layan kita ni..

Namun melihat kepada impaknya selepas tamat PRU 12, terdetik pula perasaan di hati, betapa
penulis rupanya masih relevan dan dekat di hati masyarakat. Tentu sahaja Sasterawan Negara
(mantan?) A.Samad Said akan tersenyum sinis jika beliau mendengar hal ini, dan tentu sahaja
KePen seharusnya tidak lagi memekakkan diri dengan isu Komponen Sastera (Komsas) yang
dibangkitkan beliau dan penulis-penulis seangkatan yang lain.

Segah dan seheboh artis-artis muda dan veteran yang penat mencanang ke sana-ke sini
calon-calon pilihan mereka, di samping mempromosi album/filem baru selain menjaja produk
kecantikan yang sudi memberikan pesanan sepatah dua, nyata golongan penulis lebih gemar
menjadi 'silent killer' dengan hebahan ala 'cloak and dagger' yang sungguhpun senyap sunyi, ternyata lebih tajam dan berbisa.

Dalam era betapa penyanyi-penyanyi segera dan pelakon-pelakon celup lebih dikenali dan
disanjungi, rupanya-rupanya apabila khalayak ingin mendengar kata-kata benar yang tidak dibauri indah cinta dan duka kecurangan mereka tetap mencari golongan-golongan penulis. Apabila mereka dahaga info-info berupa fakta mereka tetap juga menyelak (atau mengskrol) halaman-halaman yang dinukilkan oleh kaum yang dari mata kasar seolah-olah hampir pupus ini.

Ada sesiapa yang nak bertanyakan Mawi tentang perlantikan menteri-menteri kabinet? Atau tanyakan Karyawan/Papita/Seniman tentang pergolakan dalaman Umno? Mungkin jugak ambil contoh filem Duyung untuk dijadikan perbandingan senario politik Perlis? Jawapannya jelas tidak dan penulis juga nanti yang diharapkan rakyat.

Dan tidak lupa juga kepada kaum pelajar dan penuntut, baik di IPTA atau IPTS, kerana orang sedar, sepopular mana pun artis-artis itu semua, yang lebih cerdik dan pandai adalah kita, penulis dan juga penuntut. Hehehe..

2 comments:

amscreamo said...

hmm..shfad ggegfalbf uidkelf je'pasas.

Miss LaraLady said...

Cayok-cayok!